Ahad, 24 April 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Presiden Yaman setuju serah kuasa

Posted: 24 Apr 2011 01:31 PM PDT

Dunia

Ali Abdullah letak jawatan dalam tempoh 30 hari

SANAA: Presiden Yaman bersetuju dengan cadangan pengantara untuk meletak jawatan dalam masa 30 hari dan menyerah kuasa kepada timbalan beliau sebagai pertukaran daripada kekebalan daripada didakwa, perubahan pendirian mengejutkan selepas 32 tahun memerintah.

Tujuh parti pembangkang, berkata semalam bahawa mereka juga bersetuju dengan perjanjian itu tetapi dengan syarat. Walaupun berbeza pendapat, parti terbabit enggan bercakap kepada beratus ribu penunjuk perasaan yang mahukan Presiden Ali Abdullah Saleh disingkirkan dan ada tanda-tanda bahawa persetujuan beliau tidak bermakna konfrontasi jalanan akan berakhir.

Sehari sebelumnya, penunjuk perasaan melakukan dua demonstrasi terbesar selama dua bulan, memenuhi dataran di ibu negara itu yang dipenuhi dengan beratus ribu manusia.

Dari sehari ke sehari, penunjuk perasaan berkurangan atas sebab tertentu termasuk serangan penembak curi dan pembunuhan lebih 130 orang.

Kebangkitan rakyat dan sekutu termasuk komander tentera tertinggi, menyebabkan Ali Abdullah hampir hilang kuasa dan ia akan menjadi faktor mendesak beliau berkompromi selepas sebelum ini enggan berundur sebelum tamat penggal pentadbiran pada 2013.
Selama beberapa dekad, bekas pegawai tentera itu berhadapan dengan pelbagai cabaran, berurusan dengan baik di kalangan yang berkuasa dalam politik negara itu dan menggunakan pasukan keselamatan untuk menjatuhkan penentangnya.

Unit paling aktif al-Qaeda turut menyerang tentera Yaman di utara negara itu dan melakukan pergerakan di bahagian selatan.

Pada waktu yang sama negara itu berhadapan masalah kekurangan air dan minyak serta disifatkan sebagai paling miskin di dunia Arab.

Amerika Syarikat menyaksikan kebangkitan itu dengan penuh kebimbangan kerana Ali Abdullah adalah sekutu dalam kempen memerangi al-Qaeda di Semenanjung Arab dan melakukan beberapa cubaan dalam menentang Amerika Syarikat dan sasaran lain di luar negara.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika, Mark Toner, berkata bahawa Washington menyambut baik cadangan untuk mengakhiri krisis dan menggesa diadakan dialog segera membabitkan kedua pihak memindahkan kuasa.

"Kami tidak buat spekulasi mengenai pilihan penduduk Yaman atau keputusan dialog politik mereka.

"Terpulang kepada rakyat Yaman bagi memutuskan bagaimana negara mereka perlu diperintah," katanya.

Satu kenyataan Rumah Putih menggesa semua pihak di Yaman melaksanakan perjanjian mengenai penyerahan kuasa. – AP


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tentera Thai, Kemboja tempur dua jam

Posted: 24 Apr 2011 01:25 PM PDT

Dunia

PHNOM PENH: Tentera Kemboja dan Thailand semalam berbalas bedilan dan serangan selama dua jam buat hari ketiga berhubung tuntutan masing-masing ke atas sebuah kuil lama, memaksa beribu-ribu lagi penduduk dekat sempadan dipindahkan.

Pertempuran dua negara yang berjiran itu meletus selepas berikutan tuntutan ke atas kuil Preah Vihear belum selesai.

Pertelingkahan tercetus beberapa kali sejak 2008 apabila kuil purba kurun ke-11 Kemboja itu diberikan status Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dibantah Thailand. Pertempuran yang bermula sejak Jumaat lalu adalah yang terbaru sejak Februari apabila 11 anggota tentera dan penduduk awam terbunuh berhampiran kuil itu.

Perbalahan terbaru berlaku 160 kilometer ke barat sempadan terbabit. Kolonel Suos Sothea, seorang komander Kemboja mengesahkan bahawa satu bedilan meriam dilancarkan sebelum 10 pagi waktu tempatan.

Jurucakap tentera Thailand, Kolonel Sansern Kaewkamnerd melaporkan perkara yang sama. Tiada laporan mengenai kecederaan atau kematian dalam kejadian terbaru semalam.

Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon menggesa Kemboja dan Thailand melakukan gencatan senjata yang berkesan.
Satu kenyataan PBB lewat Sabtu berkata, Ban percaya perbalahan tidak dapat diselesaikan secara ketenteraan, jadi kedua negara perlu mengambil pendekatan dialog bagi menangani masalah yang tidak selesai itu.

Kejadian semalam berlaku selepas keadaan tenang. Saksi di sebelah Kemboja, berkata satu lintasan sempadan ditutup selama dua hari sudah mula dibuka semula manakala media Thailand melaporkan, 20,000 penduduk awam yang dipindahkan dari zon perang mula pulang ke rumah masing-masing.

Kedua-dua pihak saling menuduh pihak yang lain memulakan serangan terlebih dulu. – AP


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen