Selasa, 15 Februari 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Tunjuk perasaan merebak ke Bahrain

Posted: 15 Feb 2011 12:38 PM PST

Dunia

SEORANG penunjuk perasaan cedera selepas bertempur dengan polis di Manama, semalam.

SEORANG penunjuk perasaan cedera selepas bertempur dengan polis di Manama, semalam.

Dua maut dalam pertempuran dengan polis

MANAMA: Dua penunjuk perasaan Syiah maut dalam pertempuran dengan polis Bahrain semalam, mencetuskan desakan diadakan bantahan antikerajaan besar-besaran seperti di Mesir serta Tunisia dan menyebabkan pembangkang memulaukan sidang parlimen.

Persatuan Perjanjian Kebangsaan Islam yang mewakili kaum Syiah dan mempunyai 18 kerusi dalam parlimen yang mempunyai 40 anggota itu menggantungkan keahliannya, kata seorang ahli parlimennya, Khalil al-Marzooq. Keputusan itu diambil berikutan kemerosotan keadaan keselamatan dan tindakan negatif dan ganas yang diambil pihak berkuasa dalam menangani tunjuk perasaan sehingga menyebabkan dua orang maut, katanya.

"Fadel Salman Matrouk ditembak mati di depan hospital Suleimaneya di mana orang ramai berkumpul untuk menyertai pengebumian syahid pertama," kata Marzooq.

Kementerian dalam negeri berkata, sesetengah rakyat yang menyertai pengebumian itu bergelut dengan pasukan keselamatan yang membawa kepada kematian Matrouk.

"Penyiasatan dijalankan untuk menentukan keadaan kes itu," katanya.
Msheymah Ali meninggal awal pagi semalam selepas cedera parah ketika polis Bahrain cuba meleraikan orang ramai yang menunjuk perasaan di sebuah kampung di timur Manama, kata seorang pegawai.

Kementerian dalam negeri mengumumkan kematian penunjuk perasaan itu disebabkan kecederaannya dan siasatan terbuka akan dilakukan sama ada polis terpaksa menggunakan senjata untuk meleraikan penunjuk perasaan di kampung Diya.

Pihak berkuasa Bahrain menggunakan gas pemedih mata untuk meleraikan perhimpunan antikerajaan yang dikenali sebagai Hari Kemarahan.

"Mereka bersurai apabila gas pemedih mata ditembak di kawasan hospital dan mereka kembali berhimpun," kata ahli parlimen daripada parti pembangkang Syiah, Ibrahim Mattar.

Saksi berkata, Ali cedera kelmarin ketika pergelutan di antara penunjuk perasaan dan polis.

Orang ramai berkumpul menyertai bantahan antikerajaan itu selepas berita kematian berkenaan disiarkan dalam laman Facebook.

Saksi memberitahu protes dilakukan sejak Isnin di kawasan penduduk majoriti Syiah di barat, timur dan utara ibu negara ini selain kawasan bersejarah Balad al-Qadim, pusat bandar Manama.

Perarakan itu yang bermula dengan hanya beberapa orang bertukar menjadi ratusan penduduk, kata mereka.

"Tiada tangkapan dilakukan semasa demonstrasi tetapi dalam sesetengah kes polis bergaduh dengan penunjuk perasaan," kata pegawai polis.

Pasukan keselamatan dikerah mengawasi sepanjang jalan utama ke Manama untuk mengelakkan perhimpunan besar-besaran diadakan yang dicetuskan dalam internet seperti inisiatif online yang berlaku di dunia Arab.

Laman Facebook itu menyeru kebangkitan pada 14 Februari diilhamkan daripada bantahan yang menjatuhkan regim di Tunisia dan Mesir turut menarik lebih 22,000 pengguna untuk mengundi 'suka'.

Mesej pada laman itu bertulis "Ini adalah peluang anda untuk membuka laluan untuk pembaharuan sosial dan politik dengan perubahan yang berlaku di Asia Barat. Pada 14 Februari, kita menyanyi bersama-sama. Rakyat mahu perubahan regim".

Seperti di negara Arab lain, rakyat Bahrain menggunakan internet untuk meminta kerajaan menyediakan pekerjaan untuk orang muda dan menaikkan gaji.

Dengan penduduk majoriti Syiah, Bahrain diperintah khalifah daripada Sunni, Raja Hamad yang mengekalkan penguasaan terhadap jawatan perdana menteri dan kementerian utama.

Pada 1990-an, negara kepulauan Arab yang berada di laluan Teluk itu digegarkan dengan gelombang rusuhan Syiah dan reda sejak perubahan parlimen pada 2001.

Bagaimanapun, pihak pembangkang Syiah membantah kuasa perundangan dikongsi bersama dewan negara yang dilantik dan menuduh pihak berkuasa cuba menukar demografi dengan menerima pendatang Sunni. – AFP/ Reuters.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Menteri Kewangan negara EU timbang permintaan Mesir

Posted: 15 Feb 2011 12:37 PM PST

Dunia

BRUSSELS: Menteri Kewangan negara Kesatuan Eropah (EU) mengadakan mesyuarat di ibu negara Belgium semalam bagi membincangkan permintaan Mesir bagi membekukan aset menteri dan orang kanan kerajaan bekas presiden Hosni Mubarak, selain tambahan bantuan dan pelaburan di negara Arab.

Setakat Mesir sudah meminta Britain, Jerman dan Perancis agar membekukan aset pegawai kanan rejim bekas presiden itu.

Seorang diplomat EU yang enggan namanya disiarkan berkata, satu senarai 'enam atau tujuh' rakyat Mesir 'tetapi pastinya tidak termasuk Mubarak dan keluarganya' kini disasarkan oleh Kaherah. "EU akan menimbang untuk menggunakan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menentang rasuah, sebagai landasan untuk membekukan akaun dan merampas aset terbabit," katanya.

Bagaimanapun, setakat ini tiada penjelasan terperinci mengenai permintaan tersebut daripada menteri Mesir yang menyertai mesyuarat itu.

Sementara itu di KAHERAH, Menteri Luar, Ahmed Abu Gheit, menggesa masyarakat antarabangsa membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi selepas tunjuk perasaan prodemokrasi yang menggulingkan Presiden Hosni Mubarak.

Kementeriannya dalam satu kenyataan menyatakan bahawa Abu Gheit menggesa 'pihak antarabangsa menyediakan bantuan untuk pemulihan ekonomi Mesir yang terjejas teruk akibat krisis politik' baru-baru ini.
Kenyataan berkenaan dikeluarkan selepas tunjuk perasaan yang diadakan hampir melumpuhkan Mesir selepas kejatuhan Mubarak, menyebabkan kepemimpinan tentera menggesa rakyat agar tidak meneruskan tunjuk perasaan itu.

Abul Gheit juga 'menekankan bahawa Mesir akan tetap akrab dengan Palestin dan menyokong hak rakyatnya, termasuk resolusi Majlis Keselamatan menuntut pembekuan projek pembinaan Israel.

Majlis tentera Mesir menetapkan tempoh tiga bulan untuk mengadakan pilihan raya demokrasi di negara itu dan berikrar menyerahkan kuasa kepada kerajaan awam selaras tuntutan penunjuk perasaan yang menggulingkan Mubarak selepas 30 tahun memerintah. – AFP


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan