Selasa, 23 Ogos 2011

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Penduduk Libya rai kejayaan tewaskan Gaddafi

Posted:

Penduduk Libya rai kejayaan tewaskan Gaddafi

Penduduk Libya rai kejayaan tewaskan Gaddafi

SEJUMLAH penduduk berhimpun di Benghazi, Libya semalam untuk meraikan kejayaan para pemberontak memasuki bandar Tripoli.


TRIPOLI, Libya - Pemberontak dan penduduk Libya meraikan kejayaan mereka di Dataran Hijau di sini semalam selepas mereka menawan kebanyakan kawasan di ibu kota negara berkenaan.

Pertahanan Gaddafi hancur manakala pemerintahan kuku besinya selama 42 tahun juga berakhir, namun di mana pemimpin Libya itu kini bersembunyi masih tidak dapat dipastikan.

Pergolakan di Libya bermula pada Februari lalu apabila sejumlah penduduk berhimpun di Benghazi dan Al Baida pada Februari lalu bagi menuntut kebebasan hak asasi manusia sebelum bertukar menjadi peperangan di antara pemberontak dengan tentera Gaddafi.

Setakat ini, hanya terdapat beberapa penentangan kecil oleh saki baki tentera Gaddafi di sini.

Terdahulu, stesen televisyen Libya menyiarkan rayuan Gaddafi kepada rakyat negara itu supaya bangkit demi mempertahankan pemerintahannya.

Pejuang pemberontak kini menawan anak lelakinya yang juga pewaris Gaddafi, Seif al-Islam.

Seif dan bapanya sebelum ini dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di Belanda kerana jenayah kemanusiaan.

Seorang lagi anak lelaki pemimpin itu berada dalam tahanan rumah.

"Semuanya sudah berakhir si rambut kerinting (Gaddafi)," jerit beratus-ratus lelaki dan wanita yang berhimpun di Dataran Hijau lewat kelmarin.

Orang ramai yang gembira dengan kekalahan Gaddafi, melepaskan tembakan ke udara, bertepuk tangan dan melambaikan bendera tiga warna pemberontak.

Sebahagian mereka membakar bendera hijau rejim Gaddafi dan melubangi sebuah poster yang menampilkan imejnya.

Beberapa pemimpin pemberontak berkata, kemenangan mereka selepas kebuntuan dalam perang saudara di Libya sejak enam bulan lalu, dicapai menerusi kerjasama di antara pemberontak, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan penduduk Tripoli.

Pejuang-pejuang pemberontak dari barat Libya mara lebih 30 kilometer dalam masa cuma beberapa jam kelmarin dengan menawan beberapa buah bandar dan sebuah pangkalan tentera semasa menuju ke sini.


ORANG RAMAI yang menaiki sebuah trak mengibarkan bendera baharu Libya bagi meraikan ketibaan para pemberontak di Tripoli semalam.


Pada masa yang sama, penduduk di bandar raya ini yang dibekalkan senjata oleh pemberontak secara rahsia, bangkit menentang rejim Gaddafi.

Apabila pemberontak tiba di sini, satu batalion khas yang ditugaskan oleh Gaddafi untuk mengawal bandar raya ini bertindak menyerah diri kepada mereka.

Seorang pegawai kanan kepimpinan pemberontak, Fathi al-Baja berkata, komander batalion berkenaan berpaling tadah selepas saudara lelakinya dihukum bunuh oleh Gaddafi beberapa tahun lalu.

Menurutnya, pelan untuk menawan bandar raya ini dirancang sejak tiga bulan lalu dengan bantuan NATO dan pemberontak di sini.

Menjelang semalam, pemberontak telah menawan kebanyakan kawasan di bandar raya ini termasuk Dataran Hijau.

Rampasan Dataran Hijau merupakan kejayaan simbolik buat mereka.

Kawasan tersebut merupakan lokasi perhimpunan pro-Gaddafi yang diadakan hampir setiap malam dengan pemimpin Libya itu menyampaikan ucapannya di Kubu Merah di sebelah dataran berkenaan.

Gaddafi ialah pemimpin dunia Arab yang paling lama memerintah.

Beliau mentadbir negara Afrika Utara yang dihuni cuma enam juta penduduk dan kaya dengan minyak itu selama 42 tahun.

Sejak bertahun-tahun lamanya, pemimpin beliau dituduh mendalangi pengeboman pesawat 747 milik syarikat penerbangan Amerika Syarikat, Pan Am yang meletup di Lockerbie, Scotland dan membunuh 270 orang. - AP

Obama bersantai sambil pantau perkembangan Libya

Posted:

Obama bersantai sambil pantau perkembangan Libya

Obama bersantai sambil pantau perkembangan Libya

OAK BLUFFS, Amerika Syarikat (AS) – Sementara menunggu perkembangan terbaru di Libya, Presiden AS, Barack Obama sempat bersantai sambil bermain golf, berehat di tepi pantai, mengunjungi restoran makanan laut dan melawat kediaman mewah milik seorang rakannya di kawasan percutian di Pulau Martha Vineyard, dekat sini kelmarin.

Sementara itu, beribu-ribu kilometer dari AS, pemberontak menyerbu ibu kota Libya, Tripoli dengan Muammar Gaddafi dilihat hampir pasti akan tumbang.

Walaupun bercuti selama tiga hari di Martha Vineyard, Obama kelmarin memantau situasi di Libya dengan rapi.

Ketika orang awam berhimpun di Dataran Hijau di Tripoli untuk meraikan kemenangan pemberontak, Obama pula seronok membeli makanan laut di sebuah restoran popular.

Apabila kumpulan wartawan bertanyakan reaksinya tentang Libya, Obama berkata, beliau akan membuat kenyataan apabila situasi di negara itu benar-benar jelas.

Namun, tidak lama kemudian Presiden AS itu mengadakan satu sidang media untuk mendesak Gaddafi, 69, supaya meletakkan jawatan dan melepaskan kuasanya.

"Rakyat Libya menunjukkan bahawa perjuangan demi maruah dan kebebasan mengatasi kuku besi seorang diktator (Gaddafi)," kata Obama.

Presiden AS itu bercuti bersama isterinya, Michelle dan dua anak perempuan mereka Sasha dan Malia serta diiringi beberapa penasihat kanan Washington.

– AP

Gaddafi sembunyi dalam kubu bawah tanah

Posted:

Gaddafi sembunyi dalam kubu bawah tanah

Gaddafi sembunyi dalam kubu bawah tanah



TRIPOLI - Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dipercayai berlindung di dalam sebuah kubu bawah tanah di luar bandar Tripoli, lapor akhbar Daily Mail semalam.

Beliau dilaporkan bersembunyi semasa pertempuran sengit berlaku di pekarangan rumahnya dan ketika penduduk meraikan kejayaan tentera pemberontak memasuki bandar ini. Sebuah stesen televisyen bebas Libya turut mendakwa bahawa Gaddafi telah melarikan diri sebagai seorang yang pengecut.

Beberapa pemimpin dunia sebelum ini meminta Gaddafi yang berkuasa sejak tahun 1969 menyerahkan diri selepas para pemberontak melancarkan serangan menentang kepimpinannya.

Namun, Gaddafi yang memerintah selepas melakukan rampasan kuasa aman semasa pemerintah Libya, Raja Idris berada di luar negara untuk mendapatkan rawatan perubatan kemungkinan ditawarkan hidup dalam buangan di Angola atau Zimbabwe oleh Kesatuan Afrika.

Majlis Peralihan Kebangsaan (TNC) yang diiktiraf Barat sebagai badan pentadbir Libya menyatakan anak Gaddafi, Seif Al-Islam dan Al-Saadi sudah ditangkap.

Menurut TNC, seorang lagi anak Gaddafi, Muhammad dilaporkan sudah menyerahkan diri.

Ketua TNC, Mustafa Abdel Jalil memberitahu stesen televisyen Al-Jazeera bahawa Seif dikawal rapi dan ditempatkan di sebuah tampat yang selamat.

Kemuncak pergolakan yang berlaku di Libya sejak Februari lalu adalah kemaraan para pemberontak di Tripoli dari bandar Misrata pada Ahad lalu menerusi laut.

Ekoran kejayaan para pemberontak menguasai Tripoli, Perdana Menteri Britain, David Cameron mengumumkan tidak lagi akan membekukan aset Libya yang berjumlah AS$20 bilion (RM59.31 bilion).

Jerman turut mengumumkan rancangan sama. Menteri Luar Jerman, Guido Westerwelle, berkata aset Libya yang dibekukan selama ini lebih AS$10.1 bilion (RM29.95 bilion).

Itali juga telah menghantar sebuah pasukan ke Benghazi untuk membantu membina semula pengeluaran minyak dan gas asli. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Komen