Khamis, 8 September 2011

Utusan Online - Luar Negara

Utusan Online - Luar Negara


Bom palsu paksa dua pesawat Pakistan mendarat cemas

Posted:

Bom palsu paksa dua pesawat Pakistan mendarat cemas

Bom palsu paksa dua pesawat Pakistan mendarat cemas


Dua pesawat Pakistan International Airlines (PIA) terpaksa mendarat cemas masing-masing di Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk, Istabul, Turki (kiri) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam selepas menerima ancaman laporan bom palsu ditempatkan di dalam pesawat. – Reuters


ISTANBUL 8 Sept. – Syarikat penerbangan, Pakistan International Airlines (PIA) sedang menyiasat ancaman menerusi e-mel yang mendakwa bom-bom diletakkan di dalam dua pesawatnya, memaksa satu daripadanya dilencongkan ke Istanbul manakala satu lagi mendarat mengikut jadual di Kuala Lumpur.

PIA hari ini berkata, pihaknya menerima dua e-mel lewat semalam yang mendakwa terdapat bom di dalam kedua-dua penerbangan dan mengarahkan juruterbang berkenaan mendarat dengan segera di lapangan terbang terdekat, tetapi tiada bahan letupan ditemui di dalam kedua-dua pesawat.

"Jabatan keselamatan PIA sedang menjalankan siasatan mengenai e-mel itu tetapi setakat belum ada hasil dan mereka juga bekerjasama dengan Pasukan Keselamatan Lapangan Terbang (ASF) dan agensi lain yang bertanggungjawab terhadap keselamatan," kata pengarah operasi penerbangan PIA, Naveed Aziz.

Seorang lagi pegawai kanan PIA berkata, pakar komputer daripada syarikat penerbangan itu dan pasukan keselamatan menjalankan siasatan tersebut.

"Perkara ini serius dan jika tidak dibendung dari awal, e-mel palsu seperti itu boleh merosakkan reputasi kami pada masa depan selain memburukkan negara kami di peringkat antarabangsa," katanya.

Pesawat pertama berlepas dari Lahore dalam penerbangan ke bandar raya Manchester, Britain apabila ia dilencongkan ke Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul, mencetuskan panik di kalangan 378 penumpangnya, lapor pihak berkuasa lapangan terbang dan media Turki.

Pegawai keselamatan di Istanbul dengan bantuan anjing pengesan memeriksa pesawat Boeing 777-300EA itu serta bagasi penumpangnya selama tiga jam, lapor agensi berita Anatolia.

Tiada bahan letupan ditemui dan ancaman bom itu disahkan sebagai palsu, kata pihak berkuasa lapangan terbang, menurut laporan CNN-Turk dan NTV.

Amaran mengenai bom itu, diterima semasa pesawat berada di ruang udara ibu negara Bulgaria, Sofia, mencetuskan panik di kalangan penumpang, menurut Anatolia.

Selepas mendarat di Istanbul sekitar 1400 GMT (10 malam waktu Malaysia), penumpang dibawa turun dari pesawat yang kemudian dipindahkan ke zon keselamatan.

Penerbangan kedua dari Lahore, membawa 187 orang, mendarat dengan selamat di destinasinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas ancaman bom diterima ketika pesawat berada di ruang udara.

"Kami tidak boleh memandang ringan ancaman sedemikian dan sedang menyiasat perkara ini," kata jurucakap Lembaga Penerbangan Awam, Pervez George.

Seorang pegawai keselamatan lapangan terbang berkata, langkah keselamatan diperketat di semua lapangan terbang di Pakistan berikutan ancaman palsu itu. – AFP

Palestin lancar kempen rasmi

Posted:

Palestin lancar kempen rasmi

Palestin lancar kempen rasmi

RAMALLAH 8 Sept. – Palestin hari ini secara rasminya melancarkan kempen mereka dengan tujuan untuk menyertai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai negara anggota ke-194 badan dunia itu.

Para pegawai dan aktivis Palestin hari ini mengumumkan kempen yang diberi nama 'Kempen Kebangsaan bagi Palestin: negara 194' dalam sepucuk surat yang ditujukan kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dan diserahkan kepada ketua pejabat PBB di bandar Ramallah, Tebing Barat.

Surat itu menggesa Ki-Moon 'melakukan segala usaha ke arah memenuhi tuntutan wajar rakyat Palestin'.

Menurut surat itu, kempen Palestin akan meliputi beberapa acara yang diadakan secara aman menjelang pembukaan sidang Perhimpunan Agung PBB (UNGA) pada 21 September ini.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas (gambar) akan berucap pada UNGA dua hari kemudian.

Sementara itu seorang pegawai kanan Palestin semalam menuduh Amerika Syarikat (AS) menunjukkan 'sikap menghina' terhadap orang Arab dengan cuba menghalang Palestin daripada mendapat pengiktirafan sebagai sebuah negara di PBB.

Washington khuatir langkah Palestin untuk membawa perjuangan mereka ke PBB boleh merumitkan lagi usaha AS untuk memulihkan rundingan damai Asia Barat yang terhenti tahun lepas kerana Israel terus berdegil untuk membina kawasan penempatan haram Yahudi.

Utusan damai AS ke Asia Barat, David Hale menemui Presiden Palestin, Mahmoud Abbas semalam dalam usaha terbaru Amerika untuk menyekat rancangan Palestin di PBB tetapi beliau sendiri gagal mencerahkan prospek untuk menghidupkan semula rundingan langsung dengan Israel.

"Presiden mengulangi pendirian Palestin dan Arab untuk mendapatkan pengiktirafan di PBB, memandangkan Israel masih enggan mengakui syarat-syarat rujukan yang jelas dan sebaliknya terus membina kawasan penempatan," kata pegawai kanan Mahmoud, Nabil Abu Rdainah.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Yasser Abed Rabbo berkata, dasar AS kini kelihatan terbatas kepada satu isu iaitu menghalang Palestin daripada mengambil inisiatif diplomatik di PBB.

"Isunya bukan kawasan penempatan haram atau kemerdekaan Palestin atau hak-hak rakyat Palestin atau menghentikan jenayah yang dilakukan oleh pendatang haram Yahudi terhadap penduduk Palestin.

"Kesemuanya tidak diendahkan dan satu-satunya isu ialah menghalang kami daripada membawa kes kami ke PBB," katanya di radio Voice of Palestine.

Pendirian AS itu menunjukkan sikap menghina bukan sahaja terhadap pendirian Palestin tetapi juga terhadap apa yang berlaku di rantau Arab iaitu kebangkitan bagi menuntut keadilan untuk warga Arab dan untuk seluruh rantau ini, tegas Abed Rabbo.

Palestin berpaling kepada PBB kerana menganggap proses damai selama dua dekad dengan Israel tidak lagi membawa faedah. – AP/Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan