Khamis, 6 September 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Penyiasat OIC mula tugas di Myanmar

Posted: 06 Sep 2012 02:37 PM PDT

Yangon: Anggota misi mengumpul maklumat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tiba di Myanmar semalam untuk memulakan siasatan mengenai keganasan antara pengikut Buddha dan penduduk Islam Rohingya berpunca daripada pencabulan hak asasi manusia terhadap masyarakat minoriti Muslim di negara itu.

Pasukan penyiasat itu tiba lebih awal daripada Setiausaha Agung OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu yang bakal memulakan lawatan 10 hari ke Myanmar.

Pertubuhan yang dianggotai 57 negara Islam itu akan membentangkan laporan siasatan pasukan berkenaan kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) tidak lama lagi.
Myanmar sambut baik lawatan

Pertempuran antara penduduk Buddha dan minoriti Rohingya di negeri Rakhine pada June lalu menyebabkan sekurang-kurangnya 90 terbunuh dan beribu-ribu lagi hilang tempat tinggal.

Pertubuhan hak asasi manusia menuduh tentera Myanmar turut melakukan jenayah dalam usaha memulihkan keadaan.

Jurucakap kerajaan Myanmar, Ko Ko Hlaing, menyambut baik lawatan itu bagi memperbetulkan pandangan serong dalam isu berkenaan.
Dunia Islam menyuarakan kebimbangan yang sebahagian besar berpunca daripada maklumat diberi salah, tambahnya.

Misi berkenaan dijangka menyediakan laporan mengenai isu berkenaan untuk diserahkan kepada Kumpulan Penghubung mengenai Myanmar yang akan bertemu di New York di luar sidang UNGA pada akhir September.

Keputusan menghantar misi mengumpul maklumat itu dan pembentukan Kumpulan Penghubung pada peringkat menteri dibuat ketika sidang tergempar Jawatankuasa Eksekutif pada 5 Ogos lalu di ibu pejabat OIC di Jeddah sebelum disokong persidangan pertubuhan berkenaan di Makkah pada 14 Ogos lalu.

Rusuhan mula meletus Jun lalu selepas penduduk Buddha di Rakhine membunuh penumpang bas etnik Rohingya selepas anggota masyarakat minoriti itu dituduh merogol wanita tempatan.

Selain berpuluh-puluh orang maut, beribu-ribu lagi diusir dari rumah mereka dan banyak perkampungan yang hangus dibakar.
Bernama/Agensi

'Obama boleh dipercayai'

Posted: 06 Sep 2012 02:32 PM PDT

Charlotte: Bekas presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton, meminta pengundi menaruh kepercayaan kepada Barack Obama untuk membawa mereka menikmati kemakmuran dengan memberi mandat kepada calon presiden Demokrat itu bagi penggal Ke-2.

Sambutan hangat

Kemunculan Clinton mendapat sambutan hangat dan bekas presiden selama dua penggal itu memberitahu konvensyen Demokratik bahawa beliau percaya dengan sepenuh hati presiden ke-44 Amerika itu semakin hampir membangunkan ekonomi negara.
Bercakap secara langsung kepada pengundi yang masih berbelah bagi dengan masa tidak sampai sembilan minggu hingga pilihan raya November ini, Clinton yang berkhidmat pada 1993 hingga 2001 berkata, Obama berjaya mengatasi pelbagai cabaran getir.

Tiada presiden termasuk saya atau sebelum saya, boleh memperbaiki sepenuhnya semua kerosakan yang dihadapinya dalam empat tahun.

Obama meletakkan asas bagi ekonomi baru bagi kita berkongsi kemakmuran dan jika perlukan bukti, anda dapat rasakannya.

Percaya sepenuh hati
Sama ada rakyat Amerika percaya apa yang saya katakan atau tidak, saya cuma ingin anda tahu saya percaya. Saya percaya dengan sepenuh hati, kata Clinton.
Selepas memberi ucapan kepada 15,000 penyokong setia Demokrat selama 45 minit, Obama menyertai Clinton di pentas yang mengundang tepukan gemuruh delegasi konvensyen.

Obama juga akan memberi ucapan di konvensyen itu.

Pegawai kempen membatalkan rancangan untuk Obama memberi ucapan pencalonan hari ini di Stadium bola sepak Amerika, dengan harapan mencipta semula suasana keselepas menang seperti ucapannya pada 2008.

AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan