Khamis, 5 Julai 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Ikan duyung hanya dongeng

Posted: 04 Jul 2012 12:50 PM PDT

LOS ANGELES: Persoalan sama ada ikan duyung wujud atau tidak ditamatkan baru-baru ini apabila sebuah agensi saintifik Amerika Syarikat mengesahkan makhluk laut itu tidak wujud.

Pentadbiran Lautan dan Atmosferik Kebangsaan Amerika mengesahkan tidak ada bukti menunjukkan makhluk separuh manusia separuh ikan itu wujud.


Agensi berkenaan mengeluarkan kenyataan minggu lalu untuk menjelaskan bahawa spesies laut itu tidak wujud selepas menerima beberapa panggilan berikutan tayangan oleh saluran Animal Planet berjudul: Mermaid: The Body Found yang mengelirukan beberapa penonton. Selepas siaran rancangan fiksyen itu, yang direka untuk mempunyai format sama dengan sebuah dokumentari, beberapa penonton menelefon agensi berkenaan untuk mengetahui lebih banyak mengenai makhluk itu.

Agensi itu mengeluarkan kenyataan menerusi bahagian Fakta Lautan, mengakhiri teori kewujudan ikan duyung.


Kenyataan itu berbunyi: "Adakah ikan duyung wujud? Tidak ada bukti menunjukkan ia pernah ditemui." Kenyataan itu seterusnya menerangkan bagaimana makhluk feminin itu ditemui pertama kali pada lukisan di gua kira-kira 30,000 tahun lalu.


Agensi terbabit menggabungkan kenyataan itu menerusi maklumat yang sudah sedia diperoleh untuk orang awam kerana ia tidak mempunyai program yang khusus untuk mengkaji ikan duyung, kata jurucakapnya, Carol Kavanagh kepada Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Pusat Kawalan dan Pencegahan Wabak mengeluarkan kenyataan bulan lalu bahawa zombi tidak wujud.


Pusat berkenaan membuat kenyataan itu berikutan tersebar khabar angin kononnya seorang lelaki, Rudy Eugene, 31, ditembak mati oleh polis ketika mukanya berubah seperti zombi. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/05


Jerman digesa lindungi amalan khatan anak lelaki

Posted: 04 Jul 2012 12:44 PM PDT

COLOGNE: Pemimpin masyarakat Islam Jerman semalam menggesa anggota Parlimen negara itu meluluskan undang-undang yang melindungi hak untuk mengkhatankan kanak-kanak lelaki Muslim.

Gesaan itu dibuat selepas sebuah mahkamah memutuskan mengharam amalan itu apabila dilakukan atas alasan agama.


Kira-kira 20 pertubuhan mewakili kebanyakan empat juta penganut Islam Jerman berkata, Parlimen perlu memastikan kebebasan beragama dengan menghapuskan ketidaktentuan undang-undang berhubung amalan berkhatan sejak mahkamah di Cologne mengumumkan keputusannya 26 Jun lalu.

"Kami menggesa Parlimen Jerman dan kerajaan bertindak secepat mungkin untuk mengakhiri ketidaktentuan undang-undang dan mewujudkan perundangan yang membolehkan kanak-kanak lelaki Islam dikhatankan," kata Gurcan Mert, pemimpin Kesatuan Islam Keturunan Turki yang bercakap bagi pihak kumpulan lain.


Dalam keputusan yang turut mencetuskan kemarahan di kalangan kumpulan masyarakat Yahudi di negara itu dan berkemungkinan menjadi contoh dalam kes perundangan lain, mahkamah di bandar barat Jerman ini menolak tindakan seorang doktor yang mengkhatankan seorang budak Islam berusia empat tahun atas kehendak ibu bapanya.


Hakim mendapati hak asasi kanak-kanak itu mengatasi hak ibu bapanya.

"Kebebasan beragama ibu bapa itu dan hak mereka untuk mendidik anak mereka tidak boleh diterima sehingga kanak-kanak itu boleh memutuskan sendiri sama ada untuk berkhatan atau tidak," kata mahkamah.


Bagaimanapun, ia berkata, berkhatan tidak diharamkan sekiranya dilakukan atas alasan perubatan.

"Keputusan itu memberi tamparan hebat kepada integrasi," kata Ali Kizilkaya, jurucakap Majlis Penyelarasan Muslim di Jerman pada sidang akhbar sama.


"Jerman adalah negara yang berdasarkan pemerintahan mengikut undang-undang, khususnya kebebasan beragama, adalah amat penting. Bagi saya, pengharaman terhadap berkhatan tidak bagus untuk negara ini dan imej Jerman," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/05


Tiada ulasan:

Catat Ulasan