Selasa, 28 Jun 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Myanmar senarai hitam Yeoh

Posted: 28 Jun 2011 02:59 PM PDT

Dunia

Bekas gadis Bond kelahiran Malaysia tidak berpeluang memasuki Yangon

YANGON: Bintang Hollywood, Michelle Yeoh yang bakal memegang watak sebagai ikon prodemokrasi, Aung San Suu Kyi dalam sebuah filem terbaru dilaporkan dihantar pulang oleh kerajaan Myanmar dan disenaraihitamkan, kata seorang pegawai semalam.

"Beliau tidak akan mempunyai peluang memasuki Myanmar semula. Beliau dihantar pulang terus dengan penerbangan pertama selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon," kata seorang pegawai Myanmar, yang enggan dinamakan kepada AFP. "Beliau kini dalam senarai hitam," kata pegawai yang lain yang juga enggan mengulas mengapa.

Sementara itu agensi berita Associated Press melaporkan Yeoh tiba di Yangon pada 22 Jun lalu dan dihantar pulang pada hari sama.

Bekas gadis Bond kelahiran Malaysia itu pernah menemui pemenang Hadiah Nobel Keamanan di kediaman Suu Kyi di Yangon pada Disember selepas penggambaran filem bersama pengarah Luc Besson di Thailand bagi produksi terbabit, yang dirahsiakan.

Filem terbabit dijangka disiarkan pada akhir tahun ini.
Suu Kyi dibebaskan pada November selepas tujuh tahun dikenakan tahanan kediaman, kurang seminggu selepas satu pilihan raya yang disifatkan pengkritik sebagai bertujuan untuk mengekalkan pemerintahan tentera di belakang pentadbiran awam di Myanmar.

Suu Kyi yang memasuki usia 66 tahun bulan ini mendapat perhatian antarabangsa berikutan tentangan aman beliau dalam berhadapan dengan penindasan.

Pada 1990 beliau mengetuai parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi yang mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya tetapi tidak pernah diiktiraf kerajaan pemerintah tentera Myanmar. Beliau turut memboikot pilihan raya tahun lalu dengan menyifatkan pemerintah sebagai tidak adil.

Yeoh, 48, adalah bekas Ratu Malaysia, yang mula mendapat perhatian antarabangsa apabila turut bergandingan dengan Pierce Brosnan dalam filem James Bond 1997, Tomorrow Never Dies sebagai seorang pengintip China yang bukan saja tegas tetapi cantik.

Beliau kemudian berlakon dalam filem Crouching Tiger, Hidden Dragon sebuah filem epik seni pertahanan diri yang mendapat sambutan antarabangsa dan juga filem Memoir of a Geisha berdasarkan novel terlaris oleh Arthur Golden. – AFP/AP


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Minogue salahkan kesesakan trafik punca lewat ke konsert

Posted: 28 Jun 2011 02:58 PM PDT

Dunia

JAKARTA: Diva pop Australia, Kylie Minogue menyalahkan kesesakan teruk lalu lintas di Jakarta sebagai punca kelewatan beliau muncul dalam sebuah konsert di ibu negara Indonesia itu.

Promoter beliau berkata, penyanyi terbabit menggunakan sebuah helikopter untuk ke persembahan pada Isnin lalu di pinggir Jakarta tetapi kru persembahannya terperangkap dalam kesesakan menyebabkan konsert terbabit terpaksa ditangguhkan selama kira-kira 30 minit.

"Konsert Kylie Minogue bermula kira-kira setengah jam lewat disebabkan kesesakan lalu lintas di jalan bertol," kata pegawai pemasaran MP Entertainment, Rosana Wahyuni. Wahyuni berkata, perkara itu tidak menjadi masalah kerana sebahagian daripada 5,000 penonton turut terlewat untuk menyaksikan konsert The Show Girl Returns – Kylie Minogue's Aphrodite Tour 2011.

"Malah ada beberapa penonton yang tiba selepas persembahan konsert itu berakhir," kata Wahyuni.

Jakarta terkenal dengan kelemahan sistem pengangkutan awam dan kesesakan lalu lintas yang teruk, berikutan masalah rasuah dan perancangan yang lemah sejak sekian lama.

Pemimpin politik dan perniagaan kadang kala terpaksa menggunakan helikopter untuk menghadiri mesyuarat, manakala pegawai Indonesia turut diiringi polis trafik bagi menangani masalah kelewatan. – AFP


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan