Ahad, 8 April 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Victoria Beckham tampil dengan wajah eksotik

Posted: 07 Apr 2012 02:55 PM PDT

LONDON: Peminat kepada bintang pop yang bertukar karier menjadi pereka fesyen Victoria Beckham biasa melihat wanita itu tampil dengan pelbagai gaya.

Namun, kali ini penampilan Victoria nyata eksotik ketika dia muncul untuk sesi fotografi Harper's Baazar China.


Dengan rambut palsu merah yang diikat ke belakang dan memakai pakaian seksi, ibu empat anak itu berubah dengan penampilan cukup dramatik.

Imej terbaru isteri David Beckham itu disifatkan sesetengah penulis blog seperti karakter dalam permainan video.


Victoria menjalani sesi fotografi bersama jurugambar China Chen Man yang terkenal dengan kesan sinematik yang dramatik.


Bintang itu tampil untuk kulit depan majalah Bazaar edisi China selepas dia muncul dalam Harper's Bazaar Britain.

Ketika diwawancara, Victoria berkata, dia mewakili wanita golongan pertengahan dalam rekaannya.


Victoria menjelaskan sejak menjadi pereka fesyen, dia lebih suka memakai pakaian rekaannya sendiri untuk lebih mesra dengan pelanggan.

Namun, tahun lalu dia kecewa kerana tidak dapat mencuba rekaannya sendiri kerana hamil dengan anak perempuannya, Harper.


"Kami sentiasa berjenaka mengenai model berusia 17 tahun yang berketinggian enam kaki memperagakan rekaan saya. Namun, kemudian saya kata, baiklah saya akan cuba pakai baju itu dan mencubanya untuk tatapan umum.


"Begitulah cara saya bekerja. Saya dapati sukar ketika hamil dan tidak dapat mencuba rekaan sendiri. Saya hanya berdiri dan mula menutupi tubuh dengan fabrik kain. Memang sukar jika kita tiada susuk tubuh idaman," katanya. - DM




Dera pelajar secara seksual

Posted: 07 Apr 2012 02:54 PM PDT

MODESTO: Bekas guru di California yang menjadi berita muka depan akhbar ketika dia meletakkan jawatan untuk tinggal bersama pelajarnya yang berusia 18 tahun ditahan semalam kerana disyaki melakukan penderaan seksual terhadap seorang pelajar lain lebih 10 tahun lalu, kata polis.

Christopher James Hooker, 41, ditahan untuk siasatan kerana disyaki melakukan hubungan seks oral bersama pelajar bawah umur. Polis berkata, kejadian itu berlaku ekoran hubungannya dengan seorang pelajar berusia 17 tahun pada 1998 di Sekolah Tinggi Davis di Modesto, tempat dia pernah mengajar.


Hooker muncul di mahkamah semalam dan hakim menetapkan ikat jamin AS$50,000 (RM150,000) serta pelantikan peguam bela awam untuknya, lapor akhbar Modesto Bee. Dia meminta jumlah ikat jamin dikurangkan dan hakim menetapkan perbicaraan Selasa ini bagi memutuskan perkara itu.

Polis berkata, siasatan bermula selepas Hooker mengumumkan hubungannya bersama Jordan Powers Februari lalu yang menjadi muridnya di Sekolah Tinggi Enochs di Modesto.


Muncul dalam pelbagai rancangan bual bicara televisyen nasional di AS, Hooker bersama Jordan mengekalkan hubungan tanpa seks hingga pelajar itu berusia genap 18 tahun, tetapi polis menyiasat sama ada berlaku hubungan tidak wajar sebelum itu. Dalam wawancara untuk rancangan Dr Phil dan Selamat Pagi Amerika, ABC pasangan itu dilihat berpimpin tangan dan saling bertukar senyuman. Pasangan itu mendakwa ketika mereka bertemu kali pertama iaitu ketika Jordan berusia 14 tahun, hubungan mereka tidak membabitkan sentuhan fizikal hingga pelajar itu cukup umur. Mengikut undang-undang California pelajar perlu mencecah usia 18 tahun untuk menjalin hubungan dengan orang dewasa. Ibu Jordan, Tammie yang bersemuka dengan pasangan itu dalam rancangan Dr Phil menuduh Hooker mempengaruhi anak perempuannya.


Ekoran hubungan pasangan itu, anggota Kongres dari Modesto, Kristin Olsen mengusulkan undang-undang supaya melarang hubungan pelajar-guru walaupun pelajar sudah mencapai usia 18 tahun dan membatalkan skim saraan serta perubatan guru terbabit jika mereka disabitkan bersalah.

Menurutnya tindakan itu dapat menghalang guru menjalin hubungan dengan pelajar mereka sendiri walaupun pelajar mencecah usia dewasa. - SD




Tiada ulasan:

Catat Ulasan