Selasa, 22 Mei 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


96 maut serangan di Sanaa

Posted:

96 maut serangan di Sanaa

96 maut serangan di Sanaa

IMEJ yang dirakamkan menerusi video menunjukkan sejumlah askar mengerumuni lokasi serangan pengebom berani mati di Sanaa semalam.


SANAA - Kementerian Pertahanan Yemen menyatakan angka kematian akibat satu serangan pengebom berani mati semasa anggota-anggota tentera melakukan latihan perarakan di sini meningkat kepada 96 orang dan 200 lagi cedera semalam.

Beberapa pegawai tentera menyatakan, serangan yang berlaku dekat kediaman Presiden merupakan yang terburuk di ibu kota Yemen itu sejak beberapa tahun lalu.

Menurut mereka, penyerang itu merupakan seorang askar yang mengambil bahagian dalam satu latihan.

Penyerang itu berbaris bersama askar-askar lain di sebuah dataran di sini.

Seorang pegawai tentera berkata, penyerang tersebut membalut tubuhnya dengan bahan letupan.

Kejadian serangan berani mati itu berlaku selepas Presiden Abdrabuh Mansur Hadi berjanji menghapuskan militan Al-Qaeda.

Semua mangsa yang terbunuh dan yang dirawat di tujuh buah hospital di Sanaa merupakan anggota tentera.

Menurut beberapa saksi, letupan kuat kedengaran membuatkan penduduk menjadi cemas.

Pengebom berani mati yang tidak dikenali itu dilaporkan merupakan seorang askar yang diarahkan oleh anak saudara bekas Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh untuk melakukan serangan itu, menurut laporan rasmi tentera.

Menteri Pertahanan Yemen, Mohammed Nasser Ahmed turut berada di tempat kejadian tetapi sempat menyelamatkan diri.

Menurut seorang koresponden agensi berita AFP, berpuluh-puluh ambulans bergegas untuk memindahkan mangsa yang mati dan cedera.

Cebisan daging manusia bertaburan di tempat kejadian. - Agensi

Robin Gibb meninggal dunia

Posted:

Robin Gibb meninggal dunia

Robin Gibb meninggal dunia


WAJAH Gibb semasa jurugambar merakamkan keha dirannya pada anugerah Goldene Kamera di Berlin, Jerman pada 5 Februari 2010.


LONDON - Penyanyi kumpulan legenda Bee Gees dari Britain, Robin Gibb yang sekian lama menderita penyakit kanser disahkan meninggal dunia pada usia 62 tahun kelmarin.

Pengumuman menyedihkan itu dibuat oleh keluarga Gibb menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Akhbar The Sun melaporkan, isteri kedua Gibb, Dwina dan tiga anaknya berada di sisinya semasa beliau meninggal dunia di sebuah hospital di tengah London.

Gibb sebelum ini berada dalam koma selepas menghidap pneumonia.

Beliau mati semasa menghidap kanser usus besar dan hati.

Selain Gibb, anggota Bee Gees dianggotai kembarnya, Maurice dan abang mereka, Barry, 65.

Antara lagu-lagu popular mereka termasuk How Deep Is Your Love, Stayin' Alive dan Night Fever.

Anggota kumpulan Bee Gees yang masih hidup ialah abang sulungnya, Barry.

Maurice, 53, meninggal dunia pada tahun 2003 akibat kanser.

Jualan rekod mereka melebihi 200 juta unit sejak tahun 1960-an.

Adik bongsu Gibb yang bukan merupakan anggota kumpulan itu, Andy, mati pada tahun 1988 kerana ketagihan kokain.

Gibb merupakan rakan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair.

Blair pernah bercuti bersama keluarganya di vila Gibb di Miami, Florida semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

Gibb dianggap oleh Blair sebagai seorang rakan yang hebat dan mempunyai pemikiran terbuka, bijak dan seorang ahli muzik yang luar biasa.

"Saya akan berasa kehilangannya," kata Blair dalam satu kenyataan. - Agensi

Gerhana matahari di rantau Pasifik

Posted:

Gerhana matahari di rantau Pasifik

Gerhana matahari di rantau Pasifik


KOMBINASI gambar yang menunjukkan pembentukan gerhana matahari di Tokyo, Jepun semalam.


HONG KONG - Orang ramai berkumpul di China, Jepun dan beberapa tempat lain di timur Asia semalam untuk melihat fenomena gerhana matahari cincin yang jarang berlaku.

Penduduk di sini dapat menyaksikan gerhana berkenaan buat seketika ekoran cuaca mendung.

Menjelang subuh, sekitar 3,000 orang melihat ke langit di sepanjang kawasan pelabuhan Tsim Sha Tsui di sini tetapi mereka cuma dapat melihat keajaiban alam itu selama 30 saat apabila awan mendung beredar sejurus selepas matahari terbit.

"Awan beredar dan sinaran matahari menyinari permukaan air, ia amat cantik," kata Kurator Muzium Angkasa Lepas Hong Kong, Chan Ki-hung.

Gerhana berkenaan dapat dilihat dengan lebih jelas di beberapa bahagian lain di China, Jepun dan Filipina apabila matahari kelihatan seperti sebentuk cincin kerana dihalang oleh bayang bulan.

"Ia seperti sebentuk cincin. Gerhana itu menyebabkan saya terkenang saat-saat melamar isteri saya pada suatu masa dahulu," kata Shigeru Seo yang menyaksikan gerhana itu bersama isterinya di Teluk Shiono, barat Jepun.

Keajaiban alam tersebut dapat dilihat di sepanjang pantai Jepun termasuk Tokyo, Nagoya dan Osaka.

Di kebanyakan kawasan di Jepun fenomena itu mencatatkan sejarah apabila gerhana matahari cincin berkenaan merupakan yang pertama dilihat oleh penduduk tempatan sejak 932 tahun dahulu.

Selain Jepun, keajaiban alam itu turut disaksikan oleh berjuta-juta penduduk di rantau Pasifik dan Amerika Syarikat (AS).

Gerhana cincin berlaku apabila bulan melintasi matahari tetapi berada terlalu jauh dari Bumi untuk 'menenggelamkan' keseluruhan bayang matahari.

Kedudukan tersebut menyebabkan matahari kelihatan seperti cincin berapi.

Kali terakhir gerhana matahari cincin yang juga disebut gerhana matahari anulus berlaku di sini adalah pada tahun 1958.

Penduduk di sini ini perlu menunggu hingga tahun 2320 untuk menyaksikan gerhana matahari cincin seterusnya.

Gerhana itu berlaku petang kelmarin mengikut waktu AS.

"Ia mengagumkan," kata seorang pelajar, Marcos Dopoto di Albuquergue, New Mexico.

Imej seperti cincin itu dapat dilihat selama lima minit di beberapa kawasan di dunia. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan