Jumaat, 10 Februari 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Gadis serigala risau jadi andartu

Posted: 09 Feb 2012 09:28 AM PST

MUMBAI: Tiga wanita adik-beradik bimbang 'Sindrom Serigala Jadian' yang dialami bakal menyebabkan mereka sukar mencari suami.

Berdepan masalah penumbuhan bulu tidak terkawal, Savita, 23; Monisha, 18; dan Savitri, 16, mungkin menjadi anak dara tua gara-gara Hypertrichosis Universalis.


Mengikut nisbah, penyakit itu hanya dialami seorang daripada satu bilion penduduk dunia.

Menurut Savita, dalam keadaan begitu, perkahwinan adalah mustahil untuk mereka.


"Siapa yang mahu menjadi suami kepada seseorang yang mukanya dipenuhi bulu?" katanya.


Di kawasan perkampungan kecil di Sangli, wanita bujang tidak mempunyai banyak pilihan.

Hidup dalam serba miskin, keluarga terbabit ternyata tidak mampu menyediakan wang berjumlah RM21,500 untuk setiap seorang daripada mereka bagi menjalani rawatan laser membuang bulu berkenaan.


Ketika ini, adik-beradik malang itu hanya menggunakan krim membuang bulu untuk mengurangkan sedikit masalah berkenaan.

Bagaimanapun, kata Savita, ia hanya bertahan seketika apabila bulu di muka mereka kembali tumbuh dengan cepat.


"Dulu ketika bersekolah, pelajar di sana selalu mengejek saya dengan pelbagai gelaran dan enggan berkawan dengan kami," katanya.


Ibu mereka, Anita Sambhaji Raut, 40, berkata dia mempunyai enam anak, tetapi hanya tiga mengalami sindrom berkenaan.


Kata Anita, penyakit itu menurun daripada suaminya yang dikahwini secara paksa ketika dia baru berusia 12 tahun.


"Saya hanya menyedari suami saya itu mempunyai muka dan badan berbulu pada hari kami dikahwinkan.


"Keadaan itu sangat menakutkan saya," katanya.


Akibat penyakit itu, kata Anita, dia sentiasa berdepan dengan cercaan masyarakat setempat.


"Apabila saya membawa Savita keluar, orang kampung akan memanggil kami binatang atau ahli sihir," katanya.


Sementara itu, Monisha berkata, dia tetap berharap ada lelaki sudi menjadikannya sebagai isteri.


"Jika ada yang sesuai, saya akan terima, tetapi jika tidak, saya terpaksa terus berusaha menyambung hidup," katanya. - TS



Anjing baham muka pengacara televisyen

Posted: 09 Feb 2012 09:16 AM PST

DENVER: Seorang pengacara utama sebuah stesen televisyen dikejarkan ke hospital selepas mukanya dibaham seekor anjing yang baru diselamatkan ketika program itu disiarkan secara langsung.

Media semalam melaporkan, haiwan seberat 39 kilogram itu, Max, membaham muka Kyle Dyer ketika pengacara itu membongkokkan badannya untuk menepuk anjing Argentine Mastiff berkenaan.


Program bual bicara pagi itu disiarkan stesen KUSA-TV. Pada Isnin lalu, kru stesen berkenaan merakamkan sejumlah anggota bomba menyelamatkan Max yang terkapai-kapai di tasik dalam cuaca sejuk selepas tergelincir.

Ekoran insiden semalam, Max diletakkan dalam sangkar dan diawasi pegawai kawalan haiwan, manakala pemiliknya, Michael Robinson, didenda.


KUSA-TV berkata, Kyle kini stabil dan semakin pulih di sebuah hospital di Denver.


"Pasukan trauma sedang menilai kesan kecederaan di mula Kyle," kata jurucakap stesen televisyen berkenaan.

Sementara itu, Robinson berkata, dia bersiar-siar dengan Max pada Isnin apabila anjing itu ternampak seekor serigala dan mengejarnya.


Menurut pihak berkuasa, Max terperangkap dalam tasik itu selama 20 minit sebelum anggota bomba tiba dan menariknya keluar.

Ekoran insiden itu, KUSA-TV menjemput Robinson, Max serta anggota bomba yang menyelamatkan anjing berkenaan untuk ditemubual KUSA-TV berkata, insiden serangan Max itu dipotong daripada siaran, tetapi sebahagian daripada klip berkenaan kemudian didedahkan untuk tatapan umum.


Sementara itu, Pengarah Kawalan Haiwan Denver, Doug Kelley, berkata kecederaan dialami Kyle agak serius. - DM



Tiada ulasan:

Catat Ulasan