Rabu, 9 Februari 2011

Utusan Online - Luar Negara

Utusan Online - Luar Negara


Parlimen Mesir dikepung

Posted:

Parlimen Mesir dikepung

Parlimen Mesir dikepung


Gelagat beberapa penunjuk perasaan antikerajaan yang menanjat pokok sambil mengibarkan bendera Mesir di sebelah poster Presiden Hosni Mubarak di Dataran Tahrir, Kaherah, kelmarin. - REUTERS


KAHERAH 9 Feb. - Beratus-ratus penunjuk perasaan bertindak mengepung bangunan Parlimen Mesir di sini hari ini sebagai sebahagian daripada kempen mereka untuk menggulingkan Presiden Hosni Mubarak yang telah memerintah selama 30 tahun.

Tiada sebarang keganasan berlaku kerana penunjuk perasaan hanya melancarkan 'mogok duduk' bagi mengepung Dewan Rendah di bangunan itu, seperti yang dilakukan oleh penunjuk perasaan lain di Dataran Tahrir, walaupun bangunan itu dikawal pasukan tentera dengan dibantu kenderaan perisai.

Penunjuk perasaan terus memperhebatkan kempen mereka hari ini yang masuk hari ke-16, setelah ia reda seketika pada minggu lalu.

Parlimen Mesir kini dikuasai parti pemerintah, Parti Demokratik Kebangsaan (NDP) yang dipimpin Mubarak dan membuat peraturan menentukan siapa yang boleh bertanding dalam pilihan raya. Amalan itu ditentang oleh penunjuk perasaan yang mereka sifatkan sebagai sikap autokratik rejim itu.

"Kami datang untuk menghalang anggota NDP memasuki bangunan Parlimen. Kami akan kekal di sini sehingga tuntutan kami dilayan atau kami akan mati di sini," kata seorang penunjuk perasaan, Mohammed Abdullah, 25, semasa kumpulan itu melaungkan slogan anti-Mubarak dan mengibarkan bendera Mesir.

Sementara itu, Naib Presiden Mesir, Omar Suleiman menyifatkan desakan penunjuk perasaan supaya Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai perbuatan biadab yang bercanggah dengan budaya masyarakat negara ini.

Namun, penunjuk perasaan hari ini terus bertahan di Dataran Tahrir yang menjadi pusat demonstrasi antikerajaan sejak lebih dua minggu lalu.

"Perkataan 'berambus' yang dilaung-laungkan oleh sesetengah penunjuk perasaan adalah bertentangan dengan etika masyarakat Mesir kerana orang Mesir menghormati orang tua dan Presiden mereka," kata Suleiman kepada sekumpulan pengarang akhbar, semalam.

Beliau juga menganggap perkataan itu sebagai satu penghinaan bukan sahaja kepada Presiden tetapi kepada seluruh rakyat Mesir. - Agensi

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Amerika kemuka empat langkah

Posted:

Amerika kemuka empat langkah

Amerika kemuka empat langkah

WASHINGTON 9 Feb. - Amerika Syarikat (AS) semalam menetapkan empat langkah yang perlu diambil oleh kerajaan Mesir untuk menamatkan krisis di negara itu, termasuk berhenti mengganggu penunjuk perasaan dan segera memansuhkan undang-undang darurat yang membenarkan pihak berkuasa menahan seseorang tanpa didakwa.

Pentadbiran Presiden Barack Obama dipercayai bimbang kerajaan Presiden Hosni Mubarak tidak akan membawa perubahan bermakna di negara Arab terbesar itu.

Empat langkah yang disampaikan oleh Naib Presiden AS Joe Biden kepada Naib Presiden Mesir, Omar Suleiman dilihat menolak kenyataan yang dibuat oleh bekas ketua perisikan Mesir itu, yang berunding dengan tokoh-tokoh pembangkang yang menuntut Mubarak berundur selepas 30 tahun memerintah Mesir.

Suleiman semalam dipetik sebagai berkata, Mesir belum bersedia untuk demokrasi dan undang-undang darurat akan ditarik balik 'mengikut situasi keselamatan', ungkapan yang memberi banyak kelonggaran kepada pihak berkuasa.

Selepas Biden bercakap dengan Suleiman menerusi telefon semalam, White House mengeluarkan satu kenyataan yang menyenaraikan empat langkah yang perlu diambil oleh Mesir termasuk "segera memansuhkan undang-undang darurat;

"Memperluaskan penyertaan dalam dialog kebangsaan melibatkan pelbagai golongan pembangkang; dan

"Menjemput pembangkang sebagai rakan untuk sama-sama merangka pelan dan jadual peralihan kuasa."

Bagaimanapun keputusan AS untuk menyokong proses peralihan di bawah Suleiman dan tidak menuntut Mubarak meletakkan jawatan dengan serta-merta telah membangkitkan kemarahan ramai penunjuk perasaan. - Reuters

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan