Isnin, 24 September 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


RM330,000 ganjaran bunuh Nakoula

Posted: 23 Sep 2012 05:25 PM PDT

Kerajaan Pakistan tak sokong tawaran menteri

Islamabad: Seorang menteri Pakistan secara peribadi meletakkan ganjaran AS$100,000 (RM330,000) kepada sesiapa yang membunuh pembuat filem anti-Islam yang mencetuskan gelombang kemarahan dan keganasan Muslim di seluruh dunia.

Menteri Kereta Api, Ghulam Ahmed Bilour juga menggesa militan Taliban dan al-Qaeda membantu untuk mencapai matlamat berkenaan.

Gesa Taliban, al-Qaeda
Bilour bercakap kepada pemberita di bandar raya barat laut Peshawar, sehari selepas tunjuk perasaan ganas seluruh negara menentang filem Innocence of Muslims yang menyebabkan 21 orang maut dan lebih 200 cedera.

"Saya umumkan hari ini bahawa saya akan beri hadiah AS$100,000 kepada sesiapa yang membunuh penghina nabi suci," kata Bilour sambil menggesa pihak lain turut menghadiahkan wang tunai dan emas kepada orang berkenaan.

"Saya umumkan jika kerajaan serah orang berkenaan kepada saya, saya akan tamatkan riwayatnya dengan tangan sendiri dan kemudian mereka boleh gantung saya."

Bantahan terhadap filem bajet rendah itu yang mempersenda Islam meletus di seluruh dunia Islam menyebabkan lebih 50 orang terbunuh sejak demonstrasi pertama pada 11 September.
Penerbitan majalah satira Perancis 'Charlie Hebdo', memburukkan lagi keadaan minggu ini dengan menyiarkan kartun menghina Nabi Muhammad.

Penerbit filem terbabit, Nakoula Basseley Nakoula, dilaporkan dari Los Angeles berusia 55 tahun dan sudah menghilangkan diri bersama keluarganya selepas disoall siasat polis.

Media Amerika melaporkan, Nakoula menulis dan mengeluarkan filem terbabit menggunakan nama Sam Bacile. Beribu-ribu aktivis Islam di Pakistan mengadakan tunjuk perasaan semula pada Sabtu tetapi tiada laporan berulangnya keganasan seperti hari sebelumnya.

Lebih 5,000 penunjuk perasaan termasuk beratus-ratus wanita berarak ke parlimen di Islamabad melaungkan 'Kami sayangkan Nabi' dan 'Hukum mereka yang menghina Nabi.'

Di Lahore, kira-kira 1,500 aktivis Jamaat-ud-Dawa dan Sunnah berhimpun di hadapan konsulat Amerika Syarikat di Lahore, melaungkan 'Amerika layak menerima satu penawar – jihad, jihad.' - AFP

Anak perempuan Rafsanjani dipenjara

Posted: 23 Sep 2012 05:18 PM PDT

Tehran: Anak perempuan bekas pemimpin Iran, Akhbar Hashemi Rafsanjani, ditahan dan dipenjarakan semalam sebagai memulakan pelaksanaan hukuman enam bulan atas kesalahan melakukan propaganda terhadap kerajaan, lapor media yang memetik kenyataan pendakwa raya.

Faezeh Hashemi ditahan petang kelmarin bagi menjalani hukuman itu, lapor agensi berita IRNA.

"Faezeh dihantar ke penjara Evin di Tehran," kata agensi berita FARS.
Faezeh adalah antara salah seorang yang ditangkap mengambil bahagian dalam bantahan yang tercetus selepas Mahmoud Ahmadinejad diberi mandat memerintah penggal kedua menerusi pilihan raya 2009, kata sumber.

Pembangkang menuduh berlaku penipuan dalam undian pilihan raya berkenaan.
Faezeh ketika itu turut berucap dalam perhimpunan menyokong calon yang kalah, Mirhossein Mousavi, meskipun ia diharamkan.

Lakukan propaganda
Sekalipun pihak berkuasa kemudian membebaskannya, mereka juga membicarakan beliau atas tuduhan melakukan propaganda antikerajaan.

Faezeh didapati bersalah tetapi hukuman tidak dilaksanakan sehinggalah semalam.
Beliau dibicarakan selepas diwawancara sebuah laman web pembangkang dan mengkritik pencabulan hak asasi manusia dan dasar ekonomi Iran.

Bapanya, Rafsanjani, 78, adalah seorang ulama berpengaruh yang berkhidmat sebagai pemimpin pada 1989 hingga 1997.

Beliau juga dilihat sebagai seorang yang berpendirian sederhana di kalangan ramai pemimpin konservatif dalam pemerintahan negara.

Jadi sasaran

Selain itu, seorang anak lelaki Rafsanjani, Mehdi turut menjadi sasaran pihak berkuasa perundangan Iran.

Beliau meninggalkan Iran lebih daripada tiga tahun lalu dan tinggal di London untuk meneruskan pelajaran.

Mehdi dijangka pulang ke tanah air semalam selepas menamatkan pelajarannya.
Pegawai sudah menyarankan supaya Mehdi ditahan sebaik tiba atas tuduhan turut menghasut kekacauan selepas pengundian 2009.

Sumber bebas memberitahu, Mehdi berada di Dubai dan dalam perjalanan pulang. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan