Rabu, 3 April 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Jari kelengkeng anak dalam perut anjing

Posted:

Florida: Seorang lelaki menembak mati seekor daripada anjing kesayangan keluarga dan membelah perut haiwan itu selepas ia membaham sebatang jari anaknya.

Sebelum itu, Fernando Brignoni, 11, sedang memanjakan anjing peliharaan mereka sekeluarga, Sassy, apabila haiwan berkenaan tiba-tiba membaham tangannya.


Mendengar Fernando menjerit kesakitan, bapa budak itu, Luis bergegas ke halaman dan memukul kepala Sassy.

Namun, selepas Luis, 43, menarik tangan Fernando dia mendapati jari kelengkeng anaknya telah putus dan dipercayai berada dalam perut Sassy.


Ketika itu, kata Luis, anjing berkenaan masih berlegar-legar di laman rumah mereka di Bradenton.


Dalam keadaan itu, Luis berkata, dia sedar tidak ada pilihan lain kecuali menyelamatkan jari Fernando dengan membunuh Sassy.

Foto

FERNANDO masih dirawat di hospital kerana cedera di tangannya tetapi dia dijangka dibenarkan pulang tidak lama lagi.

"Saya mengambil pistol dan menembak Sassy," katanya.


Sebaik saja Sassy mati, Luis membelah perut anjingnya untuk mendapatkan semula jari Fernando. Menggunakan helikopter, Fernando kemudian diterbangkan bersama jarinya ke hospital. Kata Luis, dalam keadaan mencemaskan, seseorang boleh bertindak apa saja demi menyelamatkan anak mereka.

"Anda tidak tahu dari mana kekuatan itu datang," katanya. Walaupun begitu, Luis mengakui dia amat sedih kerana kehilangan Sassy yang dipeliharanya sejak tujuh tahun lalu.


"Pada asasnya, kami kehilangan sebahagian daripada anggota keluarga," katanya. Kata Luis, dia terpaksa membuat pilihan sukar.


"Saya terpaksa mengutamakan anak daripada Sassy dan ketika itu, saya tidak mempunyai sebarang pilihan," katanya. Di sebalik tindakan nekad Luis, jari Fernando tetap gagal diselamatkan kerana ia mengalami kerosakan saraf. - Metro

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/03

Kakitangan kerajaan berjudi meningkat

Posted:

Bangkok: Kakitangan awam dinasihat supaya menjauhi amalan berjudi kerana ia mungkin menyebabkan mereka kehilangan kerja ketika kajian menunjukkan aktiviti itu semakin meningkat, terutama di kalangan guru.

Pengurus Pusat Maklumat Untuk Dasar Kawalan Perjudian, Pongtorn Chantharatsami berkata, kajian sejak lima tahun lalu membuktikan berlaku pertambahan ketara, terutama di kalangan kakitangan awam yang berkhidmat di wilayah berhampiran sempadan. Kata Pongtorn, kakitangan awam terutama guru di Buri Ram, Si Sa Ket, Sa Kaeo, Surin, Prachin Buri dan Nakhon Ratchasima sering mengunjungi kasino di Kemboja melalui pintu sempadan Sa Kaeo di daerah Aranyaprathet.


"Aktiviti perjudian memberi kesan serius kepada keluarga pelakunya.

"Jika seorang guru terbabit dengan aktiviti perjudian, sesetengah daripada mereka akan ditarik kelayakan mengajar sekali gus menamatkan kerjaya sebagai pendidik," katanya. Kajian yang dijalankan agensi itu di wilayah Surin mendapati punca utama kakitangan awam dikenakan tindakan disiplin ialah akibat aktiviti berjudi.


Antaranya, perjudian membabitkan keputusan perlawanan bola sepak atau mengunjungi kasino di negara jiran. Justeru, Gabenor Surin mengarahkan semua agensi kerajaan memantau dan menghalang kakitangan awam berkunjung ke mana-mana kasino serta melarang mereka terbabit dalam sebarang bentuk perjudian. Kajian di Chiang Rai menunjukkan ramai kakitangan menyokong perjudian dengan mengambil rasuah bagi memudahkan orang ramai mengunjungi kasino di Myanmar dan Laos. Kata Pongtorn, sebarang pembabitan kakitangan awam dengan aktiviti judi boleh dikenakan tindakan, termasuk dipecat. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/03

Tiada ulasan:

Catat Ulasan