Rabu, 24 April 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


'Saya tidak akan berhenti menari'

Posted: 23 Apr 2013 11:36 AM PDT

Boston: Seorang guru tari yang hilang sebelah kaki dalam serangan bom Maraton Boston berikrar untuk menari lagi dan lari dalam acara itu tahun depan.

Doktor gagal menyelamatkan kaki kiri Adrianne Haslet-Davis selepas dia terkena bom kedua ketika menonton perlumbaan itu minggu lalu. Mereka terpaksa memotong kakinya sebanyak lima inci dari bawah lutut.


Meskipun menjalani pembedahan yang mengubah hidupnya, wanita berusia 32 tahun itu berkata, dia tidak akan meninggalkan minatnya.

"Ketika menari, saya merasakan tidak perlu melakukan apa-apa lagi. Saya mencapai kegembiraan sepenuhnya," kata Adrianne kepada media.


"Saya tidak boleh membiarkan orang lain datang dan meragut seluruh kehidupan saya. Kerana itu saya akan menari lagi. Dan tahun depan, walaupun tidak pernah berlari, saya akan menyertai acara maraton itu.


Gambar yang dibekalkan oleh Studio Arthur Murray Studio di Park Plaza menunjukkan Adrianne begitu bersemangat mengajar orang lain untuk menari dan dia sendiri menari dengan lemah lembut.

Foto

Adrianne menari di Pusat Tarian Arthur Murray.

Foto

Adrianne bersama suami, Adam Davis.

Perasaan kehilangan kakinya jelas pada fikiran Adrianne apabila dia dan suami, Kapten Tentera Udara Adam Davis, merasai kesan letupan itu. "Saya masih ingat letupan bom pertama. Ketika itu saya memegang Adam, suami saya dan terfikir, pasti ada bom kedua.


"Saya tahu sesuatu akan berlaku dan saya mula menjerit. Kemudian bom kedua meletup. Saya masih ingat jatuh ke belakang kerana kesan letupan itu," katanya dalam wawancara dengan CNN.

Dia bangkit dan menyangka semuanya berjalan dengan baik sehingga suaminya menunjukkan ke arah kakinya. - Dailymail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24

Tamara rebut Lamborghini dengan bekas kekasih

Posted: 23 Apr 2013 11:32 AM PDT

London: Pewaris F1, Tamara Ecclestone semalam terbabit dalam perbicaraan untuk mendapatkan semula kereta Lamborghini model Aventado yang berharga RM1.9 juta daripada bekas kekasihnya.

Model berusia 28 tahun itu, anak bilionair F1, Bernie Ecclestone, hadir di Mahkamah Tinggi untuk menuntut kenderaan itu daripada bekas kekasihnya, Omar Khyami.

Tamara yang meninggalkan bekas broker saham berkenaan Julai lalu selepas kemunculan pita seks yang menunjukkan Omar curang terhadapnya bertegas menyatakan dia adalah pemilik kereta itu.

Bagaimanapun, Omar mendakwa, Tamara menghadiahkan kereta berkenaan sempena hari jadinya yang ke 38 pada April tahun lalu.


Mahkamah menetapkan kereta itu yang sudah dijual dua kali sejak dirampas perlu disimpan secara selamat sehingga pertikaian mengenainya berakhir.


Tamara yang memutuskan hubungannya dengan Omar selepas menonton pita seks 30 saat itu yang menunjukkan lelaki itu turut memakai dua gelang emas Cartier berharga RM150,000 yang diberikan kepada lelaki itu.

Dia membeli kereta itu daripada Elite Performance Cars Ltd.

Omar yang mendakwa video itu dirakam beberapa tahun lalu tidak memberitahu Tamara bahawa dia menggunakan kereta itu sebagai jaminan untuk meminjam wang berjumlah RM1.25 juta daripada Elite, syarikat yang dimiliki rakannya dengan kadar faedah 70 peratus.

Peguam Tamara, Andreas Gledhill berkata, kereta itu didaftarkan atas nama Omar semata-mata untuk membolehkannya mendapat permit parkir di kediaman mereka di Chelsea.

Kereta itu dirampas dari sebuah garaj oleh pegawai mahkamah selepas Tamara membawanya untuk penyelenggaraan.

Omar dilapor berusaha memujuk kakitangan mahkamah supaya melepaskan kereta berkenaan.

Apabila dia membawanya ke Elite, Tamara mendapat perintah mahkamah untuk menghalangnya daripada dijual.

Tetapi perintah itu dilanggar dan Elite menjualnya kepada Four Seasons Autos. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24

Tiada ulasan:

Catat Ulasan