Jumaat, 12 Oktober 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Haji bukan tempat laung slogan politik

Posted: 11 Oct 2012 09:52 AM PDT

Jeddah: Arab Saudi memberi jaminan akan berusaha supaya jemaah mengerjakan Haji dengan selesa tahun ini sambil mengingatkan mereka bahawa Tanah Suci bukan tempat untuk melaungkan slogan politik dan agama.

Perkara itu ditekankan oleh Setiausaha Rendah Pengawal Kebangsaan wilayah barat, Putera Khaled bin Faisal bin Turki, ketika menerangkan peranan Pengawal Kebangsaan dalam memastikan ibadat Haji berjalan lancar dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri dan Kesihatan.

Kerajaan Penjaga Dua Masjid Besar pimpinan Raja Abdullah akan berusaha memastikan semua jemaah dapat menunaikan ibadat dengan selesa, jadi sebarang gangguan mana-mana pihak tidak akan diterima. Haji bukan tempat untuk melaung-laungkan slogan politik atau agama, kata putera itu yang dipetik Arabnews.
Katanya, Pengawal Kebangsaan memainkan peranan penting mengenai perkhidmatan kepada jemaah ketika ibadah itu.

Tahun lalu, hampir tiga juta jemaah menunaikan ibadat Haji.

Minggu lalu, seorang pegawai kanan keselamatan Arab Saudi menegaskan bahawa pihak berkuasa tidak akan bertolak ansur dengan sebarang cubaan mengeksploitasi Haji menerusi perarakan politik.

Beliau merujuk kepada tindakan jemaah Iran pada masa lalu yang membawa kepada pertempuran dengan polis hingga menyebabkan kematian.
Kami tidak akan benarkan sebarang cubaan mengeksploitasi Haji, kata panglima pasukan keselamatan, Jeneral Saad al-Khelyawi.

Beliau menjawab soalan media mengenai gesaan Iran supaya satu perarakan mengutuk Barat dan Israel diadakan, protes yang mencetuskan pertempuran beberapa kali sebelum ini.

Pada 1987, 402 terbunuh, 275 adalah jemaah Iran selepas pertempuran meletus apabila polis cuba menghentikan perarakan itu.
Agensi

Tersilap beri nombor seks

Posted: 11 Oct 2012 09:51 AM PDT

Tallahassee: Gabenor Florida, Rick Scott, dilaporkan tersilap apabila memberi nombor telefon hotline seks kepada penduduk sedangkan mereka meminta maklumat mengenai wabak meningitis kulat yang menyebabkan ramai maut di Amerika Syarikat.

Pada Selasa lalu, Scott memberi maklumat terkini mengenai wabak itu dalam satu mesyuarat.

Beliau kemudian mengumumkan nombor talian bebas tol mengenai wabak terbabit untuk memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai wabak terbabit. Bagaimanapun, beliau memberikan nombor talian hotline seks.
Pejabat gabenor dimaklumkan perkara itu oleh stesen radio umum di Tampa, WUSF, yang memantau mesyuarat terbabit dan menyiarkan nombor itu di halaman webnya.

Stesen terbabit berkata, mereka dimaklumkan pendengar nombor terbabit sebenarnya talian telefon dewasa.

Nombor Hotline Meningitis Kulat Florida adalah 866-523-7339, tetapi Scott tersilap satu nombor.

Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan