Jumaat, 31 Ogos 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Eastwood buat Republikan teruja

Posted: 31 Aug 2012 02:06 PM PDT

Pelakon filem aksi 'Western' minta rakyat AS tolak Obama

Tampa: Anggota Parti Republikan memberi sambutan hangat kepada pelakon aksi 'Western' terkenal Amerika Syarikat, Clint Eastwood yang muncul pada konvesyen parti itu untuk turut memberi sokongan kepada calon presidennya, Mitt Romney, kelmarin.

Kemunculannya selama 12 minit itu menyaksikan beliau memandang kepada satu kerusi kosong, diumpamakan satu perbualan 'olok-olok' dengan Presiden Barack Obama yang segera mencetuskan reaksi di laman web sosial.

Biden adalah seorang intelektual dalam Parti Demokrat. Dia hanya perlu senyum saja tanpa buat apa-apa lagi. Saya juga fikir mengenai langkah menutup Gitmo (Guantanamo), tapi buat apa tutup, kita banyak berbelanja untuk kendali tempat itu' - Clint Eastwood, Pelakon

Bidas Obama, Biden

Pengarah berusia 82 tahun itu yang pernah menang Oscar menerusi filem 'Million-Dollar Baby' dan pelakon terkenal menerusi filem koboi 'The Good, the Bad and the Ugly, membidas Obama dan Naib Presiden, Joe Biden, kerana gagal memulihkan semula ekonomi selain tidak menepati janji dalam isu tertentu termasuk penutupan pusat tahanan Guantanamo.

Berbual dengan kerusi

"Saya rasa sudah tiba masanya untuk orang lain pula menyelesaikan masalah," kata Eastwood sambil memandang ke arah kerusi kosong di sebelahnya.
"Kamu juga semakin teruk seperti Biden. Biden adalah seorang intelektual dalam Parti Demokrat. Dia hanya perlu senyum saja tanpa buat apa-apa lagi. Saya juga fikir mengenai langkah menutup Gitmo (Guantanamo), tapi buat apa tutup, kita banyak berbelanja untuk kendali tempat itu.

"Tapi, saya juga fikir, mungkin sebagai satu sebab (supaya tidak menutupnya), mengapa anda suruh saya tutup mulut," kata Eastwood sambil memandang kerusi kosong itu dengan anggota Republikan ketawa mendengar kata-katanya itu.

Eastwood turut mengulas bagaimana beliau menerima baik mesej Obama mengenai usaha memberi harapan baru dan perubahan dalam kempen 2008 sebelum mengubah fikiran kerana kegagalan dasar pemimpin Demokrat itu mengurangkan kadar pengangguran di bawah lapan peratus.

Pilih ahli perniagaan

"Saya rasa mungkin tiba masanya untuk seorang ahli perniagaan (mengambil alih tugas)," katanya merujuk kepada Romney yang mencapai kejayaan besar sebagai pelabur ekuiti persendirian," katanya.

"Apabila seseorang itu tidak lakukan tugasnya, anda tidak lagi perlu memilihnya," kata Eastwood. - AFP

Hakim sokong Samsung

Posted: 31 Aug 2012 02:02 PM PDT

Mahkamah Jepun tolak produk firma Korea tiru Apple

Tokyo: Mahkamah Tokyo semalam menolak dakwaan Apple Inc bahawa Samsung melanggar hak ciptanya, keputusan terkini dalam pertarungan perundangan global mengenai paten telefon pintar yang melagakan dua gergasi teknologi berkenaan.

Samsung dari Korea Selatan, pengeluar telefon terbesar dunia, mengalu-alukan keputusan Mahkamah Daerah Tokyo bahawa teknologinya untuk menyesuaikan peralatan telefon bimbit dengan komputer tidak melanggar hak cipta Apple.
"Kami sudah lama berpendirian begitu. Kami akan terus menawarkan produk inovatif kepada pengguna, dan meneruskan sumbangan kami kepada pembangunan industri telefon bimbit," kata syarikat berkenaan dalam satu kenyataan.

Peguam Apple yang hadir enggan memberi kenyataan, dan tidak diketahui sama ada Apple akan mengemukakan rayuan.

Dalam sesi yang berlangsung selama beberapa minit, Hakim Tamotsu Shoji, berkata beliau tidak berasa produk Samsung menyamai teknologi Apple dan menolak saman berkenaan, yang difailkan Apple Ogos tahun lalu.

Apple, pengeluar iPhone dan iPad yang beribu pejabat di California, terbabit dalam kes perundangan serupa di seluruh dunia mengenai sama ada telefon pintar Samsung, yang bergantung kepada teknologi Android Google Inc, secara tidak sah menggunakan reka bentuk Apple, idea atau teknologinya.
Dalam satu kes seumpama itu, juri di California minggu lalu memutuskan produk Samsung secara tidak sah menggunakan ciptaan Apple. Juri mengarahkan Samsung membayar ganti rugi sebanyak AS$1 bilion (RM3 bilion) dan kini menilai permintaan Apple untuk menarik balik lapan produk Samsung dari pasaran dan dilarang di Amerika, termasuk telefon pintar popular, Galaxy.

Produk terbaru Samsung, Galaxy S3, tidak termasuk dalam keputusan Amerika itu.

Keputusan semalam adalah yang pertama dibuat di Jepun dalam perbalahan perundangan kedua-dua pihak di seluruh dunia, tetapi teknologi lain turut dibawa ke mahkamah oleh kedua-dua syarikat itu dalam kes perundangan berasingan di Jepun.

Keputusan di sini adalah kes pertama didengar di mahkamah negara lain. Samsung sudah jual 50 juta Galaxy S dan Galaxy S2 di seluruh dunia. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan