Isnin, 13 Ogos 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Bekas menteri Lubnan disiasat

Posted: 13 Aug 2012 12:29 PM PDT

Disyaki subahat dengan pegawai Syria rancang keganasan

Beirut: Hakim tentera semalam memulakan siasatan ke atas bekas Menteri Penerangan Lubnan, Michel Samaha, yang didakwa secara rasmi terbabit dalam rancangan keganasan bertujuan mengkucar-kacirkan Lubnan.

Beliau didakwa bersama-sama seorang lagi pegawai tentera berpangkat tinggi Syria.
Perdana Menteri Syria, Najib Mikati, kelmarin berkata hasil siasatan akan menentukan pendirian yang akan diambil dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara itu.

Tak masuk campur

"Kami mengamalkan dasar tidak mahu masuk campur dalam hal ehwal negara lain. Kami juga tidak membenarkan pihak lain masuk campur dalam hal ehwal negara ini atau menjadikan Lubnan sekali lagi sebagai arena menyelesaikan masalah atau mengimport krisis luaran ke dalamnya," kata Mikati dalam satu kenyataan
Dakwaan terhadap Samaha, sekutu dan rakan rapat Presiden Bashar al-Assad, dan ketua Biro Keselamatan Kebangsaan Syria, Mejar Jeneral Ali Mamlouk, dijangka 'mengeruhkan hubungan sedia tegang kedua-dua negara berikutan siri kejadian berdarah yang sempadan Lubnan dan Syria.
Samaha mengaku

Laporan Samaha mengaku pembabitannya dalam plot keganasan mencetuskan desakan oleh ahli politik Lubnan supaya negara itu memutuskan hubungan dengan rejim Assad.

"Hakim tentera, Riad Abu Ghida, memulakan siasatan semalam," kata Menteri Kehakiman, Shakib Qortbawi.

Bercakap dalam temu bual dengan Al-Jadeed TV malam kelmarin, Qortbawi berkata, beliau tidak mengetahui keputusan siasatan awal ke atas Samaha di sebalik kebocoran media.

Samaha, bekas ahli Parlimen dan dua kali menjadi Menteri Penerangan, didakwa kelmarin oleh Tribunal Tentera Lubnan dengan plot membunuh tokoh politik dan agama di negara itu dan merancang serangan pengganas.

Dalam tindakan yang tidak pernah terjadi sebelum ini, Mamlouk dan seorang Brigadier Jeneral Syria, dikenali sebagai Adnan, juga termasuk dalam pendakwaan.

Kumpulan bersenjata

Timbalan Pesuruhjaya di tribunal itu, Hakim Sami Sader, juga mendakwa ketiga-tiga mereka kerana mewujudkan kumpulan bersenjata bertujuan melakukan jenayah terhadap rakyat dan melemahkan pihak berkuasa negara.

Beliau menuduh ketiga-tiga lelaki berkenaan merancang melancarkan pertempuran mazhab menerusi persediaan melakukan serangan pengganas menggunakan bahan letupan yang dibawa Samaha ke Lubnan dan menyimpannya selepas memperoleh ia daripada Mamlouk dan Adnan. - Agensi

Ahmadinejad tiba di Arab Saudi

Posted: 13 Aug 2012 12:24 PM PDT

Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, tiba di Arab Saudi semalam menjelang persidangan luar biasa di Makkah yang dijangka memberi tumpuan kepada konflik di Syria, yang menyaksikan Tehran dan Riyadh mengambil pendekatan berbeza.

Ahmadinejad tiba di Madinah, di barat Arab Saudi, lapor agensi berita SPA.

Persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) diadakan hari ini dan esok di Makkah. "Dunia hari ini dalam keadaan amat sensitif. Kumpulan berbeza sedang bekerja dan musuh semakin aktif mencapai matlamat mereka dan banyak tenaga digunakan oleh kerajaan dan kumpulan Islam untuk berbalah dan bergaduh sesama sendiri," kata Ahmadinejad. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan