Sabtu, 19 Februari 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


8 negara Arab bergolak

Posted: 19 Feb 2011 02:32 PM PST

Dunia

KOMBINASI gambar menunjukkan protes anti-Gaddafi di Tripoli.

KOMBINASI gambar menunjukkan protes anti-Gaddafi di Tripoli.

Libya paling serius selepas 84 terbunuh protes tiga hari

KAHERAH: Sekurang-kurangnya lapan negara Asia Barat berhadapan dengan bantahan anti kerajaan dalam apa yang disifatkan sebagai gelombang baru di rantau Arab mendesak sistem demokrasi.

Kira-kira seminggu selepas penyingkiran Presiden Mesir, Hosni Mubarak yang diraikan beribu-ribu penduduk Kaherah di Dataran Tahrir, Libya pula menyaksikan sekurang-kurangnya 84 orang terbunuh sejak bantahan bermula tiga hari lalu di negara timur Afrika Utara yang diperintah Muammar Gaddafi selama empat dekad itu.

Angka kematian berkenaan adalah seperti didakwa badan pemantau hak asasi Human Right's Watch. Anggota keselamatan khas Libya semalam dilaporkan melakukan serbuan di Benghazi bandaraya kedua terbesar di negara itu yang menjadi tempat tumpuan penunjuk perasaan awal semalam dalam usaha meleraikan demonstrasi mendesak pengunduran pemimpin Libya, Muammar Gaddafi memerintah sejak 42 tahun lalu.

Perkhidmatan internet juga dilaporkan diputuskan kira-kira jam 2 pagi sebagai usaha menghalang penyampaian maklumat di kalangan penduduk negara itu mengenai gelombang anti kerajaan yang turut melanda negara berkenaan.

Kira-kira jam 5 pagi, pasukan keselamatan khas menyerang beratus-ratus penunjuk perasaan termasuk peguam dan hakim yang berkumpul di hadapan bangunan mahkamah di bandar raya timur Benghazi yang menjadi tumpuan bantahan.

"Mereka menyembur gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan dalam khemah dan membersihkan kawasan selepas ramai yang melarikan diri menyebabkan ada yang maut dan cedera," kata seorang penunjuk perasaan melalui telefon.
"Ini adalah bandar hantu, kami semua bimbang sesuatu besar akan berlaku di Benghazi hari ini."

Kira-kira 20 keranda dibawa ke sebuah dataran di luar mahkamah di Benghazi petangnya sebagai sebahagian pengebumian beramai-ramai mangsa yang terbunuh dan dihadiri beribu-ribu orang.

Gaddafi dipercayai menghadapi pemberontakan popular terhebat sejak memerintah 42 tahun lalu. Negara itu mempunyai simpanan minyak yang besar, tetapi turut menghadapi masalah kemiskinan.

Diplomat Amerika Syarikat mendakwa, rejim Gaddafi sengaja tidak membangunkan kawasan timur menyebabkan ramai penduduknya menganggur dan miskin bertujuan melemahkan pembangkang di sana.

Sementara itu, di MANAMA, Bahrain, blok pembangkang Syiah utama menolak gesaan istana untuk berdialog bagi menamatkan rusuhan yang sudah meragut enam nyawa berikutan bantahan anti kerajaan di negara berkenaan.

"Tiada siapa yang bersedia untuk duduk berbincang dengan kerajaan jika tentera membunuh rakyat," kata Ibrahim Mattar, ahli blok Wefaq yang menarik diri dari parlimen Khamis lalu.

"Kami tidak merasakan keinginan serius untuk berdialog kerana tentera masih di jalanan dan penduduk tidak dibenarkan untuk menunjuk perasaan."

Raja Hamad bin Isa al-Khalifa kelmarin menawarkan satu dialog membabitkan semua pihak untuk menamatkan krisis yang meragut enam penduduk dan menyebabkan beratus-ratus yang lain cedera sejak bermulanya bantahan di Dataran Pearl, Isnin lalu.

Di SANAA, Yaman, bantahan anti kerajaan menyaksikan pertempuran antara penduduk dan polis pencegahan rusuhan yang melepaskan gas pemedih mata dan tembakan yang menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan 48 yang lain cedera.

Bantahan selama sembilan hari berkenaan adalah tercetus daripada apa yang berlaku di Mesir dan Tunisia, mendesak pengunduran Presiden Ali Abdullah Saleh yang menjadi sekutu utama Amerika Syarikat dalam menentang al-Qaida. Beliau menjadi presiden negara itu selama 32 tahun.

Di DJIBOUTI, Kementerian Dalam Negerinya menuduh penunjuk perasaan anti kerajaan melakukan keganasan dan vandalisme sehari selepas bantahan anti rejim meletus, menyaksikan pertempuran dengan polis.

Beribu-ribu pemuda di negara itu berarak di jalanan sejak Jumaat menuntut Presiden Ismael Omar Guelleh yang memerintah sejak 1999 meletak jawatan.

Kementerian terbabit juga menuduh penunjuk perasaan membakar kenderaan dan merosakkan beberapa balai polis.

Di ibu negara Algeria, ALGIERS, penunjuk perasaan pro demokrasi berikrar untuk mengadakan perhimpunan baru walaupun beribu-ribu anggota polis ditempatkan untuk menghalang laluan mereka sejak seminggu lalu.

Seorang bekas pemimpin kanan regim Algeria, Abdelhamid Mehri menggesa perubahan politik di negara Afrika Utara itu dalam satu surat terbuka beliau kepada Presiden Abdelaziz Bouteflika yang memerintah sejak 1999.

Di AMMAN, Jordan, pertempuran membabitkan 200 penyokong kerajaan dan 2,000 penunjuk perasaan menyebabkan sekurang-kurangnya lapan cedera sejak bantahan mingguan dua bulan lalu apabila pembantah mendakwa mereka diserang dengan belantan, batu dan paip.

Selain mahukan pemerintahan berperlembagaan penunjuk perasaan juga membantah kenaikan harga barangan dan kadar pengangguran yang tinggi.

Di OMAN, sekurang-kurangnya 300 orang menuntut perubahan politik dan kenaikan gaji dalam bantahan aman sejak kelmarin.

Penduduk lelaki dan wanita berhimpun di Ruwi daerah komersial di ibu negara selepas solat Jumaat dan melaungkan "kami mahukan demokrasi" manakala yang lain melaungkan "gaji dan kerja lebih".

Di KUWAIT, seramai 30 orang cedera dalam pertempuran antara pasukan keselamatan dan penduduk Arab yang menuntut kewarganegaraan dalam bantahan di Jahra, barat laut Kuwait City.

Seramai 50 orang ditahan selepas demonstrasi, kata sumber pasukan keselamatan manakala tunjuk perasaan hampir sama di Salibiya menarik sekurang-kurangnya 80 penunjuk perasaan. – AFP/AP/Reuters


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Ahli politik Iraq benci ‘Curveball’

Posted: 19 Feb 2011 02:30 PM PST

Dunia

BAGHDAD: Ahli politik Iraq mahu pembelot diberi nama 'Curveball', ditarik kerakyatan selama-lamannya selepas mengaku kepada akhbar Britain, The Guardian, dia menipu Iraq memiliki senjata pemusnah besar (WMD) menyebabkan Amerika Syarikat menyerang dan menggulingkan Presiden Saddam Hussein.

Rafid Ahmed Alwan al-Janabi berkata, dia sengaja mengada-adakan cerita mengenai program senjata biologi tidak wujud Presiden Saddam Hussein untuk 'membebaskan' Iraq.

"Dia penipu, tidak layak berkhidmat untuk negaranya," kata seorang ahli politik Iraq sebagai maklum balas terhadap niat 'Curveball' yang mahu membina kerjaya politik di tanah airnya. Di negara buangannya di Jerman, ahli politik menuntut untuk mengetahui mengapa perkhidmatan rahsia Jerman, Bundesnachrichtendienst (BND), membayar Curveball £2,500 (RM12,329.41) sebulan sekurang-kurangnya lima tahun selepas mereka tahu dia menipu.

Di Amerika, persoalan ditanya mengenai cara CIA menguruskan 'Curveball', 43, dan secara khusus mengapa ketua agensi perisikan ketika itu, George Tenet, tidak menghantar amaran dari Jerman mengenai sama ada 'Curveball' boleh dipercayai atau tidak.

Namun kritikan paling tajam mengenai 'Curveball' datangnya dari Iraq.

Jamal Al Battikh, menteri hal ehwal puak negara itu berkata. "Secara jujur, lelaki itu menyebabkan Iraq terjerumus ke dalam malapetaka dan satu bencana.
"Rakyat Iraq membayar harga yang tinggi untuk penipuannya, pencerobohan pada 2003 memusnahkan infrastruktur asas Iraq dan selepas lapan tahun kami belum dapat membaiki bekalan elektrik ditambah ribuan rakyat Iraq yang maut.

"Lelaki itu tidak wajar dibenarkan pulang. Rakyat Iraq sepatutnya menyamannya kerana berbohong," katanya.

Yang lain mengeji ranca ngan 'Curveball' pulang ke Iraq dan menyertai politik.

Intefadh Qanber, jurucakap Kongres Nasional Iraq (INC) diketuai Ahmed Chalabi berkata: "Dia adalah seorang penipu dan tidak layak berkhidmat untuk negara. Dia mengada-adakan cerita mengenai WMD dan cerita itu memberi Amerika alasan mengetuai pencerobohan pada 2003, yang memusnahkan Iraq.

"Bagi kebanyakan rakyat Iraq, jelas bahawa Saddam adalah seorang diktator, namun mereka mahu melihatnya disingkir atas jenayah yang dilakukannya ke atas hak asasi manusia, bukan mengada-adakan cerita mengenai senjata pemusnah."

Di Amerika, sebuah kumpulan tekanan yang mewakili veteran perang Iraq menggesa jabatan kehakiman membuka satu siasatan terhadap hubungan INC dan Curveball.

Chalabi, yang amat rapat dengan bekas Naib Presiden Amerika, Dick Cheney, pada dekad sehingga pencerobohan 2003, sering dituduh menjadi dalang di balik pembabitan 'Curveball'.

Diketahui sekian lama bahawa Chalabi menyediakan CIA dengan tiga sumber yang menipu mengenai keupayaan WMD Saddam. Namun apabila ditanya The Guardian, Rafid dan Chalabi menafikan mengenali antara satu sama lain. – Agensi


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan