Khamis, 15 Mac 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Menteri Indonesia mohon maaf

Posted: 15 Mar 2012 03:12 PM PDT

Dunia

GAMBAR tiga orang Menteri dari kiri Jero Wacik, Muhaimin dan Helmy bersama kumpulan wanita berskirt pendek yang mencetuskan kritikan media di Indonesia.

GAMBAR tiga orang Menteri dari kiri Jero Wacik, Muhaimin dan Helmy bersama kumpulan wanita berskirt pendek yang mencetuskan kritikan media di Indonesia.

Isu gambar Muhaimin, dua menteri dikelilingi wanita pakai skirt pendek

JAKARTA: Menteri Tenaga Manusia dan Transmigrasi, Muhaimin Iskandar, memohon maaf semalam berikutan tersiarnya sekeping gambar di media tempatan, menunjukkan beliau dan dua lagi menteri dikelilingi wanita muda memakai skirt pendek di padang golf.

Muhaimin, yang sudah menangkis tuduhan rasuah ke atasnya baru-baru ini, berkata gambar itu diambil dalam satu perjumpaan dengan ahli perniagaan dan wanita berkenaan adalah anggota jawatankuasa penganjur acara, bukan kedi, seperti yang disiarkan dalam laporan awal. "Kami tidak pernah mengambilnya untuk disiarkan dalam media. Kami hanya mengambil gambar dengan wanita berkenaan kerana mereka memintanya. Jika ia memalukan sesiapa, kami memohon maaf," katanya.

Gambar itu kali pertama disiarkanl dalam muka depan akhbar tempatan Rakyat Merdeka Isnin lalu, mencetuskan kekecohan berikutan cadangan terbaru Parlimen untuk melarang kakitangan perundangan wanita daripada memakai skirt pendek atau pakaian mendedahkan dalam cubaan mengelak anggota lelaki Dewan daripada "hilang kawalan."

Muhaimin berkata acara golf yang diadakan di Padang Golf Royale berhampiran pangkalan tentera udara Helmi Perdanakusuma di Timur Jakarta, adalah satu perjumpaan biasa bersama ahli perniagaan bagi membincangkan isu keselamatan pekerjaan.

Dua anggota kabinet lain dalam gambar itu adalah Menteri Tenaga dan Sumber Asli Jero Wacik dan Menteri Pembangunan Wilayah Kurang Membangun, Helmy Faisal.
Kedua-dua Muhaimin dan Helmy adalah anggota Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), sementara Jero daripada Parti Demokratik.

Gambar muka depan itu mencetuskan kritikan dari Istana Negara kelmarin, apabila jurucakap presiden Julian Aldrin Pasha menggelar kelakuan mereka sebagai 'sumbang' dan 'tidak beretika'."

Bagaimanapun, Muhaimin menafikan diberi peringatan oleh istana dan menyatakan bahawa kebimbangan utama ialah bagaimana gambar itu boleh diperoleh media.

"Tiada sebarang teguran. Apa yang istana tidak suka ialah gambar itu muncul di akhbar," katanya.

Timbalan Speaker Dewan Pramono Anung, yang dikecam apabila mengumumkan peraturan baru awal bulan ini terhadap "berpakaian sopan" kepada kakitangan wanita Parlimen, berkata gambar itu menunjukkan perasaan tidak peka menteri berkenaan terhadap sentimen terbaru.

"Kami sedang cuba menangani isu kenaikan harga minyak, supaya menteri menunjukkan perasaan lebih sensitif terhadap nasib rakyat yang bakal terjejas dengan kenaikan itu. Sebaliknya, rakyat kini melihat menteri ini tidak peduli dengan nasib mereka," katanya. – Agensi

Taliban bebas dua pelancong Switzerland

Posted: 15 Mar 2012 03:12 PM PDT

Dunia

MIRANSHAH: Militan Taliban membebaskan dua pelancong warga Switzerland yang diculik lebih lapan bulan lalu ketika membuat perjalanan menerusi kawasan barat daya di Pakistan, kata tentera semalam.

Olivier David Och, 31, dan Daniela Widmer, 28, diculik sambil diacu senjata di wilayah barat daya Baluchistan 1 Julai lalu. Van biru Volkswagen milik pasangan itu ditemui terbiar di daerah Loralai, kira-kira 170 kilometer ke timur ibu kota Baluchistan di Quetta.

"Mereka berada dalam keadaan selamat. Kami memindahkan mereka ke Peshawar," kata jurucakap tentera, Mejar Jeneral Athar Abbas kepada AFP, merujuk kepada bandar barat laut bersempadan lingkaran puak tanpa undang-undang Pakistan di mana mereka diculik. Taliban Pakistan mendakwa penculikan berlaku Julai lalu, menuntut bahawa mereka ditukarkan dengan Aafia Siddiqui, seorang saintis saraf Pakistan yang dijatuhi hukuman pada 2010 di New York kerana cubaan membunuh seorang ejen kerajaan Amerika Syarikat di Afghanistan.

Pihak berkuasa Pakistan yang bercakap kepada AFP tidak menyatakan sama ada pasangan itu dibebaskan sebagai pertukaran untuk mendapatkan wang tebusan atau menerima sebarang tuntutan daripada Taliban Pakistan, yang dikaitkan dengan al-Qaeda.

Kedutaan Switzerland enggan mengulas apabila dihubungi AFP.

Oktober lalu, satu video pasangan itu muncul, jelas menunjukkan kedua-duanya dalam keadaan sihat, dikelilingi empat lelaki bersenjata bertopeng yang mengacukan raifal di kepala mereka.
Pihak berkuasa Pakistan berkata, Taliban membebaskan pasangan itu di perkampungan Spilga di Utara Waziristan, kubu kuat paling digeruni milik Taliban dan al-Qaeda di lingkaran puak separa-autonomi Pakistan yang bersempadan dengan Afghanistan.

"Mereka ditemui berhampiran sebuah pos pemeriksaan di jalan utama pada awal pagi," kata seorang pegawai Pakistan yang enggan dikenali kepada AFP.

Seorang lagi pegawai perisik mengatakan warga Switzerland itu kemudian diterbangkan menggunakan helikopter ke Peshawar.

Timbalan Ketua Tehreek-i-Taliban Pakistan, Wali-ur Rehman, mengaku melakukan penculikan itu, memberitahu AFP Julai lalu bahawa mereka "berada di tempat selamat" dan "berada dalam keadaan sihat." – AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan