Selasa, 11 September 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Al-Maliki mahu pecat TPM pula

Posted: 10 Sep 2012 03:55 PM PDT

Gara-gara dituduh lebih teruk daripada Saddam Hussein

Baghdad: Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki, turut berhasrat memecat Timbalan Perdana Menteri negara itu yang berfahaman Sunnah, Saleh al-Mutlak, kerana melabel beliau 'lebih teruk daripada bekas Presiden Saddam Hussein.'

Perkembangan itu menyusuli hukuman mati yang dikeluarkan mahkamah Iraq terhadap Naib Presiden Tareq al-Hashemi. melanjutkan ketegangan politik di negara itu yang melumpuhkan kerajaan selama beberapa bulan selepas kematian lebih 100 orang dalam serangan di seluruh negara sejak dua hari lalu.

Hashemi yang berada di Turki, dijatuhkan hukuman gantung sampai mati kelmarin kerana membunuh seorang peguam dan pegawai tentera berpangkat brigadier jeneral, dalam perbicaraan yang meliputi sebahagian daripada 150 dakwaan terhadap beliau dan pengawal peribadinya.
Tokoh politik berpengaruh Sunnah itu, dituduh membentuk skuad pembunuh, menolak sabitan dan hukuman berkenaan serta menolak kemungkinan kembali ke Iraq sehingga beliau dijamin selamat dan mendapat perbicaraan adil.

"Saya tidak akan kembali ke Iraq. Apa yang saya perlukan ialah jaminan keselamatan dan perbicaraan yang adil," katanya pada sidang media di Ankara.

Sering bertelagah

Parti Iraqiya, blok dikuasai Sunnah yang turut dianggotai Hashemi dan sering bertelagah dengan al-Maliki, mengecam keputusan mahkamah itu dalam satu kenyataan semalam.
Hukuman dibuat atas dasar tiada keadilan, termasuk seksaan teruk ke atas tertuduh yang didedahkan. Cara perbicaraan dikendalikan sejak hari pertama mengukuhkan kepercayaan keputusan mahkamah khas bermotifkan politik dan sudah dijangka.

"Hukuman dijatuhkan tanpa kehadiran tertuduh dan dibayangi krisis keselamatan kompleks. Daripada menenangkan keadaan, parti politik melakukan penindasan. Amalan ini memuncak dalam penghakiman politik ke atas naib presiden negara itu," kata kenyataan Iraqiya.

Iraq digegarkan dengan siri krisis politik yang bermula pertengahan Disember tahun lalu, walaupun keadaan lebih tenang sejak beberapa bulan lalu. - AFP

Brahimi mula tugas di Syria

Posted: 10 Sep 2012 03:53 PM PDT

Wakil PBB lawat Damsyik lancar proses pulih keamanan

Kaherah: Wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab ke Syria, Lakhdar Brahimi, semalam berkata beliau akan melakukan lawatan pertama ke Damsyik sejak mengambil alih jawatan itu dalam masa beberapa hari lagi dan berharap untuk bertemu Presiden Bashar al-Assad.

Brahimi yang menggantikan Kofi Annan sebagai wakil antarabangsa bulan ini, memberitahu wartawan tugasnya amat sukar tetapi tidak berhak menolak apa yang perlu dilakukan untuk membantu rakyat Syria.


Bertemu pegawai, aktivis
Beliau membuat kenyataan sama mengenai misinya sejak dinamakan wakil baru. Annan menyalahkan kebuntuan dalam Majlis Keselamatan PBB kerana menggagalkan usahanya selama enam bulan yang membawa kepada peletakan jawatannya.

"Saya akan ke Damsyik dan bertemu pegawai serta aktivis persatuan sivil serta intelektual di Damsyik, dan Insya-Allah, juga di luar bandar raya itu," kata Brahimi tetapi tidak memberikan tarikh tepat.

Ditanya jika beliau akan bertemu Presiden Syria, Brahimi berkata: "Saya berharap dapat menemuinya tetapi saya tidak dapat kata dengan pasti."

Agensi berita MEHR memetik Timbalan Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi, sebagai berkata, Brahimi akan melawat Tehran, berikutan perbualan telefon Sabtu lalu dengan Menteri Luar republik itu, Ali Akbar Salehi.

Bertemu penunjuk perasaan

Iran masih setia menyokong Bashar ketika beliau berusaha menghapuskan kebangkitan rakyat menentang pemerintahan keluarganya selama 42 tahun.
Tehran menuduh negara seperti Qatar, Arab Saudi dan Turki membantu pemberontak Syria.

Brahimi dan Ketua Liga Arab, Nabil Elaraby, bertemu penunjuk perasaan anti-Bashar di luar ibu pejabat liga itu di Kaherah.

Penunjuk perasaan menggesa Liga Arab dan negara lain melaksanakan zon larangan terbang di Syria, dan Elaraby membalas: "Kami tidak boleh buat demikian. Negara yang boleh melaksanakan zon larangan terbang di Syria tidak mahu berbuat demikian." - Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan