Khamis, 18 April 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


70 maut loji baja meletup

Posted: 18 Apr 2013 08:59 AM PDT

Berpuluh-puluh rumah musnah, 100 masuk hospital

Chicago: Sebuah loji baja di Texas meletup semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 60 hingga 70 orang terbunuh, lapor media tempatan di tengah kebimbangan tangki kedua kilang terbabit juga akan terbakar.

Agensi berita AFP yang memetik kenyataan Pengarah Perkhidmatan Kecemasan West, George Smith menerusi siaran stesen televisyen KWTX melaporkan 60 hingga 70 kematian akibat kejadian itu.

Berpuluh-puluh rumah musnah manakala lebih 160 orang terpaksa dipindahkan dari sebuah pusat perlindungan berhampiran dan sekurang-kurangnya 100 pesakit dimasukkan ke hospital berikutan letupan kuat di loji terbabit di bandar West, di luar Waco.

Timbalan ketua jabatan bomba Waco, Don Yeager berkata letupan berlaku selepas jam 8 malam waktu tempatan dipercayai bermula dengan kebakaran di loji terbabit.
Sekurang-kurangnya empat anggota bomba juga dilaporkan hilang.

Bagai letupan nuklear

"Kejadian yang berlaku seperti letupan bom nuklear dan keadaan di sini sekarang seperti di zon perang," kata Datuk Bandar West, Tommy Muska kepada CNN.
Wujud percanggahan laporan angka kematian selepas letupan di negeri selatan Amerika Syarikat itu, di mana saksi berkata ia menyebabkan bebola api besar melantun ke udara.

Seorang pentadbir di hospital Providence di Waco, Keith Hopkins memberitahu AFP, kakitangan kecemasan di West juga memberikan angka kematian antara 60 hingga 70 orang.

Seorang jurucakap Jabatan Keselamatan Awam Texas, D L Wilson memberitahu pemberita beliau tidak mengesahkan atau menafikan angka itu.

AS dilanda 2 kali letupan

Amerika Syarikat dilanda dua kejadian pengeboman berkembar di Boston pada Isnin dan kebimbangan berikutan surat bercampur racun yang dihantar kepada Presiden Barack Obama dan senator Amerika Syarikat. - AFP

Punca jangkitan H7N9 terus disiasat

Posted: 18 Apr 2013 08:56 AM PDT

BEIJING: China menyiasat kemungkinan virus jenis baru selesema burung H7N9 yang mengorbankan 17 orang setakat ini membabitkan jangkitan dari manusia kepada manusia dan meneliti kelompok keluarga mangsa yang dijangkiti virus itu, kata pegawai tinggi kesihatan.

Pihak berkuasa membunuh beribu-ribu ayam dan menutup sebahagian pasar ternakan hidup untuk melambatkan kadar jangkitan manusia. Namun banyak aspek selesema burung baru ini kekal misteri, terutama sama ada jenis H7N9 ini dipindahkan antara manusia.

China memberi amaran bilangan jangkitan, 82 setakat ini, akan meningkat. Kebanyakan kes dan 11 kematian dicatatkan di Shanghai.

Pengarah pusat kesihatan kecemasan di Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit China (CDPCC), Feng Zijian, memberitahu wartawan kelmarin mereka memberi perhatian rapi kepada kes kelompok keluarga.

"Kami masih meneliti dengan mendalam untuk melihat kemungkinan paling utama, adakah ia pertama kali berlaku pemindahan ayam kepada manusia, dan kemudian jangkitan manusia kepada manusia, sama ada mereka mempunyai sejarah pendedahan sama, terdedah kepada objek dijangkiti atau sama ada ia disebabkan persekitaran," kata Feng.

Komen beliau dilaporkan dalam kenyataan yang disiarkan di laman web Suruhanjaya Perancangan Keluarga dan Kesihatan Negara.

Satu daripada keluarga yang sedang dikaji di China membabitkan dua saudara lelaki dan bapa mereka yang meninggal akibat virus itu, katanya.
"Kelompok keluarga ini masih tidak mengubah pemahaman kita mengenai ciri penyakit ini secara umum - ia dipindahkan daripada burung kepada manusia dan tiada bukti pemindahan manusia kepada manusia," katanya.

Usaha memastikan asal virus H7N9 juga terjejas akibat kekurangan maklumat tepat daripada mangsa mengenai sama ada mereka bersentuhan dengan ayam, kata Feng.

Kelmarin, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata bilangan mangsa yang diuji positif untuk jenis baru selesema burung tidak bersentuhan dengan ayam.

WHO sebelum ini melaporkan dua kes disyaki kelompok keluarga tetapi yang pertama tidak benar dan yang kedua tidak meyakinkan.

Ketua saintis yang bertanggungjawab mengenai epidemiologi di CDPCC, Zeng Guang, berkata kira-kira 40 peratus mangsa manusia tidak mempunyai sejarah jelas pendedahan kepada ayam, lapor Beijing News. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan