Rabu, 28 Disember 2011

Utusan Online - Luar Negara

Utusan Online - Luar Negara


Jong-il dikebumikan

Posted:

Jong-il dikebumikan

Jong-il dikebumikan


Kim Jong-un (lima dari kiri) dan bapa saudaranya Jang Song-thaek (empat dari kiri) mengetuai upacara mengangkat keranda Kim Jong-il pada upacara pengebumian pemimpin Korea Utara itu di Pyongyang, semalam. - REUTERS


PYONGYANG 28 Dis. - Beratus-ratus ribu rakyat Korea Utara berbaris sepanjang jalan-jalan bersalji di Pyongyang hari ini bagi memberi penghormatan terakhir kepada pemimpin mereka, Kim Jong-il ketika kereta hitam yang membawa mayatnya melalui ibu negara untuk upacara pengkebumian.

Anak lelaki dan pewarisnya, Kim Jong-un yang mengetuai perarakan tersebut, berjalan di sebelah kenderaan berkenaan dan sesekali dilihat menundukkan kepala sementara tangan kanannya memberi tanda hormat.

Turut sama dalam upacara yang diadakan di Istana Peringatan Kumsusan itu ialah pegawai tertinggi tentera dan pegawai parti termasuk bapa saudara Jong-un, Jang Song-thaek.

Perarakan tersebut melalui plaza utama di Pyongyang, Kim Il-sung Square, lokasi beratus-ratus ribu rakyat Korea memberikan penghormatan terakhir kepada Jong-il sejak 10 hari lalu.

Stesen televisyen turut menyiarkan imej orang ramai menangis teresak-esak, mengelap air mata dan saling menenangkan diri antara satu sama lain.

Sama seperti mendiang bapanya, Kim Il-sung keranda Jong-il dibalut dengan bendera merah.

Sebuah limusin membawa potret besar pemimpin tersebut yang tersenyum, mengetuai perarakan, diikuti tentera dan kereta yang membawa mayatnya.

Menurut Korean Central News Agency (KCNA), satu upacara memperingati Jong-il akan diadakan tengah hari esok di seluruh negara.

KCNA melaporkan, mayat Jong-il diarak sejauh 40 kilometer dalam upacara pengkebumian hari ini bagi membolehkan rakyat memberikan penghormatan terakhir.

Pemimpin Korea Utara itu disemadikan bersebelahan makam bapanya, Kim Il-sung yang juga pengasas negara komunis ini. - AGENSI

Full content generated by Get Full RSS.

Iran ancam tutup Selat Hormuz

Posted:

Iran ancam tutup Selat Hormuz

Iran ancam tutup Selat Hormuz

TEHERAN 28 Dis. - Iran mengancam untuk menutup Selat Hormuz yang menjadi laluan transit minyak utama di Teluk, sekiranya sekatan asing dikenakan ke atas eksport minyak mentahnya berhubung program nuklear kontroversi Teheran.

"Jika (negara Barat) menyekat eksport minyak Iran, kami tidak akan membenarkan setitik minyak pun melalui Selat Hormuz.

"Musuh-musuh kami hanya akan berputus asa sekiranya Iran memberi pengajaran keras kepada mereka," kata Timbalan Presiden Iran, Mohammd Reza Rahimi seperti yang dipetik agensi berita negara ini.

Ketegangan antara Iran dan negara Barat semakin memuncak sejak satu laporan oleh badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 8 November lalu menyatakan, Teheran sedang membangunkan bom atom dan akan meneruskan penyelidikan nuklearnya.

Amaran Iran semalam dibuat tiga minggu selepas menteri-menteri luar Kesatuan Eropah (EU) bersetuju mengetatkan lagi sekatan ke atas Teheran berikutan laporan berkenaan.

Pertemuan itu turut menyaksikan rancangan yang mungkin menyekat eksport minyak mentah Iran yang merupakan pengeluar kelima terbesar bahan tersebut di dunia.

Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) berkata, amaran Iran itu merupakan satu 'ugutan', tetapi tidak mengulas kenyataan bahawa AS menyokong aliran bebas minyak.

"Ia merupakan satu lagi cubaan untuk mengalihkan tumpuan daripada isu sebenar iaitu program nuklear Teheran yang masih diteruskan sehingga kini," kata jurucakap Jabatan Negara, Mark Toner.

Kenyataan Rahimi itu dibuat ketika Iran melaksanakan latihan tentera laut selama 10 hari di selat tersebut dan perairan sekitarnya yang bermula Sabtu lalu. - REUTERS

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan