Isnin, 13 Februari 2012

Utusan Online - Luar Negara

Utusan Online - Luar Negara


Bayaran ganti rugi keganasan

Posted:

Bayaran ganti rugi keganasan

Bayaran ganti rugi keganasan

BANGKOK 13 Feb. - Sebuah jawatankuasa kerajaan yang ditubuhkan untuk memulihkan kehidupan penduduk yang terjejas akibat keganasan di selatan Thailand memutuskan untuk membayar ganti rugi 7.5 juta baht (RM736,000) kepada setiap keluarga mangsa yang terbunuh dalam konflik sejak lapan tahun lalu.

Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Menteri Kehakiman, Jeneral Pracha Promnok memutuskan pakej ganti rugi bagi keluarga empat kumpulan mangsa keganasan di Narathiwat, Pattani, Yala dan di empat daerah di Songkhla, selepas bermesyuarat di sebuah hotel di daerah Hadyai, Songkhla, semalam.

Penduduk yang terjejas akibat keganasan di selatan Thai menuntut ganti rugi selepas kerajaan meluluskan pampasan untuk mangsa keganasan politik di bahagian lain negara ini.

Mereka yang cedera, menjadi hilang upaya atau ditangkap secara tidak sah semasa keganasan di selatan Thai berhak menerima ganti rugi antara 10,000 baht (RM981) hingga 350,000 baht (RM34,346), bergantung kepada kecederaan mereka.

Empat kumpulan yang layak mendapat ganti rugi ialah keluarga yang terjejas akibat tragedi Masjid Kerisik di Pattani serta pembunuhan pemain bola sepak di daerah Saba Yoi, Songkhla pada 28 April 2004; protes di Tak Bai, Narathiwat pada 25 Oktober 2004 dan serangan bersenjata ke atas sebuah masjid di Ban Ai Payae, daerah Cho Airong di Narathiwat pada 8 Jun 2009; 37 kes mangsa hilang dan diculik; dan insiden keganasan umumnya.

Pracha berkata, keluarga kepada mangsa yang terbunuh dalam empat kategori keganasan itu masing-masing akan menerima ganti rugi 7.5 juta baht.

Jawatankuasa itu akan mengemukakan resolusinya kepada Kabinet pada akhir minggu ini, dan selepas diluluskan, bayaran akan dibuat dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Yongyuth Wichaidit yang turut menghadiri mesyuarat semalam.

Belum jelas sama ada keluarga kepada empat lelaki Islam yang terbunuh dan empat lagi yang cedera dalam tembakan oleh renjer tentera di Pattani pada 29 Januari lalu akan turut mendapat ganti rugi.

Pengarah Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan, Kolonel Thawee Sodsong berkata, siasatan mengenai insiden itu masih dijalankan dan jika mangsa didapati dibunuh oleh renjer, keluarga mereka berhak menerima ganti rugi penuh.

Seorang wanita yang kematian suaminya dalam pembunuhan beramai-ramai di Tak Bai pada 2004, Khayah Wani, 41, menyambut baik keputusan kerajaan untuk membayar ganti rugi dan merancang untuk menggunakan wang itu bagi membiayai pendidikan dua anaknya.

Bagaimanapun Pengerusi Yayasan Keadilan untuk Keamanan, Angkhana Neelapaijit yang juga isteri kepada peguam Muslim yang hilang, Somchai Neelapajit meragui bayaran ganti rugi itu akan meredakan keganasan di selatan Thai walaupun ia boleh membantu meringankan penderitaan sesetengah keluarga Islam. - AGENSI

Liga Arab setuju bantu pemberontak Syria

Posted:

Liga Arab setuju bantu pemberontak Syria

Liga Arab setuju bantu pemberontak Syria


Seorang kanak-kanak perempuan memegang anak patung dan sekeping nota membantah kekejaman Presiden Bashar al-Assad di Daria, dekat Damsyik, kelmarin. - Reuters


KAHERAH 13 Feb. - Liga Arab bersetuju untuk membuka hubungan dengan penentang Presiden Bashar al-Assad di Syria serta menawarkan segala bantuan politik dan kewangan kepada mereka.

Blok Arab itu juga bersetuju untuk meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menubuhkan pasukan pengaman bersama PBB-Arab untuk dihantar ke Syria, bagi menggantikan misi pemerhati Arab yang dibubarkan.

"Diplomat Liga Arab akan membuka saluran komunikasi dengan penentang rejim di Syria dan menawarkan sokongan penuh politik dan kewangan, di samping menggesa penentang rejim supaya menyatukan barisan," menurut satu kenyataan Liga Arab.

Mereka (diplomat) juga akan 'meminta Majlis Keselamatan PBB membuat keputusan mengenai penubuhan sebuah pasukan tentera pengaman PBB-Arab untuk menyelia pelaksanaan gencatan senjata', tambah kenyataan itu.

Pada satu mesyuarat yang berlangsung sehingga larut malam di Kaherah semalam, blok 22 negara anggota itu mengumumkan berakhirnya secara rasmi misi pemantaunya ke Syria, yang digantung pada bulan lepas disebabkan keganasan yang menjadi-jadi.

Hanya Algeria dan Lebanon melahirkan kesangsian berhubung resolusi tersebut.

Duta Syria ke Kaherah, Yusef Ahmed mengutuk kedua-dua keputusan Liga Arab itu.

"Republikan Arab Syria menolak sama sekali keputusan Liga Arab yang mencerminkan histeria kerajaan-kerajaan terlibat selepas mereka gagal menarik campur tangan asing pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB," kata Ahmed dalam kenyataannya.

Burhan Ghalioun, pemimpin Majlis Kebangsaan Syria yang menjadi penaung bagi semua penentang rejim Assad, memberitahu televisyen Al-Jazeera, beliau menyambut baik keputusan Liga Arab itu dan menyifatkannya sebagai langkah pertama 'ke arah kejatuhan rejim'.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 39 lagi penduduk awam dilaporkan terbunuh semalam, ramai daripada mereka maut dalam serangan berterusan tentera rejim Assad ke atas bandar raya Homs, tengah Syria. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan