Isnin, 22 Julai 2013

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Serangan bom ragut 65 nyawa di Iraq

Posted:

Serangan bom ragut 65 nyawa di Iraq

Serangan bom ragut 65 nyawa di Iraq

DUA anggota keselamatan Iraq meninjau sebuah masjid Sunnah yang menjadi sasaran pengebom berani mati di bandar Wajihiya, daerah Diyala kelmarin.


BAGHDAD - Gelombang serangan bom di wilayah Baghdad meragut 65 nyawa kelmarin, kata beberapa pegawai ketika Iraq berusaha mengekang keganasan terburuk di negara itu sejak 2008.

Seramai 520 orang terbunuh dalam keganasan yang berlaku di Iraq sepanjang bulan ini.

Seorang kolonel polis dan pegawai perubatan berkata, sebanyak 12 bom kereta dan sebutir bom tepi jalan meletup di sini dengan sebutir lagi di Madain, selatan bandar raya ini.

Siri letupan itu turut mencederakan 190 orang.

Gelombang serangan bom itu melanda bandar raya ini semasa penduduknya keluar membeli-belah dan berehat di kafe-kafe selepas waktu berbuka puasa.

Dalam beberapa serangan paling berdarah, dua bom kereta membunuh 12 orang di Karrada manakala dua bom kereta dan sebutir bom tepi jalan meletup di Zafraniyah. Keganasan turut berlaku di utara Iraq.

Sebutir bom tepi jalan yang meletup meragut nyawa seorang anggota polis dan mencederakan seorang lagi di Mosul. Sebuah bom kereta di tenggara bandar raya itu membunuh seorang wanita dan mencederakan 22 orang termasuk tujuh anggota polis.

Kelmarin merupakan hari paling berdarah di Iraq sejak 10 Jun lalu apabila 78 orang terbunuh dalam beberapa serangan keganasan.

Menurut sumber perubatan dan keselamatan Iraq, lebih 2,700 orang terbunuh dalam serangan pengikut Sunnah dan Syiah di negara itu sejak awal tahun ini. - AFP

Raja Philippe ganti Albert II

Posted:

Raja Philippe ganti Albert II

Raja Philippe ganti Albert II


PUTERA Philippe, (tengah) dan isterinya, Puteri Mathilde melambaikan tangan kepada orang ramai selepas keluar dari sebuah gereja di Brussels semalam.


BRUSSELS - Belgium membuka lembaran sejarah baharu semalam apabila raja ketujuh negara berkenaan, Philippe akan menaiki takhta di sebalik kebimbangan mengenai masa depan negara yang berpecah-belah itu

Pada waktu tengah hari, Raja Philippe, 53, yang berpakaian seragam tentera dijadualkan mengangkat sumpah sebagai Raja Belgium di Parlimen di sini.

Belgium mempunyai tiga bahasa rasmi iaitu Perancis, Jerman dan Flemish merangkumi gabungan Bahasa Belanda dan Belgium.

Baginda mengambil alih takhta daripada bapanya, Raja Albert II, 79, yang berundur pagi semalam selepas memerintah selama 20 tahun.

Antara tetamu kehormat yang akan berada di barisan hadapan upacara pertabalan tersebut termasuk isterinya, Mathilde dan empat anak mereka.

Anak sulung pasangan diraja tersebut, Elisabeth yang kini hampir berusia 12 tahun pula ditabalkan sebagai pewaris takhta diraja Belgium melangkaui adik-beradik lelakinya.

Albert II yang turun takhta kerana faktor usia dan kesihatan menjadi Raja Belgium secara tidak dijangka.

Baginda terpaksa menaiki takhta pada 1993 selepas kematian mengejut abangnya, Baudouin.

Sifat pemalu dan kekok Philippe menimbulkan kebimbangan bahawa beliau tidak mempunyai kemahiran politik seperti bapanya untuk menyatukan rakyat negara ini.

Belgium berpecah dua antara penduduk yang berbahasa Perancis dan warga yang menggunakan bahasa Flemish.

Kini, harapan tertumpu ke arah penyatuan negara itu diletakkan pada bahu isteri Philippe, Mathilde.

Sikap peramah dan mudah didampingi puteri berusia 40 tahun itu dilihat akan dapat memenangi hati 11.5 juta rakyat negara ini

Dalam ucapan perpisahannya kelmarin, Albert II berkata, sebagai bapa dan raja, baginda berharap rakyat Belgium akan memberikan sokongan kepada Philippe dan Mathilde.

"Mereka membentuk pasangan cemerlang untuk berkhidmat kepada negara kita," kata Albert II.

Keluarga diraja itu dianggap sebagai simbol penyatuan Belgium, selain kentang goreng dan pasukan bola sepak kebangsaannya.

Walaupun penduduk berbahasa Perancis di selatan Belgium kuat menyokong institusi beraja, rakyat yang menggunakan bahasa Flemish pula tidak sependapat.

Penutur bahasa Flemish membentuk 60 peratus daripada keseluruhan penduduk Belgium. Sebuah parti yang mewakili mereka, N-VA mahu Belgium menjadi sebuah negara Republik.

Semasa dua dekad memerintah negara, Albert II membantu Belgium menyelesaikan beberapa krisis, sekali gus mengelakkan negara itu daripada berpecah.

Baginda memainkan peranan utama untuk menamatkan krisis politik paling panjang di Belgium pada 2010 hingga 2011.

Kemelut politik itu menyaksikan Belgium tidak mempunyai kerajaan selama 541 hari.

Dalam pada itu, jurucakap Perdana Menteri Elio Di Rupo berkata, menurut adat istiadat negara, tiada tetamu kehormat asing dijemput ke upacara pertabalan Philippe.

Majlis pertabalan tersebut juga cuma menelan belanja 600,000 euro (RM2.5 juta) ekoran negara-negara Kesatuan Eropah kini dilanda krisis ekonomi. - AFP

Pelakon pancing jerung ganas

Posted:

Pelakon pancing jerung ganas

Pelakon pancing jerung ganas


AKTOR Julian Lewis Jones (kanan) bersama ikan jerung yang dinaikkannya.


LONDON - Seorang pelakon Britain, Julian Lewis Jones bersama beberapa rakannya menangkap seekor jerung ganas di perairan negara itu baru-baru ini.

Menurut akhbar The Sun, jerung spesies mako tersebut merupakan jerung pertama yang ditangkap di perairan Britain sejak 42 tahun lalu.

Jerung sepanjang 1.9 meter itu ditangkap semasa mereka keluar memancing dengan menaiki sebuah bot di perairan Wales Barat.

"Selama 40 minit diperlukan untuk menaikkan ikan jerung ini. Kami penat tetapi aksi seperti ini yang diimpikan oleh pemancing," kata aktor berusia 44 tahun itu.

Seekor jerung mako boleh berenang selaju 73 kilometer sejam di laut dan melompat ke udara pada ketinggian sembilan meter. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan