Ahad, 11 Mac 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Jepun bertafakur kenang tragedi tsunami

Posted: 11 Mar 2012 04:10 PM PDT

Dunia

Kerajaan ikrar kurangkan kebergantungan kepada kuasa nuklear jana tenaga elektrik

RIKUZENTAKATA: Kerajaan Jepun berikrar untuk mengurangkan kebergantungan kepada kuasa nuklear ketika negara itu menyambut ulang tahun pertama tragedi besar gempa bumi dan tsunami yang melanda tahun lalu.

Penduduk Jepun di seluruh negara itu semalam bertafakur mengenangkan kira-kira 19,000 mangsa yang maut dalam bencana itu yang turut menyebabkan krisis nuklear paling buruk dalam masa suku abad. Majlis diadakan tepat jam 2.46 petang, detik berlakunya gempa bumi berukuran 9 pada skala Richter itu pada 11 Mac 2011.

Perdana Menteri Jepun, Yoshihiko Noda, mengaku kerajaan gagal bertindak pantas untuk menangani kejadian itu, terlalu perlahan menyampaikan maklumat mengenainya kepada orang ramai dan terlalu percaya kepada mitos bahawa kuasa nuklear selamat.

Kuasa nuklear membekalkan kira-kira 30 peratus keperluan tenaga negara itu sebelum gempa bumi dan tsunami melanda negara itu Mac tahun lalu.

Walaupun tiada rakyatnya yang meninggal dunia akibat pendedahan radiasi berikutan bencana itu, penduduk Jepun bimbang radiasi mungkin muncul dalam bentuk barah dalam masa beberapa tahun akan datang, terutama di kalangan kanak-kanak.
Hanya dua daripada 54 reaktor nuklear Jepun terus beroperasi manakala yang lain ditutup untuk dikenakan pemeriksaan khas mengikut jadual bagi memeriksa keupayaannya mengelak terjejas akibat bencana.

Operasi nuklear itu juga turut dijangka berhenti akhir April kerana ada pihak tertentu membantah loji berkenaan kembali bermula.

Di bandar persisiran pantai Rikuzentakata, timur laut Jepun, loceng kecemasan dibunyikan dan seorang sami Buddha memakai jubah ungu membunyikan loceng besar.

Pada masa sama di Teater Kebangsaan Tokyo, Maharaja Akihito dan Maharani Michiko dan Noda berdiri dalam keadaan diam dengan beratus-ratus rakyat yang berpakaian hitam di majlis memperingati tragedi itu.

Gempa bumi itu adalah yang terkuat direkodkan dalam sejarah Jepun dan mencetuskan tsunami setinggi lebih 20 meter di beberapa tempat di sepanjang pantai timur laut, memusnahkan berpuluh ribu rumah dan menyebabkan kemusnahan teruk.

Naomi Fujino, penduduk Rikuzentakata, berusia 42 tahun yang kehilangan bapanya dalam tragedi itu, mengalirkan air mata ketika mengingati kembali kejadian itu.

Bersama-sama ibunya, Fujino, berjaya lari ke bukit berhampiran dan menyaksikan ombak besar itu menghanyutkan rumah mereka. Itu memaksa mereka menunggu sepanjang malam tetapi bapanya tidak kembali menemui mereka seperti dijanjikan. Dua bulan kemudian, mayat bapanya ditemui.

"Saya menyelamatkan orang ramai tetapi tidak mampu menyelamatkan bapa sendiri. Saya perlu berhenti menangis. Apa lagi yang saya boleh lakukan selain meneruskan kehidupan," katanya.

Tsunami turut merosakkan sistem penyejukan penting di loji kuasa nuklear Fukushima Dai-ichi, menyebabkan tiga reaktor lebur dan melepaskan radiasi di udara.

Kira-kira 100,000 penduduk yang terpaksa menyelamatkan diri masih berada dalam rumah sementara atau menetap bersama saudara mara, dan kawasan seluas 20 kilometer sekitar loji itu masih tidak boleh dimasuki.

Setahun selepas bencana itu, polis dan pakar meneruskan usaha mencari mayat 3,155 orang yang disenaraikan sebagai hilang.

Kerajaan berkata, loji nuklear Fukushima kini stabil dan radiasi semakin berkurangan tetapi ketua loji itu memberitahu wartawan yang melawat bahawa ia masih belum selamat sepenuhnya. – AP

16 maut askar AS mengamuk

Posted: 11 Mar 2012 04:08 PM PDT

Dunia

Tembak penduduk Afghanistan selepas ceroboh masuk kediaman mangsa

KABUL: Kira-kira 16 orang awam Afghanistan maut semalam apabila seorang anggota tentera Amerika Syarikat mengamuk dengan melepaskan tembakan selepas menceroboh masuk beberapa kediaman penduduk di selatan negara itu.

"Pada jam 3 pagi waktu tempatan seorang askar Amerika keluar dari pangkalan tentera dan mula menembak penduduk awam. Sepuluh hingga 16 orang terbunuh," kata jurucakap gabenor selatan Kandahar, Ahmad Jawed Faysal. Dia kemudian ditahan selepas pulang ke markas tentera, kata Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) dalam satu kenyataan.

"Seorang askar Amerika ditahan hari ini berkaitan kejadian yang menyebabkan kematian penduduk awam Afghanistan di Kandahar. Apa yang kami tahu setakat ini ialah kematian berlaku di dua kampung iaitu Alokozai dan Garrambai di daerah Panjwayi.

"Satu kumpulan penyiasat dihantar untuk mengumpul maklumat kejadian yang berlaku selain memastikan angka kematian dan yang cedera," kata Faysal.

Kejadian terbaru mungkin perbuatan membalas dendam selepas beberapa kejadian yang menyaksikan tentera Afghanistan menembak mati anggota tentera Amerika menyebabkan enam orang askar asing itu maut selepas kes al-Quran dibakar di pangkalan tentera.
Maklumat mengenai punca dan motif tindakan anggota tentera Amerika itu belum diketahui.

"Kejadian ini amat dikesali dan kami bersimpati dengan keluarga mangsa yang terbabit. Pasukan Amerika dan Afghanistan (USFOR-A) dengan kerjasama pihak berkuasa Afghanistan, akan menyiasat kejadian itu dan menyiarkan maklumat lanjut," kata ISAF.

Kes membakar al-Quran mencetuskan bantahan ganas anti Amerika yang meragut 40 nyawa hingga menyebabkan hubungan tentera asing dan askar Afghanistan terjejas teruk serta memaksa Presiden Barack Obama meminta maaf.

Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kemudian mengundurkan semua penasihatnya daripada kementerian Afghanistan selepas dua pegawai Amerika ditembak mati dalam bangunan Kementerian Dalam Negeri, dipercayai ada kaitan dengan kes membakar al-Quran.

Daripada 60 anggota NATO yang terbunuh tahun ini, 18 peratus iaitu hampir seorang setiap lima orang, meninggal dunia di tangan tentera Afghanistan termasuk empat tentera Perancis, seorang warga Albania selain enam rakyat Amerika. – AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan