Rabu, 6 Julai 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


'Tiada jawatan untuk Thaksin'

Posted: 06 Jul 2011 12:42 PM PDT

Dunia

Yingluck

Yingluck

PM baru Thailand nafi spekulasi beri tugas rasmi kepada abang

BANGKOK: Pemimpin baru Thailand, Yingluck Shinawatra semalam menolak spekulasi yang semakin meluas kononnya abang beliau, Thaksin yang digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2006, akan diberikan satu tugas rasmi di bawah penggal pemerintahan beliau.

Yingluck yang mengetuai kempen pembangkang Parti Puea Thai dengan mengambil alih tempat abangnya, memperoleh kemenangan besar pada pilihan raya Ahad lalu dan membentuk lima parti pakatan. Bagaimanapun beliau menolak laporan media bahawa Thaksin yang kini tinggal dalam buangan di Dubai untuk mengelak hukuman penjara kerana rasuah, mungkin menjadi wakil perdagangan kerajaan bagi menggalakkan eksport Thailand itu di luar negara.

"Spekulasi itu tidak benar, tidak ada jawatan yang akan ditawarkan kepada beliau," kata Yingluck kepada pemberita sebaik tiba di ibu pejabat partinya di Bangkok bagi menghadiri satu mesyuarat bersama penasihat ekonomi.

"Tidak akan ada jawatan untuk Thaksin. Beliau hanya memberikan sokongan moral dan nasihat. Beliau sihat di luar negara dan tidak berniat untuk mendapatkan sebarang kedudukan dalam politik. Beliau hanya mahu melihat pemulihan semula di seluruh negara," katanya.

Kepulangan Thaksin dikatakan akan memberi risiko kemarahan kepada golongan elit dalam tentera, istana dan birokrasi dan boleh mencetuskan krisis lebih teruk selepas bantahan dan keganasan selama beberapa tahun.
Selepas kemenangan adiknya, Thaksin berkata, beliau tidak bercadang kembali sebagai Perdana Menteri manakala keinginan balik ke Thailand bukan keutamaan.
Beliau bagaimanapun meluahkan harapan untuk menghadiri majlis perkahwinan anak perempuannya yang diadakan Disember ini. – AFP


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

24 korban konflik etnik, politik di Karachi

Posted: 06 Jul 2011 12:40 PM PDT

Dunia

AHLI keluarga meratapi jenazah mangsa bunuh di Karachi Pakistan, semalam.

AHLI keluarga meratapi jenazah mangsa bunuh di Karachi Pakistan, semalam.

KARACHI: Sekurang-kurangnya 24 terbunuh akibat ketegangan politik dan etnik di bandar paling besar di Pakistan, Karachi, kata pegawai rasmi semalam.

Hubungan tegang berlaku antara Pergerakan Muttahida Qaumi (MQM) dan Parti Nasional Awami (ANP), yang mewakili pelbagai etnik dan mempunyai fahaman politik berbeza. Pembunuhan didakwa dilakukan penyokong setia mereka.

"Kita menerima laporan sekurang-kurang 24 jadi mangsa pembunuhan sejak petang kelmarin," kata pegawai kementerian dalam negeri wilayah selatan Sindh, Sharfuddin Memon. Beliau berkata, polis sudah menahan 12 lelaki dengan senjata dan peluru yang didakwa terbabit dalam pembunuhan itu.

Pakar bedah, Hamid Parhiar, berkata hospital bandar itu menerima 15 mayat.

Seorang pegawai keselamatan pula berkata, ketegangan berlaku di bandar barat yang berjiran iaitu Orangi dan Qasba, tempat lelaki bersenjata melepaskan tembakan bertalu-talu, menyebabkan jalan lengang dan kedai ditutup.

"Polis dan tentera berkawal di bandar yang huru-hara itu untuk mengelak keganasan lebih teruk," kata Memon.
Polis berkata, lima mayat ditemui di dalam bas di timur kejiranan Gulshan-e-Iqbal.

"Kami nampak bas diletakkan dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan dan mendapati ada lima mayat ditembak mati. Identiti mereka belum dikenal pasti," kata pegawai polis, Mohammad Hashim.

Kedua-dua musuh parti politik mendakwa mereka yang terbunuh termasuk aktivis dan penyokong. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pakistan berkata, 490 maut dalam kejadian pembunuhan terancang dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. Tahun lalu, 748 terbunuh. Jumlah pada 2009 adalah 272 orang.

Karachi antara bandar raya di Pakistan yang kerap berdepan kejadian pembunuhan akibat perbezaan mazhab, jenayah dan penculikan. MQM baru-baru ini keluar perikatan diketuai Parti Rakyat Pakistan dengan dua jawatan utama disandang pemimpin etnik Sindh. – AFP


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan