Isnin, 14 Mei 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


13 pengintip Israel kena hukum

Posted: 14 May 2012 02:41 PM PDT

Dunia

TEHRAN: Mahkamah Iran menghukum 13 rakyat negara itu selepas didapati bersalah terbabit dalam aktiviti pengintipan untuk agensi perisikan Israel, Mossad, lapor stesen satelit Press TV kelmarin.

Laporan menyatakan, Mahkamah Revolusi Tehran membuat keputusan itu kelmarin, menyatakan mereka yang disabitkan bersalah itu diumpan menjadi pengintip untuk Mossad menerusi rangkaian televisyen satelit, beribu pejabat di luar negara dan kempen iklan.

Bentuk hukuman bagaimanapun tidak dinyatakan. "Mereka mempunyai masa 20 hari untuk membuat rayuan," lapor agensi berita MEHR, sambil menambah maklumat keputusan akan diumumkan selepas pengesahan oleh mahkamah rayuan.

Kementerian berkata, tahanan ialah rakyat tempatan dan warga asing. Pada 17 April lalu, Kementerian Perisikan Iran mengumumkan penangkapan 15 pengintip dan pengganas yang dikaitkan dengan Israel.

Kementerian dalam satu kenyataan berkata, operasi yang dilancarkan pasukan perisik Iran, 15 orang, rakyat tempatan dan warga asing yang dikaitkan dengan unit pengintipan Israel, ditahan.

Iran menuduh Israel melakukan tugas perisikan di republik itu malah terbabit dalam pembunuhan saintis nuklear Iran. Pada ketika itu, kementerian berkata salah satu misi pengganas ialah mengenal pasti dan membunuh salah seorang pakar negara itu.
Kumpulan berkenaan merancang melancarkan tindakan ganas pada 10 Februari, sehari sebelum sambutan ulang tahun Revolusi Islam 1979.

Kementerian Perisikan Iran baru-baru ini mengumumkan berjaya mendedahkan pangkalan pengintipan Israel di negara jiran, yang dikendalikan Mossad untuk melancarkan operasi terhadap kepentingan Iran. – Agensi


Jepun aktif semula 2 reaktor nuklear

Posted: 14 May 2012 02:39 PM PDT

Dunia

TOKYO: Perhimpunan di bandar Ohi di Fukui, barat Jepun yang menempatkan sebuah loji nuklear milik Syarikat Tenaga Elektrik Kansai, semalam bersetuju mengaktifkan kembali dua reaktor.

Pengerusinya, Kinya Shintani, berkata ia persetujuan pertama sejak operasi semua stesen di negara itu dihentikan selepas krisis di Fukushima.

Dengan kekurangan kuasa elektrik memuncak di wilayah berkenaan terutama pada musim panas, kerajaan cuba mendapatkan sokongan daripada bandar dan negeri yang mempunyai reaktor. Semua 50 reaktor dihentikan sejak loji terakhir ditutup untuk penyelenggaraan pada 5 Mei lalu. Kerajaan dijangka menggesa perniagaan dan penduduk di kawasan barat Jepun mengurangkan penggunaan elektrik sehingga 15 peratus musim panas ini untuk menangani masalah kekurangan bekalan, lapor media.

Akhbar The Nikkei, bagaimanapun melaporkan kerajaan juga mempertimbangkan pemotongan kuasa mandatori dan memutuskan bekalan jika perlu.

Had mandatori itu dikenakan di beberapa wilayah tahun lalu selepas krisis Fukushima, terburuk sejak tragedi Chernobyl pada tahun 1986 dengan tiga reaktor berdepan masalah selepas loji itu dilanda gempa bumi besar dan tsunami.

Kerajaan Pusat bulan lalu berkata, reaktor nombor tiga dan empat di Fukui, 360 kilometer ke barat Tokyo, selamat untuk dihidupkan semula.
Penangguhan dalam penubuhan agensi pengawal selia baru nuklear disebabkan perbalahan dalam Parlimen cuma menakutkan pengundi.

Shintani berkata, ekonomi tempatan dan pekerjaan terjejas akibat pemberhentian operasi reaktor.

"Memahami keperluan kuasa nuklear dan mengambil kira pandangan penduduk selain impak kepada kehidupan dan ekonomi, kami memutuskan untuk menghidupkan semula reaktor," katanya dalam satu kenyataan.

Ohi menerima kira-kira 2.5 bilion yen (RM93 juta) subsidi pada tahun kewangan Mac 2010 berkaitan empat reaktor Syarikat Tenaga Elektrik Kansai. Banyak pekerjaan juga bergantung kepada loji itu.

Kerajaan Pusat tidak sukar mendapatkan sokongan tetapi berkemungkinan tidak terus dengan penyambungan semula operasi tanpa persetujuan bandar tuan rumah dan kerajaan negeri.

Bagaimanapun, masih tidak dapat dipastikan sama ada pihak berkuasa Tokyo akan mengatasi tentangan daripada negeri berhampiran dengan pendapat umum yang terbahagi.

Tinjauan hujung minggu oleh akhbar pro-nuklear, Yomiuri, menunjukkan 45 peratus responden menyokong usaha menghidupkan semula reaktor yang disifatkan selamat dan bilangan sama membantah. – Reuters


Tiada ulasan:

Catat Ulasan