Selasa, 24 April 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Hollande tewaskan Sarkozy

Posted:

Hollande tewaskan Sarkozy

Hollande tewaskan Sarkozy

SARKOZY (kiri) berdiri di tepi pintu sebuah kereta di luar ibu pejabat partinya di Paris semalam.


PARIS - Calon parti Sosialis, Francois Hollande disahkan sebagai pemenang dalam pusingan pertama pilihan raya Presiden Perancis.

Dalam pilihan raya itu yang diadakan kelmarin, Hollande daripada parti Sosialis menang 28.63 peratus undi berbanding penyandang jawatan, Nicolas Sarkozy dengan 17.94 peratus.

Keputusan itu diumumkan Kementerian Dalam Negeri semalam.

Pemimpin parti Barisan Kebangsaan, Marine Le Pen menduduki tempat ketiga dengan 17.9 peratus undi.

Tempat keempat dibolot oleh Jean-Luc Melenchon daripada Barisan Kiri dengan undi 11.11 peratus undi.

Beliau mengatasi calon MoDem, Francois Bayrou yang memperoleh 9.13 peratus undi.

Sebanyak 79.47 peratus pengundi keluar mengundi dalam pilihan raya itu.

Bagaimanapun, hampir seorang daripada lima pengundi memilih Le Pen.

Pusingan kedua pilihan raya akan diadakan pada 6 Mei ini.

Hollande kekal sebagai calon kegemaran untuk menang pilihan raya ini selepas mengalahkan Sarkozy daripada parti UMP dalam pusingan pertama.

Jika Hollande memenangi pusingan kedua, beliau akan menjadi presiden Perancis pertama daripada parti Sosialis sejak tahun 1995.

Pemilihan beliau juga boleh mengubah politik dan lanskap ekonomi Eropah. - Agensi

Bola hanyut dari Jepun ke Alaska

Posted:

Bola hanyut dari Jepun ke Alaska

Bola hanyut dari Jepun ke Alaska


BAXTER (kiri) memegang bola sepak manakala isterinya menunjukkan bola tampar yang hanyut dari Jepun.


TOKYO - Seorang pelajar sekolah di sini, Misaki Murakami akan mendapat kembali sebiji bolanya yang dihanyutkan ke Alaska selepas bencana tsunami melanda Jepun pada Mac tahun lalu.

Murakami, 16, kehilangan rumah dan semua barangan di dalam kediamannya semasa ombak besar menghancurkan kampung Rikuzentakata di timur laut Jepun.

Pemilik bola itu diketahui kerana terdapat contengan mesej 'semoga berjaya' oleh bekas rakan sekolahnya.

Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Negara (NOAA) Amerika Syarikat menyatakan seorang lelaki, David Baxter, 51, menemui bola itu.

Ia ditemui di sebuah pantai di Pulau Middleton pada Mac tahun lalu.

"Nama sebuah sekolah tertera pada bola itu dan isteri lelaki itu mampu menterjemah tulisan tersebut bagi mengesan sekolah berkenaan," kata NOAA.

Isteri Baxter ialah wanita berketurunan Jepun.

Perjalanan bola itu mendapat liputan meluas di Jepun.

"Saya bersyukur kerana ketika ini saya tidak menemui sebarang barang yang pernah menjadi milik saya," katanya kepada stesen penyiaran TBS kelmarin.

Baxter turut menemui sebiji bola tampar dengan tulisan Jepun menyebabkan media Jepun berusaha untuk mencari pemiliknya. - AFP

Lakaran pakaian Lady Gaga didedah

Posted:

Lakaran pakaian Lady Gaga didedah

Lakaran pakaian Lady Gaga didedah

LAKARAN pakaian yang akan dipakai Lady Gaga.


SEOUL - Empat lakaran pakaian yang bakal digayakan bintang pop Amerika Syarikat, Lady Gaga pada konsert jelajah di Korea Selatan didedahkan semalam.

Ia termasuk fesyen pakaian sendat yang direka dengan mempunyai bentuk seperti gitar dan sebuah papan kekunci piano.

Menurut rakan kongsi pereka pakaian jenama Giorgio Armani, firma Shinsegae International, Lady Gaga, 26, juga akan memperkenalkan pakaian jenama terkenal itu di empat lokasi lain semasa konsert jelajahnya berlangsung.

Koleksi pakaian baharu penyanyi tersebut termasuk sehelai sut hitam diperbuat daripada beratus-ratus tiub vinil yang dijahit dengan butang logam dan kepingan kaca.

"Pakaian terkini itu diperbuat daripada pelbagai material yang melambangkan konsep futuristik," kata Shinsegae.

Korea Selatan melarang penduduk berusia bawah 18 tahun menonton konsert Lady Gaga kerana ia didapati tidak sesuai untuk peminat remaja.

Sejumlah penganut agama Kristian turut berkumpul kelmarin bagi menentang konsert itu dengan menuduh penyanyi tersebut menyokong homoseksual dan pornografi.

Pakaian itu juga akan dibawa ke Hong Kong, Singapura, Australia dan New Zealand semasa konsertnya berlangsung.

Lady Gaga disenaraikan sebagai 100 individu yang paling berpengaruh sebagai ikon fesyen oleh majalah Time.

Dia pernah mengejutkan para peminat apabila memakai koleksi pakaian yang diperbuat daripada daging mentah.

Penyanyi itu tiba di sini pada Jumaat lalu seminggu sebelum konsertnya berlangsung.

Sementara itu, poster yang menentang konsert Lady Gaga dipasang di beberapa lokasi di sini.

Poster itu dipasang oleh anggota-anggota pertubuhan Perikatan Kesopanan Kebudayaan dan Seksualiti. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan