Sabtu, 8 September 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


64 korban gempa di China

Posted: 07 Sep 2012 04:28 PM PDT

Lebih 20,000 rumah musnah, 100,000 penduduk dipindahkan

Beijing: Satu siri gempa bumi melanda kawasan pedalaman barat laut China semalam membunuh sekurang-kurangnya 64 dan memusnahkan lebih 20,000 rumah, kata seorang pegawai kerajaan.

Gempa yang berukuran antara 4.8 hingga 5.6 melanda kawasan berbukit yang juga wilayah pertanian di Yunnan dan Guizhou. Jurucakap dari biro seismologi Yunan, Zhang Junwei berkata kematian banyak berlaku di kawasan Yiliang di Yunnan yang paling teruk terjejas. Zhang berkata lebih 150 yang lain cedera.
Agensi berita Xinhua berkata gempa memusnahkan atau merosakkan 20,000 rumah. Bangunan di kawasan pedalaman di China biasanya dibina dengan struktur yang lemah.

Pada 2008, satu gempa bumi teruk melanda wilayah Sichuan, di utara Yunnan, membunuh hampir 90,000 penduduk kebanyakan mereka maut akibat bangunan yang tidak kuat termasuk sekolah.

Xinhua memetik seorang pegawai dengan jabatan hal ehwal awam Yunnan berkata lebih 100,000 penduduk dipindahkan di Yunnan.

Xinhua berkata, kerajaan wilayah menghantar sepasukan pekerja ke wilayah yang dilanda gempa manakala jabatan hal ehwal awan menghantar beribu khemah, selimut dan baju sejuk di kawasan terbabit.
Katanya setakat ini tiada kematian dilaporkan di Guizhou, tetapi banyak kediaman yang rosak atau musnah di sana.

Kajian Geologikal Amerika Syarikat berkata gempa bumi berukuran 5.6 berlaku dengan kedalaman 9.8 kilometer. Gempa bumi yang cetek sering kali menyebabkan lebih banyak kerosakan berbanding gempa yang lebih dalam.

Sementara itu AFP melaporkan, rakaman televisyen menunjukkan beratus penduduk berhimpun di jalanan di bandar Yiliang yang paling teruk terjejas dengan jalan raya dipenuhi batu-bata dan batuan.

Penduduk tempatan menceritakan bagaimana orang ramai keluar berlari dari rumah masing-masing dan menjerit ketika gempa berlaku.

"Saya berjalan di atas jalan apabila tiba-tiba merasakan gegaran. Orang ramai bergegas keluar sambil menjerit, ia menakutkan saya jika mengingati semula," tulis seorang pengguna Sina Weibo, rangkaian sosial yang menyamai Twitter. - AP/AFP

Militan Indonesia sasar parlimen

Posted: 07 Sep 2012 04:17 PM PDT

Jakarta: Suspek pengganas Indonesia yang ditahan mendedahkan mengenai rancangan untuk menyerang bangunan parlimen dan pihak polis, kata seorang pegawai kanan semalam.

Serang Parlimen

Dua kumpulan berlainan merancang menyerang parlimen negara itu di Jakarta dan memasang bom serta melakukan serangan senjata terhadap polis di bandaraya Jawa Tengah, Solo, kata ketua agensi anti keganasan negara itu, Asyad Mbai.
"Kami bekerja sama dengan skuad polis anti pengganas untuk meningkatkan buruan terhadap suspek yang masih bebas dan juga meningkatkan langkah keselamatan menghadapi sebarang kemungkinan serangan," katanya kepada AFP.

Lebih banyak serangan

Bayu Setiono, 22 yang ditahan berikutan satu tembakan minggu lalu di Solo yang menyebabkan dua suspek dan seorang pegawai anti pengganas maut, berkata kumpulannya merancang melakukan lebih banyak serangan.

"Rancangan kami adalah menjadikan Solo seperti yang berlaku di Ambon dan Poso. Kami mahu mewujudkan undang-undang Islam Syariah dan seorang khalifah Islam di Indonesia," katanya merujuk kepada keganasan di antara penduduk Islam dan Kristian, membunuh beribu-ribu penduduk pada awal 2000.

Dalam satu video siasatan disiarkan oleh polis kelmarin, Setiono berkata kumpulan itu menyasarkan polis yang disifatkan sebagai kafir kerana menahan dan membunuh militan.

Suspek lain berkata dia membuat penelitian di bangunan parlimen tiga kali sebelum ditahan polis Julai, kata pegawai kanan anti keganasan Mbai kepada AFP tanpa memberikan maklumat lanjut sehingga peringkat mana rancangan itu dibuat. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan