Khamis, 11 Julai 2013

Utusan Online - Luar Negara

Utusan Online - Luar Negara


Puteri diraja Arab Saudi didakwa perdagang manusia

Posted: 11 Jul 2013 01:16 PM PDT

SANTA ANA, California 12 Julai - Prosiding pendakwaan puteri diraja Arab Saudi atas tuduhan memperdagangkan manusia di Amerika Syarikat yang sepatunya bermula hari ini, telah ditangguhkan.

Meshael Alayban, 42, muncul di Mahkamah Agung Orange County pada Khamis, tetapi peguamnya mengemukakan permohonan menangguhkan prosiding dan hakim menjadualkannya semula kepada 29 Julai ini.

Alayban ditahan selepas seorang pembantu rumah wanita berusia 30 tahun mengadu dipaksa bekerja lebih masa dan tidak dibenarkan mengambil cuti.

Pekerja tersebut memberitahu, dia diambil bekerja di Kenya pada 2012 dan kemudian dibawa ke Arab Saudi, di mana pasportnya telah diambil.

Hakim mengeluarkan perintah perlindungan menghalang Alayban daripada berhubung dengan pembantu rumah tersebut, yang mana namanya tidak didedahkan.

Pihak berkuasa memberitahu, pembantu rumah dari Kenya itu telah menandatangani kontrak dua tahun dengan agensi pekerjaan yang menjanjikan bayaran AS$1,600 sebulan untuk kerja lapan jam sehari, lima hari seminggu. Tetapi bermula Mac, 2012 dia dipaksa memasak, membersih dan melakukan kerja-kerja lain selama 16 jam sehari dan tujuh hari seminggu.

Hakim sebelum ini mengarahkan Alayban dijamin AS$5 juta, dipantau melalui GPS dan dilarang meninggalkan negara ini tanpa kebenaran. - AP

Justin Bieber mohon maaf caci Bill Clinton

Posted: 11 Jul 2013 12:54 PM PDT

NEW YORK 12 Julai - Justin Bieber telah meminta maaf kepada Bill Clinton kerana mencaci bekas Presiden Amerika Syarikat itu dan menyembur gambarnya dengan cecair pembersih di dapur sebuah restoran di bandar raya New York, awal tahun ini.

Pejabat Clinton pada Khamis memberitahu, penyanyi terkenal itu menelefon dan "beliau meminta maaf dan telah menawarkan untuk membantu Yayasan Clinton."

Pejabat Clinton bagaimanapun enggan menyatakan keterangan terperinci permohonan maaf Bieber itu.

Satu video yang disiarkan oleh TMZ.com menunjukkan Bieber, 19, membuang air kecil di dalam baldi pengelap dan melalui dapur restoran itu.

Sebelum keluar, Bieber menyembur gambar Clinton dan mengeluarkan kata-kata lucah terhadap bekas presiden itu.

Bieber dalam Tweeternya, yang mempunyai 41 juta pengikut, pada Rabu malam telah mengucapkan terima kasih kepada Clinton "kerana meluangkan masa untuk bercakap." - AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan