Jumaat, 24 Ogos 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Twitter fitnah Muslim

Posted: 23 Aug 2012 04:39 PM PDT

India arah web sosial sekat khabar angin orang Islam mahu mengganas

Kerajaan India menyekat akses lebih 300 laman web selain mengarahkan penyedia perkhidmatan internet termasuk Twitter menutup 20 akaun yang menyebarkan berita palsu hingga mencetuskan ketakutan di kalangan penduduk rantau selatan bahawa mereka akan diserang orang Islam.

Laman web yang disekat itu dikenakan tindakan kerana memaparkan mesej telefon bimbit dan gambar mendakwa penduduk Islam merancang untuk membalas dendam di negeri Assam selepas 80 orang maut dan 300,000 lagi kehilangan tempat tinggal sejak Julai lalu.


Beri kerjasama
Beribu-ribu penduduk keluar dari Mumbai, Bangalore dan beberapa negeri lain atas sebab itu sejak minggu lalu. Kerajaan berkata, Google dan Facebook memberi kerjasama selepas mendapat arahan itu tetapi Twitter lebih perlahan.

Twitter yang tidak ada pejabat di India tidak memberi sebarang kenyataan balas dengan segera. Ada kira-kira 16 juta pengguna Twitter di negara itu.

Pihak berkuasa juga menyasarkan wartawan India, akhbar Britain, Daily Telegraph, Perbadanan Penyiaran Australia dan stesen Al Jazeera yang diminta berhenti menerima pandangan orang luar menggunakan jawapan untuk membalas pertanyaan di internet.

Menteri Penerangan India, Kapil Sibal pula menyuarakan kekecewaan kerana laman web sosial di Amerika itu tidak memberi maklum balas.
"Apabila kami minta mereka bertanya identiti orang yang menghantar pandangan, mereka kata kami tidak ada bidang kuasa kerana pelayan kami berada di luar Amerika dan mereka tidak bertanggungjawab untuk mendapat tahu identiti orang berkenaan.

"Jadi, ini bermakna laman web itu membenarkan sesiapa saja bertindak sesuka hati," katanya kepada wartawan. Ancaman terhadap imigran itu berpunca daripada pertempuran di negeri Assam.

Ikut undang-undang

"Setiap syarikat sama ada hiburan, pembinaan atau media sosial perlu bergerak mengikut undang-undang negara. Jika mereka tidak buang laman web itu, kerajaan India akan mengambil tindakan sewajarnya," kata Menteri Negara di Kementerian Komunikasi, Sachin Pilot.

Twitter diarah membuang 28 laman mengandungi bahan yang boleh dipertikaikan, kata seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri.

"Jika mereka tidak buang laman berkenaan, kerajaan India akan ambil langkah sesuai," katanya lagi.

Kerajaan juga mengarahkan penyedia khidmat internet menyekat akaun Twitter wartawan Kanchan Gupta dan pengacara televisyen, Shiv Aroor. - Agensi

36 wartawan maut di Syria

Posted: 23 Aug 2012 04:33 PM PDT

Damsyik: Seramai 36 wartawan, lima daripadanya warga asing, sudah menjadi korban perang di Syria setakat ini dengan dua lagi hilang sejak Selasa lalu, lapor agensi Wartawan Tanpa Sempadan.

Tembakan di leher

Wartawan asing terbaru yang menjadi korban ialah pemberita Japan Press, Mika Yamamoto yang kena tembakan di leher ketika membuat liputan pertempuran antara askar kerajaan dan pemberontak di daerah Suleiman al-Halabi, Aleppo.
Empat wartawan asing yang maut sebelum ini ialah Gilles Jacquier dari Perancis, pemberita stesen televisyen France 2, salah seorang mangsa bedilan ketika melawat bandar Homs pada 11 Januari lalu.

Selepas Jacquier, wartawan New York Times, Anthony Shadid, warga Amerika Syarikat keturunan Lubnan pula maut kerana masalah asma ketika melaporkan perkembangan konflik di timur Syria pada 16 Februari lalu.

Ini diikuti Marie Colvin, warga Amerika yang bertugas untuk akhbar Britain, Sunday Times dan jurugambar Perancis, Remi Ochlik, juga mangsa bedilan di Homs, 22 Februari lalu.

Pada 9 April lalu, jurukamera Lubnan bagi stesen televisyen Al-Jadeed, Ali Shaaban pula terbunuh kerana terkena tembakan ketika berada di sempadan di antara Syria dan Wadi Khaled di utara Lubnan.
Sehari selepas kematian Yamamoto, stesen Middle East Broadcasting Networks yang menyiarkan program Al-Hurra TV, mengesahkan dua petugasnya hilang iaitu jurukamera Cuneyt Unal dari Turki dan wartawan Palestin, Bashar Fahmi.

"Kira-kira 30 wartawan Syria turut terbunuh sejak permulaan perang," kata pertubuhan Wartawan Tanpa Sempadan.

Tempat bahaya

Sehubungan itu, Pengarah Eksekutif Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ), Joel Simon menyifatkan Syria kini tempat paling bahaya bagi wartawan tempatan dan antarabangsa.

Wartawan ke-36 terbunuh ialah Mohammad Saeed al Odeh yang bertugas untuk sebuah akhbar rasmi ketika membuat liputan di utara Damsyik.

Angka korban CPJ pada tahun ini saja ialah 19 termasuk kematian Yamamoto dengan tiga daripadanya tidak dapat disahkan berpunca daripada tugas.

CPJ hanya menyenaraikan kematian wartawan yang terbunuh selepas yakin mangsa maut ketika sedang bertugas sama ada disebabkan terperangkap dalam tembak menembak atau membuat liputan di tempat terbuka.

Data pertubuhan itu tidak menyenaraikan wartawan yang terbunuh kerana kemalangan termasuk nahas kereta atau pesawat. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan