Ahad, 4 September 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Gaddafi digesa menyerah diri

Posted: 03 Sep 2011 05:03 PM PDT

Dunia

Turki sokong rejim baru Libya syarat henti pertumpahan darah

TRIPOLI: Duta Turki ke Libya, Ali Kemal Aydin, menggesa Muammar Gaddafi dan anggota keluarganya menyerah diri dan berjanji memberi bantuan secukupnya kepada negara Afrika Utara itu dalam proses menuju demokrasi.

"Kami jangka keluarga Gaddafi akan menyerah diri kepada kehakiman Libya. Tiada jalan lain lagi bagi mereka," kata Ali, duta pertama untuk kembali ke Tripoli sejak Gaddafi digulingkan. Beliau menegaskan, langkah itu penting bagi menghentikan pertumpahan darah berterusan.

Pada masa sama, Turki, katanya, tidak akan menjadi orang tengah antara Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) dengan keluarga Gaddafi.

"Kami sejak awal lagi minta Gaddafi dan ahli keluarganya menyerah kuasa kepada rakyat Libya. Malangnya, mereka tidak ikut nasihat kami," katanya.

Di WASHINGTON: Fail yang ditemui dalam bangunan kerajaan Libya menunjukkan kerjasama rapat antara Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan agensi perisikan Gaddafi, termasuk memindahkan suspek pengganas ke negara Afrika Utara itu untuk disoal siasat.
CIA ketika pentadbiran Presiden George W Bush membawa suspek pengganas ke Libya dan mencadangkan soalan yang sepatutnya ditanya penyiasat negara itu, lapor akhbar Wall Street Journal (WSJ), sambil menambah fail berkenaan ditemui di ibu pejabat agensi Keselamatan Luar Libya.

CIA juga mahu terus 'hadir' di negara itu, lapor WSJ, menurut nota pegawai tinggi CIA, Stephen Kappes, kepada ketua perisik Libya ketika itu, Moussa Koussa.

Bagi menunjukkan hubungan rapat mereka, nota bermula dengan 'Dear Musa' dan ditandatangani dengan 'Steve'.

Seorang pegawai Amerika yang tidak dinamakan WSJ, Libya mahu menyambung hubungan diplomatik dengan Barat pada 2004.

"Cuma ingat, pada 2004, Amerika berjaya meyakinkan Libya untuk menamatkan program senjata nuklearnya dan membantu menghentikan pengganas yang secara aktif mensasarkan Amerika di negara sendiri dan di luar negara," kata pegawai berkenaan.

Fail itu ditemui penyelidik Human Rights Watch yang melawat bangunan kerajaan dan menyerahkan salinan kepada Wall Street Journal. – AFP


Charlene ikat nafsu Albert

Posted: 03 Sep 2011 04:58 PM PDT

Dunia

Puteri Monaco arah suami lupakan semua bekas kekasih

MONACO: Putera Albert tidak lagi berpeluang untuk berfoya-foya selepas isterinya, Charlene Wittstock menetapkan supaya beliau tidak lagi berhubung dengan semua bekas kekasihnya.

Puteri Charlene, 33, dikatakan cuba melarikan diri dari Monaco dua hari sebelum perkahwinan berlangsung selepas mengetahui Albert mempunyai anak luar nikah ketiga, ketika mereka bertunang. Selepas dinasihatkan oleh pegawai istana, pasangan itu berkahwin Julai lalu disusuli satu lagi dakwaan bahawa mereka bermalam di hotel berasingan ketika berbulan madu.

Berikutan itu, Charlene ketika ini dilaporkan menggunakan kuasanya untuk mengawal Albert, 53, yang sudah mempunyai dua anak luar nikah.

Majalah Paris Match mendedahkan bekas perenang Olimpik itu menyebabkan seorang daripada bekas kekasih Albert, Nicole Coste, dikeluarkan daripada senarai tetamu ke majlis Palang Merah besar-besaran di Monaco.

Coste yang berasal dari Togo, ialah ibu kepada anak luar nikah Albert yang berusia enam tahun, Alexandre. Pemerintah Monaco itu mempunyai seorang lagi anak perempuan, Jazmin, 19, yang dilahirkan selepas menjalin hubungan singkat dengan ejen hartanah Amerika Syarikat, Tamara Rotola.
Dalam kedua-dua kes, ujian DNA dilakukan sebelum Albert mengaku dia adalah bapa kepada kedua-duanya, dan bersetuju membiayai perbelanjaan membesarkan mereka.

Sumber yang rapat dengan istana Monaco memberitahu Paris Match: "Charlene perlu menerima kehadiran Coste dalam majlis tahun lalu ketika mereka bertunang.

"Tetapi, oleh kerana mereka sudah berkahwin, dia bertegas dan mahukan Coste dikeluarkan daripada senarai tetamu.

"Dia tidak mahu memberi status tetamu istimewa kepada Coste pada majlis rasmi dan tidak mahu Albert bergaul dengan mana-mana bekas kekasih."

Sebelum bertemu Charlene empat tahun lalu, Albert menjalin hubungan dengan berpuluh-puluh wanita cantik dan terkenal di dunia termasuk Angie Everhart, Brooke Shields dan Claudia Schiffer. Albert juga terpaksa berdepan khabar angin dia adalah gay.

Khabar angin mengenai permasalahan mereka yang disangkal keras pasangan itu, tersebar selepas Charlene dilaporkan bergegas ke Lapangan Terbang Nice dua hari sebelum perkahwinan berlangsung.

Majalah L'Express melaporkan, Charlene mengetahui Albert mempunyai anak luar nikah ketiga ketika mereka saling berhubungan. Laporan juga menyebut Albert menjalankan ujian DNA sebelum bertolak ke Durban untuk berbulan madu.

Charlene bercakap mengenai kesunyiannya di Monaco awal tahun ini dan menambah: "Saya cuma ada dua orang yang saya anggap rakan di sini."

Sumber dalaman Monaco memberitahu media Perancis bulan lalu, satu perjanjian dibuat antara Albert dan pengantinnya selepas dia berundur untuk memastikan Charlene memberikan waris sah kepada suaminya.

Perlembagaan Monaco menetapkan bahawa semua anak luar nikah Albert tidak boleh mewarisi takhta kerana dilahirkan tanpa ikatan perkahwinan.

Sumber lain pula mendakwa: "Charlene akan memberi waris, kemudian jika keadaan masih serba tidak kena, dia akan dapatkan pampasan perceraian lumayan."

Jurucakap kerajaan Monaco berkata, sebaik bertemu Charlene, Albert tahu dia akhirnya menemui wanita yang dia mahukan memberikan waris untuknya.

Jurucakap itu memberitahu majalah Point de Vue tahun lalu: "Charlene cantik dan bergaya, dan kami semua berharap dia akan memastikan kesinambungan institusi diraja. Albert tidak pernah berkahwin tetapi tahu ini masanya untuk melahirkan pewaris Monaco." – Agensi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan