Sabtu, 3 November 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Datuk Bandar New York undang kontroversi

Posted:

Datuk Bandar New York undang kontroversi

SEBUAH bot dan serpihan lain terdampar di atas landasan kereta api New Jersey Utara di New Jersey selepas taufan Sandy kelmarin.


NEW YORK - Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg mencetuskan kontroversi apabila mahu meneruskan acara marathon terbesar di dunia yang akan diadakan di kota metropolitan ini esok.

Ramai penduduk kota raya ini berpendapat bahawa keputusan Bloomberg tidak kena pada masanya.

Ia ekoran keputusan itu dibuat ketika pasukan penyelamat memasuki sejumlah kediaman yang ditenggelami air bah untuk mencari mangsa-mangsa terselamat selepas taufan Sandy membadai Pantai Timur Amerika Syarikat (AS).

Angka kematian akibat bencana tersebut itu di sini dan negeri New Jersey kini meningkat kepada lebih 95 orang.

"Jika mereka meneruskan marathon ini saya akan menjerit," kata seorang ahli majlis bandar raya ini, James Oddo dalam akaun Twitternya.

"Kita ada ramai orang yang hilang kediaman dan hilang harapan," tambahnya.

Bagaimanapun, dalam mempertahankan keputusannya, Bloomberg berjanji marathon itu tidak akan menggunakan sebarang sumber atau bantuan yang diperuntukkan kepada mangsa taufan Sandy.

Beliau juga menjangkakan bekalan elektrik di kawasan Manhattan di sini akan dipulihkan esok.

"(Tambahan pula), terdapat banyak perniagaan kecil yang bergantung kepada acara itu. Kita perlukan aktiviti bagi menjana ekonomi," kata Bloomberg dalam satu sidang akhbar Rabu lalu.

Penganjur marathon berkenaan, kelab New York Road Runners memberitahu, acara tersebut akan menjana pendapatan berjumlah AS$340 juta (RM1.03 bilion) kepada kota raya ini.

Kelab itu mengumumkan kelmarin bahawa ia akan mendermakan sekurang-kurangnya AS$1 juta (RM3 juta) bagi membantu mangsa-mangsa taufan Sandy di sini.

Seramai 40,000 pelari dijangka mengambil bahagian dalam acara tersebut.

Sementara itu, kemarahan orang ramai semakin memuncak ekoran angka kematian yang terus meningkat di samping bantuan yang lambat tiba di beberapa kawasan yang paling teruk terjejas.

"Mereka (pihak berkuasa) lupakan kita," kata seorang wanita berusia 42 tahun, Theresa Connor.

Menurutnya, kawasan kejiranannya di Staten Island di sini musnah sama sekali akibat taufan Sandy.

"Bloomberg pula menyatakan kota raya New York berada dalam keadaan baik. Marathon akan diteruskan!" katanya.

Selain kelambatan bantuan, orang ramai juga berasak-asak untuk membeli petrol dengan menyebabkan harga bahan itu melambung tinggi.

Pendakwa Raya Daerah Richard Brown berkata, berlaku beberapa kejadian tidak diingini ekoran situasi tersebut dengan seorang lelaki di sini didakwa kerana mengacukan pistol terhadap seorang pemandu lain selepas lelaki itu cuba memotong barisan untuk membeli petrol.

Sebuah firma pengukur bencana, Eqecat menganggarkan Sandy menyebabkan kerugian yang diinsurans berjumlah AS$20 bilion (RM61 bilion) manakala kerugian ekonomi pula mencecah AS$50 bilion (RM152 bilion).

Taufan Sandy merupakan bencana keempat terburuk di AS di belakang Taufan Katrina pada 2005, serangan 11 September pada 2001 dan Taufan Andrew pada 1992.

- Agensi

Polis halang 500 ekor kucing dijadikan lauk

Posted:

Polis halang 500 ekor kucing dijadikan lauk

SEBAHAGIAN daripada 500 ekor kucing yang dipintas pihak polis di bandar Xuzhou, dalam wilayah Jiangsu di China baru-baru ini.


XUZHOU - Polis di bandar ini, dalam wilayah Jiangsu, di timur China menghalang sebuah lori yang membawa 500 ekor kucing untuk dijadikan hidangan eksotik di restoran-restoran tempatan, lapor akhbar Telegraph semalam.

Polis mengarahkan lori terlibat supaya berhenti apabila menyedari kenderaan tersebut memiliki nombor plat luar wilayah.

Mereka kemudian menyoal pemandu lori tentang haiwan yang dibawa selepas terdengar bunyi mengiau dari bawah plastik penutup kargo tersebut.

"Arnab," jawab pemandu tersebut.

Namun, kenderaan itu sebenarnya membawa beratus-ratus ekor kucing yang diletakkan di dalam puluhan sangkar besi.

Sejak beberapa tahun lalu, permintaan daging kucing di selatan China meningkat dengan bekalan haiwan itu diperoleh dari seluruh China.

Daging kucing akan dicampurkan bersama daging ular untuk dimasak sejenis hidangan tempatan istimewa yang digemari penduduk tempatan.

Undang-undang China tidak melarang rakyatnya menjual kucing kerana haiwan itu tidak dianggap sebagai harta benda milik keluarga.

Pencuri kucing biasanya memperoleh bayaran 10 yuan (RM4.90) untuk seekor kucing yang dijual kepada orang tengah.

Berikutan pemandu lori berkenaan tidak melakukan sebarang kesalahan, pihak polis membeli kargo tersebut pada harga 3,500 yuan (RM1,723) selepas berunding selama tiga jam dengan pemandu terlibat. - Agensi

Model dikecam bergambar di lokasi kemusnahan Sandy

Posted:

Model dikecam bergambar di lokasi kemusnahan Sandy

GAMBAR pertindihan imej menunjukkan Gouvea menyaksikan peristiwa seorang sami Buddha membakar dirinya di Vietnam pada 1963.


NEW YORK - Seorang model terkenal Brazil diselar oleh pengguna internet kerana bergambar di beberapa lokasi yang musnah akibat taufan Sandy di sini.

Nana Gouvea, 30, yang dilaporkan pernah menghiasi majalah Playboy memuat naik beberapa keping gambar tersebut di laman Facebook.

Beberapa gambar itu menunjukkan dia bersandar pada sebatang pokok tumbang dan berdiri di atas kereta-kereta yang musnah di sini.

Gambar-gambarnya mencetuskan bantahan pengguna internet malah portal hiburan Gawker.com. mempersendakan model tersebut.

"Bencana alam memberikan peluang baik untuk keluar dan bergambar dengan menampilkan pelbagai aksi dan gaya," kata seorang pengguna internet secara sinis.

Sebuah laman Facebook yang dinamakan Nana Gouvea in Disasters turut mempersendakan model berambut hitam itu.

Laman web itu memaparkan beberapa gambar pertindihan imej yang menunjukkan imej Gouvea dalam beberapa peristiwa tragis seperti kapal Titanic karam dan perbuatan seorang sami Buddha, Thich Quang Duc yang membakar dirinya di Vietnam pada 1963. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan