Isnin, 10 Jun 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Kontraktor akui dedah intipan AS

Posted: 10 Jun 2013 01:47 PM PDT

Dakwa Washington miliki mesin pemantauan yang dibina secara rahsia

Washington: Seorang kontraktor kerajaan berusia 29 tahun mendedahkan dirinya sebagai sumber utama di sebalik kebocoran pengintipan ke atas pengguna internet dan rakaman telefon Amerika Syarikat ketika risikan negara itu menekankan terhadap satu siasatan jenayah.

Edward Snowden (gambar), yang bekerja di Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) sejak empat tahun lalu, mengakui peranan beliau dalam satu temubual yang disiarkan di laman web The Guardian, akhbar pertama menyiarkan kebocoran maklumat itu.
Beliau memilih untuk mendedahkan kepada umum kerana enggan 'membenarkan kerajaan Amerika Syarikat memusnahkan privasi, kebebasan internet dan kebebasan asas penduduk seluruh dunia dengan mesin pemantauan besar-besaran mereka yang dibina secara rahsia'.

"Motif utama saya adalah untuk memaklumkan kepada umum apa yang dilakukan atas nama mereka," kata Snowden yang bercakap di Hong Kong.

Beliau memilih untuk mendedahkan kepada umum kerana enggan 'membenarkan kerajaan Amerika Syarikat memusnahkan privasi, kebebasan internet dan kebebasan asas penduduk seluruh dunia dengan mesin pemantauan besar-besaran mereka yang dibina secara rahsia'.

Bekas pembantu teknikal bagi Agensi Perisikan Pusat (CIA), Snowden bekerja untuk NSA sebagai seorang pekerja bagi pelbagai kontraktor luar, termasuk Dell dan Booz Allen Hamilton.
Sedia bantu siasatan

Dalam satu kenyataan, Booz Allen Hamilton mengesahkan Snowden adalah seorang kakitangan kurang 'tiga bulan' dan berjanji untuk membantu pihak berkuasa Amerika Syarikat menyiasat dakwaan mengejutkan beliau membocorkan maklumat sulit.

Snowden ke Hong Kong sejak 20 Mei lalu selepas menyalin dokumen terakhir yang mahu didedahkannya di pejabat NSA di Hawaii, lapor The Guardian sambil menambah bahawa beliau sejak itu terus bersembunyi di sebuah bilik hotel.

Perjanjian ekstradisi

Hong Kong, wilayah pentadbiran khas China memiliki peraturan sendiri, mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Amerika Syarikat. The Guardian berkata, mereka mendedahkan identiti Snowden atas permintaan beliau sendiri.

Dalam satu kenyataan mengenai keputusan Snowden yang tampil kepada umum, pejabat Pengarah Risikan Kebangsaan berkata, perkara itu sudah dirujuk kepada Jabatan Kehakiman.

Jabatan Kehakiman mengesahkan mereka melancarkan satu siasatan terhadap pendedahan berkenaan tetapi enggan mengulas lanjut.

Pendedahan kebocoran itu dalam The Guardian dan The Washington Post mencetuskan kemarahan, dengan Presiden Barack Obama dan ketua risikan Amerika Syarikat mempertahankan program sulit terbabit. - AGENSI

7 pemisah cuba serang ibu pejabat NATO

Posted: 10 Jun 2013 01:42 PM PDT

Kabul: Sekurang-kurangnya tujuh pemisah Taliban bersenjata berat melancarkan serangan awal pagi berhampiran lapangan terbang utama Afghanistan semalam, menyasarkan ibu pejabat NATO bersebelahan dengan menggunakan bom, senapang dan sebutir bom besar.

Dua orang awam dilaporkan cedera dan semua penyerang terbunuh selepas pertempuran selama beberapa jam.

Serangan ketiga
"Tiada kerosakan pada landasan. Beberapa bahan tajam jatuh berhampiran tetapi ia sudah dibersihkan" Yaqub Rassuli, Ketua Lapangan Terbang Kabul

Ia adalah kali ketiga dalam tempoh sebulan pemisah melancarkan serangan besar di ibu negara Afghanistan, cuba mencari sasaran berprofil tinggi bagi menjejaskan keyakinan rakyat apabila pasukan keselamatan Afghanistan bakal mengambil alih tanggungjawab melindungi negara selepas pengunduran tentera asing tahun depan.

"Lapangan terbang itu sendiri tidak rosak dan dibuka semula sebaik saja selepas pertempuran berakhir.

"Tiada kerosakan pada landasan. Beberapa bahan tajam jatuh berhampiran tetapi kami sudah membersihkannya," kata Ketua Lapangan Terbang Kabul, Yaqub Rassuli.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Sediq Sediqi, berkata dua penduduk awam Afghanistan cedera tetapi tiada kematian di kalangan pasukan keselamatan atau penduduk awam.
Jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan, dan berkata pemisah mensasarkan ibu pejabat NATO bersebelahan lapangan terbang awam. Tentera bersekutu antarabangsa berkata, mereka masih menilai situasi dan tiada laporan mengenai sebarang kematian atau kerosakan.

Serangan bermula dengan letupan kuat ketika penduduk Kabul selesai solat subuh kira-kira jam 4.30 pagi.

Jaket penuh bahan letupan

Polis berkata penyerang memakai jaket dipenuhi bahan letupan mendiami satu daripada dua bangunan yang masih dalam pembinaan di barat lapangan terbang dan melepaskan tembakan ke arah kemudahan tentera, yang tidak jauh.

Ia tidak diketahui sama ada bedilan turut mengenai bahagian dalam kemudahan NATO. - AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan