Khamis, 6 Disember 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Abhisit, Suthep dituduh bunuh orang awam

Posted: 06 Dec 2012 02:15 PM PST

Bangkok: Jabatan Siasatan Khas (DSI) Thailand, mendakwa bekas Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva memberi arahan penggunaan peluru hidup sehingga menyebabkan kematian orang awam ketika tunjuk perasaan anti-kerajaan pada Mei 2010.

Jabatan terbabit yang diletakkan di bawah Kementerian Kehakiman, mendakwa Abhisit dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Suthep Thaugsuban bertanggungjawab berikutan peranan mereka ketika itu.

Mereka membenarkan pasukan keselamatan menggunakan senjata dan peluru hidup menyebabkan kematian orang awam, kata ketua DSI, Tarit Pengdith.

Tindakan DSI untuk mengemukakan dakwaan itu dikatakan dipengaruhi keputusan mahkamah pada 17 September lalu ketika inkues dilakukan ke atas kematian seorang pemandu teksi, Phan Kanthong ketika tunjuk perasaan.

Hasil inkues mendapati, askar terbabit bertindak atas arahan pegawai kerajaan supaya membunuh Phan.

Abhisit dan Suthep didakwa di bawah fasal 288 kod jenayah Thailand. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup. Abhisit dan Suthep tidak hadir ketika dakwaan dibacakan.

Beribu-ribu penunjuk perasaan, penyokong bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra yang disingkirkan pada rampasan kuasa 2006 mengadakan bantahan jalanan pada Mac 2010, mendesak pilihan raya diadakan semula. Lebih 90 orang terbunuh dalam tunjuk perasaan itu.
Suthep mengetuai Pusat Menangani Keadaan Kecemasan (CRES), sebuah agensi kawalan krisis yang mengarahkan tembakan peluru hidup di zon tunjuk perasaan, selain menggunakan kuasa darurat menutup laman web, stesen radio dan televisyen.

Tentera yang disokong kerajaan menyuraikan penunjuk perasaan secara paksa pada 19 Mei menyebabkan rusuhan dan kebakaran menyaksikan 30 bangunan musnah, insiden keganasan terburuk dalam sejarah Thailand.

Adik Thaksin, Yingluck Shinawatra, kini perdana menteri dan pemimpin Parti Puea Thai, menewaskan Parti Demokrat pada pilihan raya Julai 2011.

Bagaimanapun jurucakap Parti Demokrat, Chavanon Intarakomalyasut, berkata DSI menjalankan tugas atas perintah kerajaan dan siasatan dijalankan secara sebelah pihak.
REUTERS

LDP diramal perintah Jepun

Posted: 06 Dec 2012 06:41 AM PST

Tokyo: Parti konservatif Jepun, Parti Liberal Demokratik (LDP) diramal menang dengan majoriti besar pada pilihan raya parlimen negara itu 16 Disember depan, lapor media selepas menjalankan satu tinjauan.

Bekas Perdana Menteri Shinzo Abe, yang mengetuai parti itu menggesa langkah segera diambil oleh Bank of Japan (BOJ) bagi mengatasi deflasi yang berterusan dan mengukuhkan kedudukan yen.

Beliau juga berjanji untuk sentiasa bersikap tegas ke atas China dalam isu pulau yang menjadi rebutan kedua-dua negara di Laut China Timur, melonggarkan sekatan perlembagaan ke atas tentera Jepun dan menilai semula sikap negara itu yang dianggap terlalu lembut mengenai peristiwa Perang Dunia Kedua.

Tinjauan sebelum ini menunjukkan bahawa LDP mendahului di dewan rendah tetapi mungkin terpaksa bergabung dengan parti lain yang lebih kecil, parti Komeito Baru untuk membentuk majoriti.

Tinjauan yang dibuat akhbar utama negara itu termasuk Asahi, Nikkei dan agensi berita Kyodo menyatakan LDP diramal memenangi antara 257 hingga 306 kerusi daripada 480 kerusi di dewan rendah, walaupun tidak mengenepikan kemungkinan menjadikan parti Komeito Baru sebagai sekutunya.

Tinjauan pendapat juga mendapati bahawa parti yang memerintah Parti Demokratik Jepun (DPJ) bakal kehilangan seprauh atau lebih kerusi yang dimenanginya di dewan rendah. Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan