Ahad, 3 Februari 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Polis Kirkuk kena serang

Posted: 03 Feb 2013 02:39 PM PST

Kirkuk: Sekurang-kurangnya 33 orang terbunuh di bandar ini semalam apabila seorang penyerang bunuh diri meletupkan sebuah trak dipenuhi bahan letupan di luar sebuah ibu pejabat polis.

Ia disusuli tindakan sekumpulan lelaki bersenjata menyamar sebagai pegawai polis yang cuba menyerbu masuk.

Letupan yang berlaku adalah serangan ketiga terbesar dalam tempoh beberapa minggu di dalam atau berhampiran bandar pelbagai etnik termasuk Arab, Kurdis dan Turkmen.

Ia berlaku ketika pertelingkahan meletus dengan kerajaan pusat mengenai autonomi Kurdistan.

Polis berkata, penyerang meletupkan bom berhampiran sisi pintu masuk bangunan polis, memusnahkan sebahagian pejabat kerajaan berhampiran.

Penyerang langgar pejabat

"Penyerang memandu kenderaan membawa bahan letupan melanggar pintu masuk ibu pejabat dan selepas letupan, lelaki bersenjata memakai jaket berisi bom menyerang menggunakan senapang AK-47 dan bom tangan, namun pengawal dapat membunuh mereka," kata pegawai polis.
Pengawal dan pekerja kecemasan menyeret mangsa terselamat ke atas pengusung dalam keadaan kelam kabut selepas letupan berlaku dan meninggalkan satu kawah besar di jalan raya.

33 orang terbunuh

Polis berkata, 33 orang terbunuh termasuk 12 kakitangan kerajaan. Seorang pegawai kesihatan pula berkata hanya 16 mayat ditempatkan di rumah mayat hospital dan lebih 90 lagi cedera.

Serangan itu muncul ketika pemberontak dikaitkan dengan al-Qaeda cuba menyemarakkan konflik mazhab di Iraq.

Ia ketika kerajaan yang berkongsi kuasa di kalangan majoriti Syiah, Sunnah dan etnik Kurdis dilanda masalah sejak tentera Amerika Syarikat berundur setahun lalu.

REUTERS

Pemberontak Syria pujuk Russia, Iran

Posted: 03 Feb 2013 02:38 PM PST

Munich: Pemimpin pemberontak Syria kelmarin berunding dengan Menteri Luar Russia dan Iran bagi mencari jalan terbaik menamatkan perang saudara negara itu.

Russia dan Iran adalan penyokong kuat Presiden Syria, Bashar al-Assad sejak pemberontakan meletus.


Bantu rundingan

Oleh itu, sebarang persefahaman dengan musuh Bashar dipercaya dapat membantu pemberontak dan Bashar berunding.

Dalam sidang keselamatan antarabangsa di sini, pemimpin Pakatan Kebangsaan Syria (SNC), Moaz Alkhatib berunding dengan Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov sebelum menemui Menteri Luar Iran, Ali Akbar Salehi.

Rundingan itu dipercayai hanya diadakan selepas Alkhatib memberi isyarat pihaknya sedia berunding dengan Damsyik.

"Russia ada pendekatan tersendiri tetapi menyambut baik rundingan untuk menamatkan krisis," katanya.
"Kami setuju mencari jalan tamatkan penderitaan penduduk Syria," kata Alkhatib selepas pertemuan 45 minit dengan Salehi.

Beliau juga berunding dengan Naib Presiden Amerika, Joe Biden dan utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Syria, Lakhdar Brahimi.

Tujuannya menyertai rundingan ialah mencari jalan menjatuhkan pemerintah tanpa terlalu banyak menumpahkan darah penduduk," katanya lagi.

Sekat tiga resolusi

Russia menyekat tiga resolusi Majlis Keselamatan PBB bertujuan menyingkirkan Bashar atau menekannya menamatkan perang saudara yang menyebabkan lebih 60,000 terbunuh.

Media Iran pula melaporkan, anggota Majlis Keselamatan Kebangsaan Tertinggi, Saeed Jalili mengunjungi Damsyik untuk berunding bagi menentang komplot kuasa besar – merujuk kepada Amerika dan negara Barat lain.

Ada pihak menganggap komen Perdana Menteri Russia, Dmitry Medvedev minggu ini menunjukkan Bashar akan hilang kuasa.

Medvedev berkata, peluang Bashar terus berkuasa kian mengecil sekali gus dianggap Kremlin tidak lagi menyokong Damsyik.

REUTERS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan