Selasa, 22 Mei 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Penjara Syria bagai rumah sembelih

Posted: 22 May 2012 01:33 PM PDT

Dunia

Penulis Palestin ditahan hampir 3 minggu dedah deraan dilakukan pasukan keselamatan

AMMAN: Seorang penulis Palestin yang dipenjarakan di Syria hampir tiga minggu menyifatkan penjara terbabit sebagai 'rumah sembelihan manusia' sambil mendedahkan ejen keselamatan memukul tahanan dengan belantan, menyumbat mereka secara beramai-ramai dalam bilik tahanan yang berbau dan mengikat mereka di katil ketika waktu malam.

Salameh Kaileh, 56, ditahan pada 24 April kerana disyaki mencetak risalah menggesa penyingkiran Presiden Syria, Bashar Assad yang berhadapan dengan kebangkitan menentang pemerintahannya selama 15 bulan. Cerita Kaileh memberikan sepintas lalu mengenai keadaan yang terpaksa dihadapi banduan yang ditahan perkhidmatan keselamatan negara terbabit.

Salameh Kaileh, 56, ditahan pada 24 April kerana disyaki mencetak risalah menggesa penyingkiran Presiden Syria, Bashar Assad yang berhadapan dengan kebangkitan menentang pemerintahannya selama 15 bulan. Cerita Kaileh memberikan sepintas lalu mengenai keadaan yang terpaksa dihadapi banduan yang ditahan perkhidmatan keselamatan negara terbabit.

"Ia seperti neraka dunia," kata Kaileh kepada Associated Press pada Ahad, hampir seminggu selepas pihak berkuasa Syria membebaskan beliau dan menghantarnya ke Jordan. Bercakap di kediaman rakannya di sebuah bandar di Amman, Kaileh turut memiliki kesan lebam pada kakinya akibat dipukul dengan belantan kayu yang dilekatkan dengan jarum dan paku.

"Saya rasakan saya akan mati di tangan penyiasat yang kejam, ganas dan berterusan memukul, yang turut mengikat saya dengan tali yang digantung pada siling," kata Kaileh, berambut putih yang kelihatan tidak bermaya untuk berdiri.

Dilahirkan di Birzeit, Tebing Barat, Kaileh turut menderita di bawah rejim itu di Damsyik sebelum ini. Beliau dipenjarakan kerajaan Syria pada 1992 selama lapan tahun kerana didakwa mempunyai kaitan dengan komunis bawah tanah Syria dan kumpulan pembangkang sayap kiri. Beliau yang dikenali sebagai berhaluan kiri menulis buku mengenai perkara membabitkan Marxism hingga ke nationalisme Arab.

Kali ini beliau ditahan di sekurang-kurangnya empat pusat tahanan selepas pasukan keselamatan menahannya di kediamannya di Damsyik, ibu negara Syria di mana beliau tinggal lebih 30 tahun.
Kaileh menafikan menulis risalah itu yang didakwa beliau menimbulkan kemarahan rejim kerana ia berbunyi: "Untuk pembebasan Palestin, rejim Syria perlu jatuh."

Syria sering menganggap sokongan Kaileh kepada Palestin menyebabkan kebangkitan nasionalisme Arab.

Penahanan Kaileh menyebabkan kemarahan intelektual Arab, yang meminta supaya beliau dibebaskan dan membidas Assad yang menyifatkan tindakan keras beliau tidak terkecuali kepada intelektual dan artis lain.

Ali Ferzat, seorang kartunis politik yang melukis luahan kekecewaan rakyat Syria, dipukul oleh sekumpulan lelaki bertopeng ketika meninggalkan studio beliau di Damsyik Ogos lalu. Penyerang turut mematahkan tangan dan membiarkan beliau di tepi jalan di Damsyik.

Sekumpulan intelektual dan artis termasuk aktres Syria May Skaff, turtu ditahan dan dipenjarakan selama seminggu musim panas lalu selepas mengadakan satu bantahan di Damsyik.

Mengingati penahanannya, Kaileh berkata pasukan risikan Syria menyerbu kediamannya di Damsyik sebaik saja tengah malam.

"Mereka menggari dan menutup mata saya, mereka mengambil tiga komputer riba, telefon bimbit dan mengoyak kertas yang boleh dicapai tangan mereka," katanya. – AP


Ribut debu landa Baghdad

Posted: 22 May 2012 01:25 PM PDT

Dunia

SEORANG penduduk  memerhatikan ribut debu di sebatang jalan raya di Baghdad semalam.

SEORANG penduduk memerhatikan ribut debu di sebatang jalan raya di Baghdad semalam.

BAGHDAD: Ribut debu melanda Baghdad semalam dan melitupi kawasan lapangan terbang di sini semalam, kata seorang pegawai Iraqi Airways, sehari sebelum rundingan utama antara kuasa dunia dan Iran berhubung program kontroversi republik Islam itu.

"Tiada pesawat berlepas atau mendarat kerana cuaca buruk," kata pegawai yang enggan dikenali kepada AFP.

Pegawai berkata penutupan bermula kira-kira jam 8 pagi (0500 GMT) dan menambah bahawa empat pesawat berlepas ditangguhkan setakat ini. Tidak jelas bila lapangan terbang itu akan dibuka semula, atau kehadiran rundingan nuklear akan terjejas akibat penutupan itu. Ketua perunding Iran, Saeed Jalili tiba di sini kelmarin.

Rundingan itu, dijangka hari ini, diadakan antara Iran dan lima anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) iaitu Britain, China, Perancis, Russia dan Amerika Syarikat termasuk Jerman.

Pusingan pertama rundingan diadakan pertengahan April lalu di Istanbul.

Iran berkata program nuklearnya, yang dilanjutkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini adalah untuk tujuan keamanan, menjana elektrik dan menyediakan isotop perubatan, namun kebanyakan dalam masyarakat antarabangsa mengesyaki program itu adalah sebagai pelindung kepada penjanaan senjata nuklear secara rahsia.
Rundingan di sini adalah contoh terbaru di mana Iraq menganjurkan pelbagai acara untuk menunjukkan dirinya kepada dunia sebagai negara yang stabil dan tidak lagi dilingkari keganasan. – AFP


Tiada ulasan:

Catat Ulasan