Ahad, 9 Oktober 2011

Utusan Online - Luar Negara

Utusan Online - Luar Negara


Singapura digesa mansuh ISA

Posted:

Singapura digesa mansuh ISA

Singapura digesa mansuh ISA


TANG FONG HAR, Francis Seow


SINGAPURA 9 Okt. — Dua bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berkata Singapura patut memansuhkan undang-undang itu, sepertimana langkah Malaysia yang bercadang memansuhkan ISA di negara itu.

Francis Seow dan Tang Fong Har berkata demikian menerusi telepersidangan pada Sabtu pada forum awam mengenai ISA anjuran Parti Demokratik Singapura dan dihadiri kira-kira 150 orang, menurut laporan stesen televisyen tempatan Channel NewsAsia.

Ini merupakan kali pertama penentang kerajaan yang kini dalam buangan berkomunikasi dengan penduduk Singapura secara terbuka.

Seow, 83, yang kini tinggal di Amerika Syarikat, telah ditahan pada 1988 selepas dituduh menerima dana daripada Amerika Syarikat untuk menjadi pembangkang yang lebih efektif di Parlimen.

Tang, yang dituduh menjadi anggota dalam konspirasi Marxist dan ditahan pada 1987, berkata undang-undang itu patut dimansuhkan tetapi bukan digantikan dengan yang lebih teruk.

Tang dan Seow mahu kembali ke Singapura. Dipercayai Seow masih warganegara Singapura mankala Tang telah melepaskan kewarganegaraannya pada 2003.

Malaysia telah mengumumkan ISA, undang-undang penahanan pencegahan, akan dimansuhkan pada Mac tahun depan selepas dua undang-undang baru bagi menggantikannya digubal. – BERNAMA

Bencana banjir paksa PM Thai tangguh lawatan

Posted:

Bencana banjir paksa PM Thai tangguh lawatan

Bencana banjir paksa PM Thai tangguh lawatan


SEEKOR gajah turut digunakan bagi membantu penduduk memindahkan barangan mereka di kawasan yang dilanda banjir di Ayutthaya, kelmarin. - REUTERS


BANGKOK 9 Okt. - Banjir terburuk yang melanda Thailand dalam tempoh beberapa dekad memaksa Perdana Menteri Yingluck Shinawatra menangguhkan lawatannya ke Malaysia dan Singapura.

Jurucakap kerajaan, Titima Chaisaeng berkata, Yingluck dijadual melawat Kuala Lumpur dan Singapura pada Selasa dan Rabu ini sebagai sebahagian daripada lawatan pengenalan di rantau ini selepas menjadi Perdana Menteri Ogos lalu.

Beliau bagaimanapun berkata, lawatan itu terpaksa ditangguhkan ekoran banjir buruk yang melanda negara ini.

Yingluck pada minggu lalu menyifatkan banjir yang menyebabkan lebih 250 orang terbunuh itu sebagai 'krisis serius' dan memberi amaran ibu negara Bangkok turut tidak akan terkecuali.

Menurut kerajaan, lebih dua bulan hujan lebat melanda wilayah di seluruh utara dan tengah Thailand sehingga menyebabkan kediaman rosak serta berjuta-juta orang terjejas, terutamanya petani.

Usaha besar kini sedang dijalankan untuk menghalang air banjir sampai ke Bangkok, kawasan yang didiami oleh 12 juta orang.

Ibu kota purba Thailand, Ayutthaya, kira-kira 80 kilometer ke utara Bangkok turut terjejas teruk akibat bencana banjir ini sejak beberapa hari lalu.

Menteri Sains dan Teknologi, Plodparsob Suraswadi berkata, pihak berkuasa sedang memindahkan lebih 200 pesakit dari hospital Ayutthaya.

"Rancangan kini difokuskan kepada pemindahan berbanding daripada operasi menangani banjir," kata Plodparsob. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan