Jumaat, 20 April 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Parah dibaham anjing jiran

Posted: 19 Apr 2012 12:22 PM PDT

CARDIFF: Seorang kanak-kanak berusia enam tahun mengerang kesakitan sejurus selepas dibaham seekor anjing bernama Tyson, semalam.

Erfan Ali dikejarkan ke hospital selepas dibaham anjing berkenaan yang melompat pagar setinggi 1.3 meter untuk memasuki perkarangan rumahnya di Cardiff ketika kanak-kanak itu membantu ibunya, Monowara dan kakaknya, Masudah, mengangkat kain jemuran.

Monowara, 37, lari bersama-sama anaknya ke dalam rumah tetapi gagal menyekat anjing itu daripada memasuki dapur dan meneruskan serangan.

Anjing baka Rhodesian Ridgeback itu membaham kedua-dua pipi dan tangan kirinya.


Pemilik haiwan itu, Kevin Large, 27, bergegas untuk menyelamatkan kanak-kanak berkenaan.


Anjing itu kemudian ditembak mati.

Anjing baka Rhodesian Ridgeback terkenal kerana keberaniannya dan pernah digunakan untuk memburu singa di Afrika.

Seorang hakim memberitahu Large, dia boleh dipenjarakan atas kesalahan gagal mengawal haiwan peliharaannya itu.

Hukuman akan dibacakan pada perbicaraan bulan depan.

Sehubungan itu, Erfan sudah menjalani beberapa pembedahan plastik.

Bapanya, Dilwar berkata: "Parut akibat serangan itu bukan saja berbentuk fizikal. Erfan sentiasa menangis sebelah malam dan tidak mahu tidur bersendirian. Dia kini begitu takut dengan anjing." - Agensi




Bogel bantah pemeriksaan keselamatan

Posted: 19 Apr 2012 11:03 AM PDT

PORTLAND: Kerana terlalu bosan dengan pemeriksaan keselamatan, seorang lelaki berusia 49 tahun bertindak berbogel di lapangan terbang bandar raya ini, semalam.

Tindakan lelaki dari Oregon itu menyebabkan beberapa penumpang menutup mata mereka sementara sebahagian lagi keluar dari laluan keselamatan untuk melihat, ketawa dan mengambil gambar, menurut laporan Polis Port of Portland.


Pegawai berulang kali mengarah John Brennan memakai semula pakaiannya tetapi dia menolak, menyebabkan dia ditahan.

Apabila diwawancara mengenai tindakannya, Brennan berkata, dia berbogel kerana membantah pemeriksaan Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan yang dia dakwa mengganggunya. - Reuters




Tiada ulasan:

Catat Ulasan