Rabu, 11 April 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


300 tatu bendera pada tubuh

Posted: 10 Apr 2012 09:34 AM PDT

NEW DELHI: Seorang lelaki yang terlalu obses untuk memecahkan rekod dunia akhirnya terpaksa berhenti melakar tatu bendera pada tubuh dan kepalanya selepas isterinya mengancam meninggalkannya.

Guinness Rishi, 70, dari Delhi dilitupi 305 bendera pelbagai negara, 185 peta negara, 165 bendera mini dan 2,985 karektor.

Isterinya yang sudah sekian lama menderita akhirnya memujuknya supaya berhenti selepas meyakinkan Guinness bahawa tidak ada orang yang ingin memecahkan rekodnya.

Rekod rasmi yang dipegangnya ketika ini dicatat pada 2009 dengan 220 tatu bendera.


"Saya memecahkan rekod sendiri dan akan mempelawa pegawai Buku Rekod Dunia Guinness untuk mengemaskinikan catatan mereka supaya pencapaian terbaru saya diiktiraf," kata Guinness yang nama asalnya Har Prakash.


Dia menukar namanya itu apabila mula berusaha mencatatkan sebanyak rekod dunia yang mungkin lima tahun lalu.

Dua puluh dua rekodnya termasuk menulis wasiat paling panjang di dunia, sebanyak 489 muka dan menghantar piza dari New Delhi ke San Francisco.

Isteri Guinness, Bimla begitu berang dengan sikap suaminya yang suka untuk menarik perhatian hinggakan enggan keluar bersamanya.

Wanita itu juga mensabotaj usaha Guinness untuk memecahkan rekod calon politik paling buruk dengan berjanji untuk mengundinya.

"Saya hanya mahu dikenang selepas mati. Tetapi isteri saya begitu berang hingga mahu meninggalkan saya," kata Guinness.

Dia juga sanggup mencabut semua giginya supaya dapat memasukkan 750 penyedut minuman ke dalam mulutnya bagi mencatatkan rekod baru.

"Orang kata saya gila, tetapi saya tak peduli," katanya. - DM




Cucu Raja Sepanyol tertembak kaki sendiri

Posted: 10 Apr 2012 09:32 AM PDT

MADRID: cucu Raja Sepanyol, Raja Juan Carlos, menembak kakinya sendiri secara tidak sengaja dengan sepucuk raifal ketika berlatih menembak di rumah keluarganya di utara Madrid.

Felipe Juan Froilan, 13, anak kepada anak perempuan sulung Juan, Infanta Elena, berada bersama-sama bapanya, Jaime de Marichalar petang semalam di beranda rumah mereka di bandar Soria, apabila dia tidak sengaja tertembak kaki kanannya.

Jurucakap istana dalam satu kenyataan, berkata: "Dia mengalami kecederaan ringan."

Felipe, cucu sulung Juan, diberi rawatan di Hospital Santa Barbara di Soria sebelum dipindahkan ke klinik Quiron di Madrid untuk rawatan selanjutnya.


Akhbar konservatif, ABC, melaporkan Felipe berjalan dengan muncung raifal itu menghala ke tanah apabila ia tertembak. - Reuters




Tiada ulasan:

Catat Ulasan