Khamis, 21 Februari 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Tanah perkuburan untuk ketua mafia

Posted:

Moscow: Walaupun selepas mati, kumpulan penjenayah Russia tetap mahu mempamerkan diri mereka dengan menonjol dan memilih tanah perkuburan untuk melakukannya.

Di kawasan Tanah Perkuburan Shirokorechenskoye di bandar Yekaterinburg, waris si mati memilih batu marmar besar dan mahal untuk memberitahu siapa yang ditanam di situ.


Yekaterinburg dikenali sebagai bandar raya utama jenayah di Russia.

Menurut media, sesetengah batu peringatan di situ dibina setinggi dua meter dan berharga sehingga RM100,000.


Setiap satu batu itu mempamerkan gambar si mati segak bergaya dengan pakaian mahal, atau sesetengahnya menggenggam penumbuk. Batu itu mengingatkan orang ramai kepada pelbagai aktiviti jenayah di Yekaterinburg dan ia pernah menjadi pangkalan kumpulan samseng Uralmash yang diuruskan dengan teratur. Pada era 1990-an, berlaku perang besar-besaran antara anggota kumpulan penjenayah itu, menyebabkan pelbagai kejadian ganas termasuk serangan bom dan mesingan.


Bloger Russia, Vladimir Markov, berkata apa yang ada di Yekaterinburg menunjukkan betapa uniknya Russia. "Kubur ini adalah simbol sisi gelap Russia moden yang dipenuhi amalan rasuah dan keganasan," katanya. Melihat kepada gambar pada batu itu, katanya, ia jelas menunjukkan betapa besar ego penjenayah terbabit.

Foto

TANAH perkuburan Shirokorechenskoye menjadi tempat bersemadinya ramai penjenayah Russia.

"Walaupun mati, mereka mahu diberi penghormatan sama seperti ketika hidup," katanya. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/21

Salah buang buah zakar

Posted:

London: Seorang lelaki menyaman hospital yang menyebabkan dia tidak lagi mampu mempunyai zuriat selepas pakar perubatan di situ tersalah membuang buah zakarnya.

Pengarah syarikat berusia 48 tahun itu berkata, dia mendapatkan rawatan di Hospital Daerah Salisbury selepas disyaki mengalami kanser Katanya, dia menjalani pembedahan dengan harapan buah zakar yang bermasalah itu dapat dibuang.


"Bagaimanapun, 40 minit selepas pembedahan dijalankan, doktor menyedari mereka melakukan kesilapan kerana memotong buah zakar yang sihat," katanya. Menurut sumber, buah zakar itu dibawa semula ke dewan pembedahan dan doktor cuba menyelamatkan keadaan tetapi gagal.

Lelaki terbabit yang berasal dari Wiltshire menuntut hospital membayar pampasan kepadanya atas kecuaian doktor mereka. Walaupun mempunyai anak daripada hubungan terdahulu, kesilapan itu menghalang lelaki terbabit mendapat zuriat.


Kata lelaki yang dirahsiakan identitinya itu, dia tertekan kerana tidak lagi mampu menjadi bapa. "Isu ini dikendalikan peguam saya," katanya. Sementara itu, satu badan pemantau pesakit menggesa kerajaan menjalankan siasatan menyeluruh atas insiden berkenaan. Jurucakap Rangkaian Pembabitan Wiltshire berkata, kejadian menimpa lelaki terbabit sangat tragik. "Adalah jelas siasatan perlu dijalankan oleh hospital bagi mengetahui bagaimana kesilapan ini berlaku.


"Dengan pembedahan ini, seseorang lelaki meletakkan sepenuh keyakinan mereka kepada hospital," katanya. Badan yang mengendalikan hospital itu berkata, kejadian berkenaan sangat dikesali dan mereka meminta maaf kepada lelaki terbabit. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/21

Tiada ulasan:

Catat Ulasan