Sabtu, 21 Julai 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


iPad baharu mula dijual di China

Posted:

iPad baharu mula dijual di China

SEBAHAGIAN pelanggan mengerumuni di kedai menjual iPad di Shanghai.


BEIJING - Apple mula menjual komputer tablet iPad versi terbaharunya di China semalam selepas kes saman berhubung hak milik nama firma berkenaan selesai.

Syarikat yang beribu pejabat di Amerika Syarikat (AS) itu meminta pembeli membuat pesanan awal bagi mengelakkan mereka terpaksa berasak-asak untuk membeli komputer tersebut.

Dengan dipantau pengawal keselamatan, puluhan pembeli menunggu di luar beberapa kedai Apple di sini dan di bandar raya Shanghai yang mula dibuka pada pukul 8 pagi.

Suasana itu berbeza berbanding situasi kelam-kabut di luar kedai utama Apple di sini pada Januari lalu apabila sebilangan pelanggan yang mahu membeli iPhone baharu, menjerit dan membaling telur selepas beberapa pengurus menangguhkan untuk membuka kedai berkenaan.

Tindakan itu dibuat kerana kedai berkenaan tidak dapat menampung kehadiran ratusan pengunjung di luar premis berkenaan.

Seorang juruteknik berusia 32 tahun yang menjadi pelanggan pertama kedai Apple di Shanghai, Sun Xufei berkata, dia menangguhkan untuk membeli komputer tablet itu sebelum ini bagi memberikan masa untuk Apple menghasilkan sebuah iPad yang sempurna.

Terdapat seramai 30 pelanggan di luar kedai berkenaan dengan jumlah mereka lebih kecil berbanding kumpulan wartawan yang membuat liputan di lokasi tersebut.

"Saya amat terkejut kerana tiada pelanggan yang menunggu," kata Xufei.

Apple Inc. melepasi halangan perundangan untuk menjual iPad di China apabila pihaknya membayar AS$60 juta (RM191 juta) bagi menyelesaikan pertelingkahan dengan firma tempatan, Shenzhen Proview Technology Ltd. berhubung hak milik nama iPad.

Apple menyatakan, pihaknya telah membeli hak global untuk nama iPad daripada Proview pada 2009 tetapi pemerintah China memberitahu, hak tersebut tidak pernah dipindah milik di China.

China merupakan pasaran kedua terbesar Apple selepas AS. - Agensi

Penduduk AS gembira menang kes masjid baharu

Posted:

Penduduk AS gembira menang kes masjid baharu

GAMBAR fail pada 21 Jun lalu menunjukkan masjid di Murfreesboro, Tennessee.


MURFREESBORO, Tennessee - Penduduk Islam di negeri Tennessee, Amerika Syarikat (AS) yang menenangi kes mahkamah untuk menduduki sebuah masjid baharu kelmarin mendapati mereka tidak dapat beribadat di masjid berkenaan pada permulaan bulan Ramadan.

Ia berikutan masjid tersebut memerlukan masa dua minggu lagi untuk disiapkan.

Namun, penduduk Islam meraikan kemenangan mereka selepas dua tahun berdepan satu saman bagi menghalang pembinaannya.

"Bagi saya, keputusan kelmarin amat baik dan saya bersyukur kepada Tuhan," kata pengerusi jawatankuasa masjid berkenaan, Essam Fathy.

"Kami semua terkejut. Ia satu berita gembira tanpa disangka," tambahnya.

Penduduk yang menentang pembinaan masjid tersebut menyaman daerah Rutherford pada September 2010 untuk menghalang pembinaan tempat ibadat itu.

Kumpulan itu memberi alasan bahawa Islam bukan agama sebenar dan penduduk Islam AS mahu menumbangkan Perlembagaan AS dan menegakkan undang-undang Islam.

Namun, dalam satu perbicaraan baru-baru ini, Hakim Daerah AS, Todd Campbell mendapati tindakan menghalang pembinaan dan penggunaan masjid itu bercanggah dengan hak penduduk untuk mengamalkan ajaran agama mereka.

Beliau kemudian mengarahkan pihak pentadbiran daerah supaya melakukan pemeriksaan dan membenarkan masjid tersebut dibuka kepada orang ramai. - Agensi

Serangan dalam pawagam tayang filem Batman

Posted:

Serangan dalam pawagam tayang filem Batman



WASHINGTON - Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan 50 lagi cedera semalam apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah sekumpulan penonton yang sedang asyik menonton tayangan filem Batman di pusat beli-belah di Aurora, negeri Colorado, kata Ketua Polis Aurora, Dan Oates.

Oates berkata, lelaki bersenjata itu, James Holmes, 24, kemudian ditangkap ekoran kejadian tersebut semasa para penonton menonton filem terbaharu Batman, The Dark Knight Rises pada tayangan tengah malam di pawagam Century 16.

Saluran berita CNN melaporkan, lelaki itu yang menggunakan empat senjata api termasuk sepucuk raifal dan pistol melepaskan tembakan semasa adegan tembak-menembak filem tersebut ditayangkan.

Dia berkata, pawagam tersebut juga dipenuhi dengan asap.

Polis kini memburu seorang lagi lelaki bersenjata yang turut terlibat dalam kejadian pembunuhan itu.

Menurut media Amerika Syarikat (AS), antara mangsa yang cedera termasuk enam kanak-kanak dengan mangsa paling muda berusia enam tahun.

Seorang saksi memberitahu saluran televisyen bahawa sebanyak 10 hingga 20 tembakan kedengaran dan terdapat letupan kecil.

"Sejurus kemudian, kami mendengar orang ramai menjerit.

"Selepas itu, pengumuman dibuat menerusi sistem audio yang meminta setiap orang keluar dari pawagam," katanya.

Saksi itu menyatakan, selepas keluar, sejumlah orang kelihatan berlari dan menjerit.

Laporan Radio KOA 850 menyatakan beberapa saksi menyatakan salah seorang penyerang itu yang memakai topeng turut membawa bom asap.

Motif serangan masih belum diketahui.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Barack Obama yang dimaklumkan tentang kejadian tersebut oleh penasihat Keselamatan Dalam Negara, John Brennan, menggesa rakyat AS supaya bersatu bersama penduduk Aurora pada waktu sukar ini.

"Michelle (isteri Obama) dan saya terkejut dan sedih berhubung insiden tembakan yang dahsyat dan tragis di Colorado. Pihak berkuasa persekutuan dan tempatan masih menyiasat dan pentadbiran saya akan melakukan apa saja yang terdaya untuk membantu penduduk Aurora pada detik yang sukar ini," kata Obama. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan