Khamis, 1 September 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Saif terus lawan, Saadi sedia menyerah

Posted: 01 Sep 2011 03:22 PM PDT

Dunia

Anak Muammar Gaddafi berbeza pendirian ketika dunia sokong pemerintah baru Libya

TRIPOLI: Anak Muammar Gaddafi, Saif al-Islam dan Saadi berbeza pendirian terus melawan rejim baru atau menyerah diri ketika dunia menyatakan sokongan kepada Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) untuk membentuk pentadbiran di negara Afrika Utara itu, semalam.

Saif memberitahu televisyen Syria, al-Rai bahawa dia dan bapanya sihat serta berikrar bahawa mereka akan meneruskan perjuangan dengan menawan semula Tripoli.

"Kami akan mati di negara ini. Tiada siapa akan serah diri. Kami mesti terus lawan siang dan malam hingga tanah air bersih daripada samseng dan pengkhianat. "Kami mahu beritahu rakyat bahawa kami terus mengorak langkah berjuang dan pemimpin tentera dalam keadaan baik."

Bagaimanapun, adik Saif, Saadi yang juga bekas pemain bola sepak, memberi maklum balas berbeza ketika ditemuramah televisyen Arab Saudi, al-Arabiya apabila menyuarakan kesediaan berunding dengan rejim baru.

"Saya sedia menyerah diri jika tindakan itu menamatkan pertumpahan darah tetapi saya tidak hanya mewakili diri sendiri dan bagi mencapai penyelesaian secara aman krisis ini, kita perlu duduk semeja untuk berunding. Perkara paling utama ialah menghentikan pertumpahan darah."

Gaddafi dilaporkan lari ke Bani Walid, 150 kilometer ke tenggara Tripoli bersama Saif dan ketua perisikan, Abdullah al-Senoussi, tiga hari selepas Tripoli ditawan pemberontak. Bani Walid dikuasai puak Warfalla yang berpengaruh tetapi tidak pro-Gaddafi.
Angkatan bersenjata NTC minggu ini menyatakan mereka berada 30 kilometer dari Bani Walid. NTC juga memberi kata dua kepada penyokong Gaddafi di Sirte menyerah diri atau menghadapi serangan.

Russia menjadi antara negara terbaru mengiktiraf NTC sebagai pemerintah baru Libya ketika satu sidang antarabangsa diadakan di Paris bagi menyelaras aspek politik dan pembinaan semula ekonomi negara itu 42 tahun selepas Gaddafi menggulingkan Raja Idris pada 1969.

Ketika persidangan itu memberi tumpuan kepada usaha membina semula Libya, ada juga peserta yang merebut kontrak selepas perang meliputi sektor minyak dan gas.
Mac lalu, Russia berkecuali daripada undian di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang membenarkan campur tangan asing di Libya.

Tetapi, Moscow kemudian menuduh tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bertindak di luar mandat untuk melindungi orang awam dan memihak kepada pemberontak.

Ada pihak di Libya membayangkan rejim baru akan mengetepikan Russia dan China dan memberi kontrak kepada peneraju campur tangan termasuk Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan Qatar.

NTC dijangka mendesak langkah segera dari negara Barat supaya menamatkan pembekuan aset Libya menerusi sekatan PBB.

Amerika dan Britain mendapat keizinan PBB untuk menamatkan pembekuan AS$1.5 bilion (RM4.5 bilion) aset Libya manakala Perancis dibenarkan menyerahkan 1.5 bilion euro (RM6.48 bilion) daripada nilai keseluruhan 7.6 bilion euro. – Agensi


1.9 juta tan sisa raya di Jakarta

Posted: 01 Sep 2011 03:20 PM PDT

Dunia

Sampah paling banyak dari selatan ibu negara

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 1.9 juta tan sampah dikutip di Jakarta pada petang sambutan Aidilfitri, jauh lebih rendah daripada kadar yang dijangka iaitu 2.8 juta, kata Agensi Pembersihan Jakarta.

Ketua agensi itu, Eko Bharuna berkata 350 pekerja diupah untuk melakukan kerja pembersihan selama 12 jam yang berakhir pada petang Rabu, lapor akhbar Jakarta Post.

"Sampah dikumpulkan dihantar ke pusat pembuangan Bantar Gebang di Bekasi. Jumlah itu tidak termasuk sampah dipungut di kawasan tumpuan pelancong seperti Ancol, Zoo Ragunan, Taman Mini Indonesia Indah dan Tugu Negara," kata Eko, semalam. Beliau menambah, kawasan yang mengeluarkan hasil sisa buangan paling banyak adalah di selatan Jakarta iaitu 569.7 tan, diikuti wilayah timur Jakarta ( 380.6 tan)

"Kawasan tengah Jakarta menghasilkan 362.7 tan, manakala utara Jakarta sebanyak 275.1 tan dan barat Jakarta pula 139.4 tan.

"Kami juga menyediakan tukang cuci tambahan sebanyak 350 orang di setiap kawasan sebagai tambahan kepada 150 pekerja yang sedia ada di setiap kawasan.

"Tukang cuci tambahan itu bertugas di 726 masjid dan padang yang menjadi tempat solat Aidilfitri berlangsung. Kami menyediakan 649 trak untuk memungut sampah," kata Eko. – Agensi.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Tiada ulasan:

Catat Ulasan