Ahad, 30 September 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Skandal gambar Kate berterusan

Posted: 29 Sep 2012 09:11 AM PDT

LONDON: Hanya dua minggu lalu, dunia dikejutkan dengan penyebaran gambar separuh bogel isteri Putera William, Kate Middleton oleh majalah Perancis.

Semalam, majalah gosip Denmark, Se og Hr menyiarkan lebih banyak gambar yang memalukan bakal Permaisuri Britain berkenaan yang dirakam oleh paparazi ketika pasangan terbabit bercuti di Provence, Perancis.

Tetapi kali ini, ia lebih teruk, gambar yang disiarkan termasuk menunjukkan Kate tanpa seluar dalam.

Gambar itu disiarkan majalah terbabit selepas ia mengiklankan janji untuk menunjukkan isteri William berbogel sepenuhnya minggu lalu.


Pengarang Se og Hr, Kim Henningsen memberitahu Belfast Telegraph sebelum ini: "Ia gambar unik seorang selebriti Kelas-A. Kami adalah majalah gossip paling unggul di Denmark dan sudah menjadi tugas saya untuk menyiarkannya.


"Jika keluarga diraja Britain ingin menyaman, kami terima dan kami akan menanganinya."

Majalah Perancis, Closer yang mula menyiarkan gambar separuh bogel Kate sudah menerima arahan mahkamah supaya tidak menyiarkannya lagi.

Malah, tiga hakim Perancis mengarahkan majalah itu menyerahkan setiap salinan digital gambar itu serta diarah membayar kos perundangan.

Bagaimanapun, ramai yang menyifatkan keputusan itu sebagai kemenangan tidak bermakna untuk William dan Kate kerana ketika itu, lebih 500,000 naskhah majalah itu sudahpun terjual.

Tambahan pula, keputusan itu hanya membabitkan Closer.

Dalam pada itu, majalah gosip Amerika Syarikat, Gawker, semalam turut menyiarkan gambar seperti yang terkandung dalam Se og Hr. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/30


Buah berisi dadah

Posted: 29 Sep 2012 09:09 AM PDT

LONDON: Penyeludup menyumbatkan kokain seberat 7.5 kilogram bernilai RM3.8 juta ke dalam buah yang sudah dikorek isi dalam usaha menyeludupnya ke Britain dengan pesawat.

Pegawai kastam di Lapangan Terbang Heathrow menemui dadah itu tersembunyi di antara bungkusan buah dan sayur selepas memeriksa barangan yang tiba dengan pesawat dari Ghana, minggu lalu.


Kokain itu disembunyikan dalam buah berbentuk pusang (gambar). Isi buah itu dikorek keluar dan disumbat dengan dadah berkenaan sebelum ia dilekatkan semula dan dimasukkan ke dalam kotak bersama-sama buah lain.

Pegawai percaya kumpulan sama bertanggungjawab menyeludup 1.5 tan ganja yang disembunyikan dalam penghantaran buah dan sayur, juga dari Ghana, yang ditemui di lapangan terbang sama, sehari sebelumnya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/30


Tiada ulasan:

Catat Ulasan