Khamis, 18 Julai 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Palestin, Israel kaji sambung rundingan

Posted: 18 Jul 2013 01:54 PM PDT

Abbas bincang dengan pemimpin negara selepas proses terhenti tiga tahun

Ramallah: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, akan berbincang dengan pemimpin Palestin mengenai kemungkinan untuk menyambung semula rundingan dengan Israel selepas hampir tiga tahun ia terhenti, kata pihak berkuasa.

Mereka tidak memberikan perincian mengenai sekiranya ada kejayaan yang bakal diumumkan Abbas selepas mesyuarat di Jordan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry.
Akan ada perbincangan mengenai idea ini dan setiap orang bakal memberi pandangan mereka" Wasel Abu Yousef, Anggota tertinggi PLO

Kerry kelmarin berkata, jurang antara kedua pihak sangat ketara kecil. Cadangan beliau untuk meneruskan rundingan mendapat sokongan jawatankuasa Liga Arab, yang mengatakan mereka menyediakan asas dan persekitaran yang bersesuaian untuk memulakan rundingan.

Abbas akan berbincang dengan anggota kanan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan partinya Fatah pada 3 petang di Ramallah, bandaraya yang diduduki Israel di Tebing Barat dan tempat bagi pentadbiran pemerintahan sendiri beliau yang disokong Amerika Syarikat.

Sokongan Liga Arab

Abbas yang strategi damainya sering kali mendapat tentangan pesaing Islamis Palestin yang memerintah Semenanjung Gaza sebelum ini cuba mendapatkan sokongan Liga Arab untuk membabitkan negara Yahudi itu.
Tidak dapat dipastikan sama ada pengesahan itu akan memberikan perlindungan politik secukupnya untuk beliau meneruskan rundingan damai.

"Kami menjangka untuk mendengar daripada presiden idea dibentangkan Kerry.

"Akan ada perbincangan mengenai idea ini dan setiap orang bakal memberi pandangan mereka mengenainya. Rumusannya akan dibuat oleh satu persetujuan umum," kata anggota tertinggi PLO, Wasel Abu Yousef, kepada Reuters.

Rundingan yang berlaku selama dua dekad kali terakhir terjejas pada akhir 2010 membabitkan penempatan Israel di Tebing Barat dan beberapa perkara lain.

Sejak itu, Abbas menegaskan bahawa Israel memperbaharui dan menambahkan pembinaan penempatan bagi rundingan baru diadakan.

Penduduk Palestin yang biasa dengan pemikiran Abbas membuat spekulasi beliau tidak akan meneruskan permintaan bagi menghentikan pembinaan perumahan yang dikeluarkan kerajaan Israel walaupun ia sukar untuk meneruskan permintaan sebelum ini.

Sekiranya Abbas berjaya dalam isu ini, ia mungkin dalam pertukaran bagi isyarat muhibah dari Israel seperti pengampunan pejuang veteran PLO yang sekian lama ditahan di penjara.

Israel tidak memberi sebarang tanda pembebasan banduan terbabit tetapi penyiar utama Israel Army Radio berkata, beberapa sekatan jalan raya Tebing Barat akan dihapuskan untuk memudahkan perjalanan Palestin. - REUTERS

Pelajar enggan terima sajian percuma risau tercemar racun

Posted: 18 Jul 2013 01:47 PM PDT

Patna: Beribu-ribu pelajar sekolah enggan menerima hidangan percuma di wilayah timur India yang miskin, berikutan bimbang ia beracun selepas 22 kanak-kanak maut selepas menikmati hidangan tengah hari yang tercemar dengan racun serangga, kata pegawai semalam.

Kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun mati selepas makan kekacang, sayuran dan nasi dimasak di sebuah sekolah kampung di Bihar Selasa lalu, mencetuskan bantahan dan siasatan terhadap punca kejadian.

Kira-kira 30 kanak-kanak lain masih di hospital di ibu kota Patna dan bandar raya Chhapra selepas memakan makanan terbabit yang ujian awalnya menunjukkan mungkin dicemari racun serangga.

"Ibu bapa memberi amaran kepada anak supaya tak makan makanan dihidangkan di sekolah," kata Lakshmanan.

Buang makanan

"Sebilangan pelajar membuang hidangan tengah hari dalam tong sampah di sekolah dan kami cuba yakinkan semua orang bahawa tragedi itu tidak berulang," kata pengarah skim hidangan tengah hari di Bihar, Lakshmanan.

Kerajaan India mengendalikan program pemakanan sekolah terbesar di dunia membabitkan 120 juta kanak-kanak. Guru melihat ia sebagai satu cara menggalakkan kehadiran pelajar ke sekolah di sebuah negara di mana hampir separuh daripada kanak-kanaknya kekurangan khasiat.
Bihar, negeri paling ramai penduduk dan paling miskin di India.

Polis menyerbu rumah guru besar sekolah terbabit, Meena Kumari yang melarikan diri selepas kanak-kanak terbabit meninggal dunia, kata seorang pegawai kanan yang enggan dikenali.

"Kami temui dua bekas racun serangga di rumah guru besar terbabit bersama sayur-sayuran dan beras untuk hidangan tengah hari," kata pegawai yang menyiasat kematian terbabit. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan