Ahad, 26 Ogos 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Negara Islam perlu tingkat kekuatan

Posted: 25 Aug 2012 04:33 PM PDT

Perluas penyelidikan sains, teknologi, jana ekonomi

Pergolakan dan kemelut yang melanda dunia Islam bagaikan tiada noktah dan kesudahan.

Bermula daripada kebangkitan yang membawa perubahan drastik di beberapa negara di Semenanjung Arab hingga kepada masalah diskriminasi ke atas etnik minoriti Islam di Myanmar, selatan Thailand,Filipina, Palestin dan beberapa negara lain, segala-galanya memerlukan pendekatan khusus dan segera untuk ditangani.

Kemajuan ekonomi di negara Islam amat perlahan berikutan tiada perhatian diberikan kepada pembangunan sains dan teknologi dan ini perlu diubah" - Dr Ms Dolatabadi, Kuasa Usaha Kedutaan Iran di Malaysia

Seperti yang ditegaskan oleh Kuasa Usaha Kedutaan Iran di Malaysia, Dr MS Dolatabadi, banyak perkara perlu dilakukan untuk menyelesaikan isu dan masalah yang membelenggu umat Islam.

Ketika bercakap pada majlis berbuka puasa bersama diplomat negara selatan, anjuran bersama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan South South Nations Gateaway (SSIG) di ibu negara baru-baru ini, beliau berkata, negara Islam perlu memberi penekanan kepada usaha memajukan teknologi dan sains, memperluaskan bidang penyelidikan dan pembangunan bagi menjana perkembangan ekonomi.

"Kemajuan ekonomi di negara Islam amat perlahan berikutan tiada perhatian diberikan kepada pembangunan sains dan teknologi dan ini perlu diubah," katanya ketika menyampaikan ceramah berjudul 'Perpaduan Dunia Islam: Pengalaman Iran'.

Beliau berkata negara Islam ketinggalan di belakang negara maju dalam penyelidikan dan pembangunan, penerbitan bahan saintifik, permohonan paten dan pembangunan infrastruktur.
Institut Bagi Statistik Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco)n menganggarkan ada kira-kira 2,532 penyelidik bagi setiap sejuta penduduk dunia.

Ketika Kesatuan Eropah (EU) memiliki purata 6,494 orang penyelidik bagi setiap sejuta penduduk di wilayahnya, 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) hanya mempunyai purata 649 penyelidik.

Dolatabadi juga merujuk data OIC yang menyatakan bahawa negara Islam kini mempunyai 53 perataus populasi berusia di bawah 25 tahun.

"Belia Islam berdepan tugas berat untuk menegakkan perpaduan ummah di seluruh dunia. Perangkaan menunjukkan bahawa belia di negara Islam mempunyai potensi yang amat tinggi dan kelebihan ini boleh digunakan untuk membentuk kepemimpinan dunia. Ini adalah salah satu kekuatan yang dimiliki negara Islam," katanya.

Dolatabadi juga bercakap mengenai cabaran yang terpaksa dihadapi negara Islam termasuk keadaan politik tidak stabil di beberapa negara dan penderitaan yang dialami penduduk Palestin.

"Keadaan ini berlaku sebahagian besarnya berpunca daripada perpecahan di kalangannegara Islam dan kejahilan mereka mengenai keadaan rakyat Palestin. Marilah kita berdoa untuk keselamatan saudara-mara kita di Palestin," katanya, sambil menambah bahawa ia adalah suatu kewajiban untuk memupuk perpaduan di kalangan umat Islam supaya dunia menjadi tempat yang selamat dan aman.

Mengenai peranan yang boleh dilakukan oleh SSIG Dolatabadi berkata, insiatif yang diambil Malaysia untuk menubuhkan badan berkenaan membolehkan negara selatan terutama negara Islam menjalin hubungan lebih akrab.

"Saya percaya bahawa Negara Selatan akan dapat bertukar maklumat secara efektif dengan inisiatif SSIG dan saya berharap kerjasama ini akan dapat diperluaskan pada masa depan," katanya.

SSIG diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, dan berfungsi sebagai depositori dan pusat pertukaran maklumat, berita dan siaran bahan-bahan untuk semua negara Selatan.

Antibiotik punca bayi jadi gemuk

Posted: 25 Aug 2012 04:29 PM PDT

Pemberian ketika kecil bunuh bakteria baik dalam usus

New York: Amalan memberi ubat antibiotik kepada bayi sebelum berusia enam bulan boleh menyebabkan mereka mengalami masalah berat badan berlebihan, lapor satu kajian terbaru.

"Kita biasanya menganggap, kegemukan atau obesiti berpunca daripada amalan pemakanan tidak sihat dan kurang bersenam, bagaimanapun semakin banyak kajian yang dijalankan menunjukkan keadaan sebenarnya lebih rumit.

Usia kanak-kanak ketika mereka diberi antibiotik juga mempunyai kesan" - Leonardo Transande, Penyelidik

"Mikrob di dalam usus memainkan peranan penting untuk menentukan bagaimana kalori diserap dan pendedahan kepada antibiotik sejak awal usia boleh membunuh bakteria baik yang mempengaruhi penyerapan zat makanan ke dalam badan kita," kata penyelidik Leonardo Transande dari Sekolah Perubatan Universiti New York.
Hasil kajian pertama pernah dilakukan dan disiarkan dalam Journal of Obesity ini juga memberi amaran bahaya yang mungkin diwujudkan dengan pemberian antibiotik dikalangan kanak-kanak.

Ubah sel mikrob

Transande berkata, kajian awal membuktikan kaitan antara pemberian antibiotik dengan perubahan berbilion-bilion sel mikrob di dalam badan hingga menyebabkan obesiti, masalah pembengkakan usus, asma dan pelbagai masalah kesihatan lain. Bagaimanapun bukti kaitan secara langsung kesan antibiotik ini belum ditemui dan kajian masih diteruskan.
Penyelidikan membabitkan penilaian penggunaan bahan antibiotik dikalangan 11,532 kanak-kanak dilahirkan di wilayah Avon, Britain dari 1991 hingga 1992 yang mengambil bahagian dalam kajian jangka panjang mengenai kesihatan.

Kajian itu mendapati, bayi yang menerima rawatan antibiotik dalam tempoh lima bulan pertama kehidupan mereka mempunyai berat badan yang berlebihan berbanding kanak-kanak yang tidak didedahkan dengan ubat berkenaan.

"Perbezaannya agak kecil bagi kanak-kanak berusia 10 hingga 20 bulan. Bagaimanapun apabila usia mereka mencapai 38 bulan, kanak-kanak yang menerima rawatan antibiotik mempunyai 22 peratus kemungkinan untuk mengalami masalah berat badan berlebihan.

Usia beri kesan

"Usia kanak-kanak ketika mereka diberi antibiotik juga mempunyai kesan. Mereka yang menerima rawatan antibiotik pada usia enam hingga 14 bulan, tidak menunjukkan tanda ketara indeks tubuh lebih tinggi," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penyelidik di universiti yang sama, Jan Blustein berkata, sejak sekian lama penternak lembu mengetahui antibiotik mempunyai pengaruh besar bagi menghasilkan lembu yang lebih berat untuk pasaran.

"Walaupun kajian lanjut perlu dilakukan untuk mengesahkan penemuan ini, penyelidikan terperinci setakat ini membuktikan antibiotik mempunyai pengaruh besar kepada peningkatan berat badan kanak-kanak dan dewasa," katanya. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan