Selasa, 20 September 2011

Utusan Online - Luar Negara

Utusan Online - Luar Negara


Palestin miliki ‘peluru diplomatik’

Posted:

Palestin miliki 'peluru diplomatik'

Palestin miliki 'peluru diplomatik'


ANGGOTA pengakap perempuan Palestin meraikan ulang tahun badan Pengakap Lelaki Baitulaham sambil memegang bendera 'Ya kepada negara Palestin... Resolusi 194 PBB' di Dataran Manger, Baitulaham, Palestin pada 18 September lalu. – AFP


NEW YORK 20 Sept. – Kempen Palestin untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai negara di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilihat oleh ramai pemerhati sebagai 'peluru diplomatik' yang ditujukan bukan sahaja terhadap Israel tetapi juga Amerika Syarikat (AS).

Sebarang veto AS untuk menggagalkan permohonan pengiktirafan negara Palestin di Majlis Keselamatan PBB boleh membawa ketegangan Palestin-AS ke kemuncak selepas setahun menyaksikan tiada kemajuan dicapai dalam menyelesaikan konflik Israel-Palestin.

Presiden AS, Barack Obama dijadual menemui Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semasa Perhimpunan Agung PBB (UNGA) minggu ini, yang dijangka dibayangi oleh kempen negara Palestin itu.

Tiada pertemuan AS diatur dengan Presiden Palestin, Mahmud Abbas, dan wakil Palestin di PBB, Riyad Mansour menuduh pentadbiran AS mengambil 'pendirian negatif' dengan ugutan untuk menggunakan kuasa vetonya.

Pemerhati Palestin berkata, Washington tidak berupaya untuk mempengaruhi Netanyahu berhubung pembinaan kawasan penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin dan beberapa isu lain.

AS yang sudah mengancam untuk menggunakan kuasa vetonya terhadap resolusi negara Palestin di Majlis Keselamatan, berpendirian hanya rundingan langsung Israel-Palestin boleh membawa kepada penubuhan negara Palestin.

Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton semalam berkata, AS telah melancarkan usaha 'amat intensif' bagi meyakinkan pemimpin Palestin supaya membatalkan kempen mereka itu, tetapi diplomat Palestin pula berkata, belum ada cadangan AS yang menepati jangkaan mereka untuk mencapai persetujuan yang boleh mengelakkan konfrontasi.

Khaled Elgindy daripada Pusat Saban bagi Dasar Asia Barat di Brookings Institution berkata, tindakan Palestin itu adalah sebagai mesej kepada AS dan masyarakat antarabangsa bahawa Palestin tidak berpuas hati dengan cara Amerika mengurus proses damai.

Abbas dan pemimpin lain dari satu segi cuba memastikan AS menanggung akibat daripada kegagalan itu, katanya.

"Saya tidak fikir pemimpin Palestin mahu menolak sama sekali peranan AS sebagai peneraju atau penaja proses damai.

"Namun mereka mengharapkan peranan lebih saksama daripada Washington dan penglibatan antarabangsa yang lebih luas supaya proses damai tidak didominasi semata-mata oleh AS," ujar beliau. – AFP

Banon mahu seret Strauss-Kahn ke mahkamah

Posted:

Banon mahu seret Strauss-Kahn ke mahkamah

Banon mahu seret Strauss-Kahn ke mahkamah


Tristane Banon


PARIS 20 Sept. - Penulis Perancis yang mendakwa Dominique Strauss-Kahn cuba merogolnya pada 2003, semalam berikrar untuk mengemukakan kes sivil terhadap bekas ketua Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) itu jika tiada pendakwaan kes jenayah difailkan.

Tristane Banon, 32, bercakap dalam siaran televisyen waktu perdana sehari selepas Strauss-Kahn diwawancara buat kali pertama berhubung dakwaan beliau melakukan serangan seksual terhadap seorang pekerja hotel di New York pada Mei lalu.

Strauss-Kahn dalam wawancara itu memberitahu lebih 13 juta penonton beliau tidak menyerang Banon atau cuba merogol pengemas bilik hotel, Nafissatou Diallo.

Polis Perancis masih menyiasat dakwaan Banon bahawa lapan tahun lalu, Strauss-Kahn memanggilnya ke sebuah pangsapuri, mengunci pintu dan cuba merogolnya.

"Saya akan mengemukakan kes sivil," kata Banon kepada stesen swasta Canal+, juga dalam wawancara pertamanya di televisyen sejak skandal itu didedahkan.

Pendakwa raya Paris belum memutuskan sama ada hendak mendakwa Strauss-Kahn berhubung kes Banon itu, tetapi pemerhati undang-undang di sini berpendapat kes itu sukar dibuktikan kerana insiden berlaku lapan tahun lalu dan tidak ada lagi bukti fizikal.

Di New York, pendakwa raya sudah menggugurkan dakwaan terhadap Strauss-Kahn selepas memutuskan kenyataan Diallo tidak boleh dipercayai, meskipun beliau masih menghadapi kes sivil berhubung dakwaan itu.

Strauss-Kahn, 62, dibebaskan dari tahanan di rumah di New York dan dibenarkan pulang ke Perancis pada 4 September lalu.

Kelmarin, semasa wawancara televisyen yang dikendalikan oleh seorang rakan isterinya, Strauss-Kahn mendakwa insiden yang berlaku antara beliau dengan pekerja hotel itu adalah 'kesilapan moral' dan bukan percubaan untuk merogol.

Beliau juga tidak menafikan berlaku insiden dengan Banon tetapi berkata, dalam pertemuan itu tidak ada serangan atau kekerasan, sebaliknya versi yang dilaporkan adalah khayalan dan berunsur fitnah. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan