Rabu, 5 Disember 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Protes anti-Morsi sampai depan Istana Presiden

Posted: 05 Dec 2012 03:03 PM PST

Kaherah: Penunjuk perasaan anti pemimpin Mesir terus meluahkan bantahan hingga ke depan istana Presiden Mohamed Morsi semalam selepas beliau dituduh membolot kuasa.

Penunjuk perasaan menuntut beliau digulingkan, keadaan yang tidak pernah dihadapi Presiden Hosni Mubarak, meskipun protes meletus ke atasnya.

Berkhemah depan istana Ratusan penunjuk perasaan berkhemah di depan istana Itihadiya pagi semalam. Kawasan itu dikepung malam sebelumnya oleh rakyat anti-Morsi yang marah dengan perintah khas menambah kuasanya pada 22 November lalu.

Morsi yang keluar dari kediaman rasmi itu sudah kembali bertugas di Istana Presiden pagi semalam, kata pembantunya.

Beliau meninggalkan tugas mengikut jadual selepas mesyuarat kelmarin dan kembali ke rumahnya di pinggir Kaherah, kata Kementerian Dalam Negeri kelmarin.

Sebelum Subuh, peniaga mendirikan kedai sepanjang tembok istana yang disembur grafiti anti-Morsi.

"Amaran akhir, presiden dikepung," menurut tajuk utama akhbar al-Shuruk, ketika akhbar bebas, Al-Watan mengisytiharkan "Revolusi di depan pintu Presiden."
Dalam bantahan kelmarin, penyertaan puluhan ribu penunjuk perasaan lain untuk membantah, sekumpulan memotong kawat duri yang didirikan beberapa ratus meter dari istana, memaksa polis melepaskan gas pemedih mata sebelum berundur, membenarkan penunjuk perasaan mendekati tembok istana.

Rakyat merosakkan tiang lampu dan melaungkan 'pergi' dalam kekerasan di luar istana yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Pada hari terakhir revolusi yang menjatuhkan Mubarak, berpuluh ribu rakyat cuba mendekati istana Itihadiya tetapi dihalang oleh polis tentera.

Beratus-ratus lagi penentang Morsi menghabiskan semalaman dalam khemah didirikan 2 minggu di Dataran Tahrir. AFP

Eropah takut hukum Israel

Posted: 05 Dec 2012 03:03 PM PST

Brussels: Duta Kesatuan Eropah (EU) bermesyuarat semalam bagi membincangkan kemungkinan menulis surat kepada Israel dan menyatakan rasa kurang senang berikutan projek pembinaan penempatan di wilayah Palestin.

Pada mesyuarat yang diadakan di ibu negara Belgium itu juga, kumpulan duta berkenaan menimbang satu lagi kemungkinan iaitu memanggil duta Israel untuk berunding seperti yang sudah dilakukan lima negara EU sebelum ini.

Bagaimanapun tiada keputusan rasmi dibuat ketika mesyuarat dan isu berkenaan akan dibincangkan lebih lanjut esok.

"Kita sudah bersetuju agar satu cadangan dikemukakan, jadi ia bukan wajib," kata seorang diplomat EU yang enggan namanya didedahkan.

Eropah berbelah bagi sejak konflik Israel dan Palestin tercetus minggu lalu, apabila 27 negara anggota EU gagal mencapai kata sepakat untuk mengiktiraf kedudukan Palestin daripada negara pemerhati kepada negara pemerhati bukan anggota di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Empat belas kerajaan Eropah menyokong perubahan status itu, 12 negara berkecuali manakala Republik Czech, menjadi satu-satunya negara EU yang menentang.

Bagaimanapun beberapa negara EU bimbang tekanan yang lebih keras ke atas Israel akan menjejaskan hasrat pertubuhan itu mengukuhkan kuasa dan bersuara lebih lantang di pentas diplomatik di Asia Barat.
EU adalah penyumbang bantuan luar terbesar bagi penduduk Palestin, menyediakan mereka kira-kira 300 juta euro (RM1.194 bilion) setahun daripada belanjawannya.

Dana terbabit digunakan untuk membantu pelarian dan pembinaan negara Palestin.

Pegawai EU bertelagah sama ada pembinaan negara Palestin di Tebing Barat mampu membantu usaha antarabangsa untuk menyelesaikan konflik dengan Israel.

Bagaimanapun pengaruh EU ke atas Israel adalah terhad manakala bantuannya ke atas Palestin jauh lebih kecil berbanding sokongan ekonomi dan ketenteraan yang diberikan Washington kepada Tel Aviv. Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan