Rabu, 20 Jun 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Pilihan raya Presiden gagal tenteramkan Mesir

Posted:

Pilihan raya Presiden gagal tenteramkan Mesir

SEBILANGAN aktivis Mesir melaungkan slogan menentang pemerintahan tentera di hadapan pekarangan Bangunan Parlimen di Kaherah semalam.


KAHERAH - Pilihan raya Presiden gagal meredakan kemelut politik Mesir apabila rakyat negara berkenaan bersiap sedia melancarkan bantahan besar-besaran di sini sejak semalam.

Protes tersebut yang dianjurkan oleh pertubuhan Islam paling berpengaruh di Mesir, Ikhwanul Muslimin, bertujuan membantah tindakan pemerintah tentera mengekalkan kuasa pemerintahan di Mesir.

Pihak tentera sebelum ini berjanji akan menyerahkan kuasa kepada pemerintahan awam selepas pilihan raya Presiden Mesir pada 1 Julai depan.

Terdahulu, terdapat kekalutan berhubung keputusan pusingan kedua pilihan raya Presiden Mesir yang berlangsung pada minggu lalu.

Ikhwanul Muslimin mendakwa calon mereka, Mohammed Mursi memenangi pilihan raya tersebut tetapi pesaingnya, Ahmed Shafiq yang merupakan bekas Perdana Menteri Mesir, enggan mengaku kalah.

Mendakwa tindakan Ikhwanul Muslimin itu tidak ubah seperti lanun, Syafiq sebaliknya menggesa orang ramai supaya menunggu keputusan rasmi pilihan raya berkenaan yang akan diumumkan esok.

"Kejayaan tersebut tak ubah seperti mencuri kerana diumumkan ketika keputusan rasmi belum diketahui," kata pengurus kempen politik Syafiq, Ahmed Sarhan.

Dalam perkembangan berkaitan, media rasmi Mesir pula melaporkan bahawa keputusan awal mendapati Mursi berada di hadapan.

"Selepas pengiraan undi berakhir di semua 27 wilayah di Mesir, Mursi mendahului dengan 51 peratus undi. Sementara Shafiq memperoleh 49 peratus undi," lapor akhbar pemerintah Mesir, Al-Ahram di laman webnya.

Jika keputusan rasmi memihak kepada Mursi, ini merupakan kali pertama negara paling ramai penduduk di dunia Arab itu ditadbir oleh sebuah parti Islam. - AFP

Nasib Umar diketahui hari ini

Posted:

Nasib Umar diketahui hari ini

AKSI Umar ketika sampai di mahkamah Jakarta Barat pada 21 Mei lalu. Umar amat dikehendaki oleh Amerika Syarikat (AS) dan wang ganjaran sebanyak AS$1 juta (RM3.16 juta) pernah ditawarkan kepada sesiapa yang berjaya menangkapnya.


JAKARTA - Sebuah mahkamah Indonesia hari ini akan mengumumkan keputusan perbicaraan ke atas Umar Patek yang dituduh terlibat dalam kes pengeboman di Bali pada tahun 2002.

Keputusan tersebut akan menamatkan siasatan selama sepuluh tahun berhubung kes keganasan yang dianggap paling dahsyat di Indonesia.

Umar, 45, dituduh menghasilkan bahan letupan untuk meletupkan dua buah kelab malam di Bali yang mengorbankan 202 nyawa. Kebanyakan mangsa serangan di Bali ialah rakyat asing termasuk 88 warga Australia.

Dia turut dituduh merancang serangan ke atas gereja di Jakarta pada malam menjelang Krismas tahun 2000 yang membunuh 19 mangsa.

Umar bagaimanapun mungkin akan terlepas hukuman mati apabila pendakwa raya menuntut agar tertuduh dikenakan hukuman penjara seumur hidup kerana dia sudah menyesal atas perbuatannya.

Digelar 'Lelaki Pemusnah' oleh media Indonesia, Umar merupakan anggota rangkaian pengganas Jemaah Islamiyah (JI) dan menjadi suspek terakhir ditahan di negara itu untuk dibicarakan.

Dia ditangkap pada Januari tahun lalu di Abbottabad, Pakistan selepas lebih lapan tahun melarikan diri. - AFP

Bapa tidak senang dengar album Winehouse

Posted:

Bapa tidak senang dengar album Winehouse

LONDON, Britain - Bapa mendiang Amy Winehouse menyatakan, dia tidak gembira mendengar lagu dalam album Back to Black walaupun album berkenaan telah melonjakkan nama penyanyi Britain berkenaan.

Mitch Winehouse memberitahu, kebanyakan lagu dalam album tersebut menceritakan kehidupan Winehouse bersama bekas suaminya.

Dalam memoir yang ditulis oleh Mitch berjudul Amy My Daughter, dia menyalahkan bekas menantunya, Blake Fielder-Civil kerana menjerumuskan anak perempuannya ke dalam kancah penagihan alkohol dan dadah.

Pandangan negatif Mitch terhadap bekas suami anaknya yang merupakan penyanyi popular Britain itu tidak pernah berubah.

Sebelum ini, dia pernah menuduh Fielder-Civil bertanggungjawab memperkenalkan dadah kepada Amy sehingga merosakkan kehidupannya.

Kata Mitch, dia lebih menyukai album jazz pertama Amy, Frank walaupun album berkenaan kurang popular.

Album Back to Black dijual lebih 20 juta unit di seluruh dunia dan memenangi anugerah Grammy bagi kategori album terbaik pada 2008.

Winehouse mati akibat masalah ketagihan alkohol dan dadah yang teruk di London pada Julai tahun lalu ketika berusia 27 tahun.

Fielder-Civil dan Winehouse berkahwin pada bulan Mei 2007, tetapi mereka bercerai dua tahun kemudian.

Buku memoir tersebut dijadual berada di pasaran pada 26 Jun ini. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan