Isnin, 15 Oktober 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Norodom Sihanouk mangkat

Posted: 15 Oct 2012 01:39 PM PDT

Mayat dipamer di Phnom Penh, pengebumian tiga bulan lagi

PHNOM PENH: Bekas raja Kemboja yang disifatkan penuh karisma, Norodom Sihanouk serta hidup dalam buangan dan peperangan termasuk pemerintahan kekejaman Khmer Rouge, dilaporkan mangkat di Beijing semalam ketika berusia 89 tahun.

Jurucakap kerajaan Khieu Kanharith berkata, mayat beliau akan dipamerkan di Phom Penh selama tiga bulan sebelum majlis pengebumian negara, kata seorang pegawai.

Mayat dijangka tiba di Phnom Penh tengah hari esok, berkabung diteruskan sehingga 21 Oktober," Khieu Kanharith, Jurucakap kerajaan

"Mayat bekas pemimpin itu dijangka tiba di ibu negara Kemboja pada tengah hari esok manakala tempoh berkabung akan diteruskan sehingga 21 Oktober. Upacara pengebumian akan berlangsung tiga bulan lagi," katanya.

Beliau berkata ini adalah untuk membolehkan rakyat Kemboja memberi penghormatan terakhir kepada pemimpin mereka, yang sepanjang hayatnya melalui pelbagai cabaran dalam pemerintahan, hidup dalam buangan, konflik dan tregedi termasuk kekejaman Khmer Rouge.

Keputusan dibuat pada satu mesyuarat peringkat tertinggi Phnom Penh beberapa jam selepas berita kematian pemimpin diraja itu awal semalam yang disahkan meninggal dunia di sebuah hospital di Beijing akibat serangan jantung.

Penghormatan
Khieu Kanharith berkata, beliau percaya ratusan ribu penduduk akan berbaris di ibu negara esok untuk menunggu kepulangan mayat Sihanouk ke Phnom Penh selepas menghabiskan 10 bulan terakhir menjalani rawatan perubatan di China.

Sihanouk, yang kerap mengunjungi China untuk mendapatkan rawatan perubatan mangkat akibat satu serangan jantung, kata pembantu peribadinya, Putera Sisowath Thomico.

"Ia amat memeritkan. Saya amat sedih sekali," katanya mengenai bekas raja yang tiba-tiba turun takhta pada Oktober 2004 berikutan masalah kesihatan dan usia lanjut.

Milik rakyat

"Raja Sihanouk bukan milik keluarganya, beliau milik rakyat Kemboja dan sejarahnya," kata Pu-tera Thomico kepada AFP.

Beliau yang meminati filem dan puisi di mana perkahwinannya sebanyak enam kali menyebabkan dirinya digelar playboy menerajui negaranya selama beberapa dekad yang dipenuhi dengan penderitaan politik dan sosial, daripada kemerdekaan kepada perang saudara dan pencerobohan.

Sihanouk juga dilihat sering mengubah kesetiaan berikutan perubahan iklim politik termasuk menyokong gerila Khmer Rouge sebelum beliau sendiri dipenjarakan oleh mereka.

Rejim komunis fanatik menyebabkan kematian lebih dua juta penduduk termasuk lima daripada 14 orang anak Sihanouk sendiri.

Sihanouk yang berjuang sejak sekian lama, mengambil keputusan turun takhta berikutan masalah kesihatannya termasuk barah, kencing manis dan masalah jantung, terus menjadi penyokong setia China. - AFP

Info: NORODOM SIHANOUK

  • Dilahirkan 31 Oktober 1922.
  • Pendidikan awal di sekolah rendah Phnom Penh sebelum mendapat pendidikan menengah di Saigon (Bandar Raya Ho Chi Minh).
  • Melanjutkan pengajian ke sekolah tentera Cavarly di Saumur, Perancis.
  • Dilantik sebagai Raja Kemboja pada September 1941 berikutan kematian datuknya, Raja Sisowath Monivong.
  • Pada 1955 melepaskan takhta untuk menceburi politik dan bapanya, Norodom Suramarit dinamakan sebagai raja. Sejak itu beliau menjadi perdana menteri beberapa kali.
  • 1960 dilantik sebagai ketua negara selepas kematian bapanya.
  • Anak kepada Raja Norodom Suramarit dan Ratu Sisowath Kossamak memegang banyak jawatan sejak 1941 dan diiktiraf Guinness Book of World Records sebagai ahli politik terhebat di dunia berkhidmat dalam pelbagai lapangan politik.

Menteri pertahanan minta maaf

Posted: 15 Oct 2012 01:31 PM PDT

Seoul: Menteri Pertahanan Korea selatan Kim Kwan-Jin meminta maaf kerana membenarkan seorang askar Korea Utara yang berpaling tadah, melepasi sempadan tanpa pemeriksaan selepas ia dikuatkuasakan.

Beliau turut mengumumkan pemecatan Komander Bahagian Tentera serta dua komander pemerhati kerana terbabit dalam kejadian itu.

"Saya mengaku, pembelotan dalam ketenteraan Korea Selatan ini menunjukkan kegagalan dan kelemahan dalam sistem laporan keselamatan dan meminta maaf kerana menyebabkan kebimbangan kepada rakyat," katanya.
Seorang askar Korea Utara berusia 22 tahun berjaya melepasi pagar elektrik yang membahagikan dua negara itu.

Seberang sempadan

Tentera berkata, beliau dirakam kamera litar tertutup sebelum diselamatkan, manakala siasatan mendapati kamera litar tertutup tidak mengesan askar berkenaan ketika ia menyeberang masuk ke sempadan Korea Selatan.

Kejadian itu mencetuskan ketegangan dengan Presiden Lee Myung-Bak mengecam Menteri Pertahanan dan menggesa tindakan dilakukan, dengan menghukum mereka yang bertanggungjawab. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan